بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam kerana dengan limpah kurniaNya kita masih diberikan nikmat yang sering dilupakan iaitu nikmat masa lapang dan kesihatan. Tidak dilupakan, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Salallahu ‘Alaihi Wasallam.

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ar-Rum ayat 41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Yang bermaksud : “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

Pada hari ini, kita dikejutkan dengan beberapa peristiwa besar yang berlaku di peringkat global dan mesir. Penularan Virus COVID-19 yang semakin hari semakin meruncing amat membimbangkan. Mesir sendiri mencatatkan sehingga 1939 kes positif dan 146 kematian (setakat 9.30 malam 11 April) menyebabkan kerajaan mengambil inisiatif untuk mengehadkan penyebaran virus itu dengan mengehadkan pergerakan orang awam. Justeru itu, Universiti Ain Shams sendiri tidak terlepas daripada menangguhkan sesi pengajaran dan pembelajaran bermula 15 Mac 2020 sehingga 30 Mei 2020 seperti mana yang diarahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Mesir.

Maka, wakil Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Ain Shams telah mengadakan pertemuan dengan Madam Nadia Mahmoud, Ketua Hal Ehwal Pelajar, Universiti Ain Shams untuk membincangkan beberapa perkara:

1)Status pengajian semasa pelajar Universiti Ain Shams
• Pengajian masih diteruskan seperti biasa untuk menghabiskan silibus pengajian yang berbaki.
• Namun, medium penyampaian adalah melalui platform secara atas talian melalui laman web rasmi e-learning Universiti Ain Shams.
• Kuliah pengajian masih diberikan secara atas talian beserta nota-nota pengajian serta bahan bantu pelajaran yang lain
• Pembelajaran berkumpulan bersama pensyarah pengajian dan penilaian berterusan secara atas talian turut diadakan mengikut tahun pengajian masing-masing.

Saranan daripada Biro Akademik:
• Sentiasa log masuk ke dalam melalui laman web rasmi e-learning Universiti Ain Shams dan memuat turun bahan-bahan bantu pengajaran untuk memudahkan sesi pembelajaran
• Sentiasa berhubung dengan Koordinator tahun pengajian masing-masing untuk mendapatkan maklumat yang terkini mengenai format mata pelajaran yang sedang diambil.
• Sentiasa merujuk dengan Unit Akademik (UCAD), Ketua Batch masing-masing dan Biro Akademik (BCAD) untuk sebarang masalah yang dihadapi.
• Melazimi mengulangkaji pelajaran secara kondusif dan membuat jadual ulangkaji untuk mendisiplinkan diri semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

2)Format dan tarikh Peperiksaan Akhir Tahun Sesi Pengajian 2019/2020
• Sehingga kini masih tiada keputusan yang rasmi dari pihak Universiti Ain Shams

• Akan tetapi, pihak universiti masih dalam perancangan untuk mengadakan Peperiksaan Penilaian (evaluation examination) secara atas talian sekiranya situasi COVID-19 di Mesir masih belum pulih selepas tamat sesi pengajian. Namun cara perlaksanaan dan tarikh muktamad untuk peperiksaan ini masih belum dikeluarkan.

• Sekiranya situasi COVID-19 di Mesir sudah pulih dan memuaskan, peperiksaan akan diteruskan dengan peperiksaan bertulis seperti biasa.

• Tarikh akhir sesi pengajian bagi pelajar fakulti perubatan bagi tahun 1 hingga tahun 5 adalah pada 30 Mei 2020, manakala bagi tahun 6 belum dimaklumkan secara rasmi.
• Jangkaan awal tarikh diadakan Peperiksaan Penilaian secara atas talian adalah 15 Jun 2020 , namun perlu menunggu kenyataan rasmi dari pihak universiti berhubung perkara ini.

Saranan dari Biro Akademik:
• Melazimi mengulangkaji pengajian lebih awal dan sentiasa bersedia untuk sebarang perubahan yang mungkin berlaku.

Bagi pelajar yang ingin pulang ke Malaysia:

•Keputusan sama ada pelajar boleh menduduki peperiksaan pada masa dan teknikal yang dinyatakan atau tidak, akan diberitahu dari semasa ke semasa di laman rasmi Facebook Pejabat Hal Ehwal Pelajar Universiti Ain Shams.

•Hal ini kerana kerisauan pihak universiti adalah:
1.Teknikal atas talian antarabangsa yang bakal dihadapi sekiranya pelajar berada di luar Mesir.
2.Status Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah yang masih belum pasti akan dibuka pada masa akan datang sekaligus menyukarkan pelajar untuk kembali ke Mesir untuk mengambil peperiksaan.

•Buat masa sekarang pihak universiti tidak menasihatkan pelajar untuk pulang ke Malaysia. Namun, BCAD akan sentiasa berhubung dengan pihak universiti untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar sekiranya berlaku sebarang perubahan.

•Pesanan dan peringatan tambahan daripada pihak Universiti Ain Shams , Madam Nadiah Mahmoud sendiri selaku Ketua Hal Ehwal Pelajar :

√Selamat menyambut bulan Ramadhan bagi semua pelajar dan selamat berpuasa, semoga ditingkatkan amalan dan ketaqwaan.

√Sentiasa menjaga kesihatan dan peka dengan keadaan sekeliling dan semoga Allah mengangkat wabak penyakit ini daripada kita dan mampu menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

√Mengikuti laman Facebook rasmi Pejabat Hal Ehwal Pelajar Universiti Ain Shams untuk mengikuti perkembangan mengenai format dan tarikh peperiksaan dari semasa ke semasa.

√Sentiasa melazimi mengulangkaji pelajaran, memuat turun audio kuliah pelajaran dan bahan bantu pembelajaran lain yang dibekalkan oleh pihak universiti secara atas talian

√Sentiasa bersedia dengan sebarang penilaian berterusan bermarkah daripada pihak universiti yang akan diadakan mengikut ketetapan.

√Bagi pelajar yang belum membayar yuran pengajian sesi semasa, boleh berbuat demikian kerana sesi tahun pengajian tidak akan diulang atau dibatalkan, cuma mungkin dipanjangkan atau ditangguh mengikut situasi semasa keadaan di Mesir.

Akhir kata, marilah bersama-sama mengambil ibrah daripada penyebaran wabak penyakit ini, yang telah diisytiharkan pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia adalah dengan menginsafi diri sendiri dan memperbanyakkan memohon keampunan daripada Allah s.w.t. atas kesalahan yang dilakukan sama ada sedar ataupun tidak.Wabak ini merupakan satu teguran daripada Allah s.w.t kepada hambanya agar mereka kembali kepada-Nya dan mengagungkan kebesaran-Nya.

Kami mewakili Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Ain Shams mengingatkan untuk sentiasa peka dan cakna akan sebarang notis dan pemakluman yang dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Education Malaysia Egypt (EME) supaya segala informasi dapat diberikan secara lebih pantas dan mutakhir,


Semoga seluruh umat manusia dilindungi daripada wabak ini tidak kira walau dimana kita berada.

Wallahuaklam,

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

#PCS, KitaSatuHati

#Sayangi PERUBATAN

#Kita Keluarga PERUBATAN

#KitaJagaKita

#KitaPastiMenang

MUHAMMAD DANIELL ABQHORI BIN ABDUL MALEK
Ketua Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2020/2021.