بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam kerana dengan limpah kurniaNya kita masih diberikan nikmat yang sering dilupakan iaitu nikmat masa lapang dan kesihatan. Tidak dilupakan, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Salallahu ‘Alaihi Wasallam.

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ar-Rum ayat 41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Yang bermaksud : “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

Pada hari ini, kita dikejutkan dengan beberapa peristiwa besar yang berlaku di peringkat global dan Mesir. Penularan Virus Covid-19 yang semakin hari semakin meruncing amat membimbangkan. Mesir sendiri mencatatkan sehingga 93 kes positif dan 2 kematian (setakat 9 malam 14 Mac) menyebabkan kerajaan mengambil inisiatif untuk mengehadkan penyebaran virus itu dengan mengehadkan pergerakan orang awam. Justeru itu, Universiti Ain Shams sendiri tidak terlepas daripada menangguhkan sesi pengajaran dan pembelajaran bermula 15 Mac 2020 sehingga 28 Mac 2020.

Maka ibrah yang boleh diambil daripada penyebaran wabak penyakit ini, yang telah diisytiharkan pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia adalah dengan menginsafi diri sendiri dan memperbanyakkan memohon keampunan daripada Allah s.w.t. atas kesalahan yang dilakukan sama ada sedar ataupun tidak.Wabak ini merupakan satu teguran daripada Allah S.W.T kepada hambanya agar mereka kembali kepada-Nya dan mengagungkan kebesaran-Nya.

Selain itu, ekonomi turut menerima tempias yang hebat disebabkan kelembapan sektor pelancongan di Mesir sendiri menyebabkan Presiden Mesir mengumumkan dana sebanyak LE 100 billion bagi menangani isu terbabit semasa mengumumkan cuti 2 minggu tersebut.

Tambahan pula dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan semenjak Khamis lalu (12 Mac 2020) menyebabkan pergerakan makin terjejas dan mahasiswa semua diminta supaya menjaga keselamatan diri. Angka kematian mencecah sehingga 5 orang ekoran banjir dan kemalangan pada Khamis dan Jumaat lalu.

Maka diperingkat kepimpinan tertinggi PERUBATAN Cawangan Ain Shams ingin berpesan dan mengingatkan kepada semua ahli PERUBATAN khususnya ahli Cawangan Ain Shams supaya:-


1)Mengamalkan etika kebersihan yang terbukti mampu mengurangkan penularan wabak ini dengan selalu mencuci tangan, memakai topeng muka ketika keluar, dan kurangkan bersalaman di khalayak awam


2)Mengunjungi klinik atau pusat kesihatan terdekat sekiranya terdapat sebarang simptom atau tanda-tanda yang mencurigakan seperti batuk dan demam.


3)Mengurangkan kunjungan ke tempat yang sesak dengan orang ramai sekiranya tiada keperluan yang mendesak.


4)Memanfaatkan waktu cuti dengan perkara yang bermanfaat seperti mengulangkaji pelajaran, membaca buku dan mengemas rumah.


5)Memperbanyakkan berdoa dan melaksanakan solat hajat agar diberikan penyelesaian dan diberi kesihatan serta dijaga keselamatan seluruh dunia amnya dan rakyat Malaysia khasnya.

6)Mendaftarkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan sentiasa cakna dengan keadaan persekitaran mengenai perkembangan wabak.

Wallahuaklam,
“PCS, Kita Satu Hati”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

#PERUBATANKelasPertama

#KitaKeluargaPERUBATAN

#SayangiPERUBATAN

MUHAMMAD AMMAR BIN MD NOR,
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2020/2021.