بسم الله الرحمن الرحيم

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat (Surah An-Nisa’ :Ayat 58)

Sabda Rasulullah S.A.W.,

“Jika kamu keluar tiga orang ke suatu tempat maka lantiklah salah seorang daripada kamu menjadi ketua.” (Riwayat Muslim)

Berkata Imam Ibnu Taimiyah Rahimullahu Ta’ala, “Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan muslimin, merupakan kewajipan agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan keturunan Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, di mana sebahagiannya berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin.”

Jika dilihat peristiwa kewafatan baginda Nabi Muhammad S.A.W., para sahabat terlebih dahulu berbincang untuk memilih pemimpin dalam kalangan mereka untuk menggantikan Nabi Muhammad S.A.W. untuk mengelakkan berlakunya fitnah perpecahan umat islam  . Peristiwa ini menunjukkan bahawa urusan memilih pimpinan itu adalah satu tanggungjawab yang sangat penting.

Kaedah Pemilihan AJKT 2020/2021

Perlembagaan PERUBATAN  pada Fasal 20 Ceraian (d),

“Antara tugas-tugas ahli Lembaga Penasihat PERUBATAN adalah menentukan kaedah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan”

Selari dengan perlembagaan di atas, Lembaga Penasihat PERUBATAN telah memutuskan untuk Perubatan Cawangan Ain Shams(PCS) menubuhkan Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC)  bagi menggantikan sistem pilihanraya sedia ada melihatkan kepada keadaan semasa PCS. Ahli MMPC akan bermesyuarat bagi mencalonkan AJKT untuk sesi akan datang.

Setelah perbincangan dibuat di peringkat Lembaga Penasihat Cawangan dan dipersetujui oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN, kami bersetuju untuk melantik saudara Luqman Hakim bin Badrul Hisam sebagai Pengerusi Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan dan akan dibantu oleh Timbalan Pengerusi, saudari Nurul Atiqah binti Mohamad Hatta.Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan serta Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) akan bergerak mengikut jalur masa yang telah disusun dan diselaraskan dengan pilihanraya PERUBATAN di cawangan lain.

Pengecilan Struktur Organisasi PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2020/2021

Melalui mesyuarat Lembaga Penasihat PCS 2019/2020 yang bersama Pengerusi dan Timbalan Pengerusi, satu keputusan telah diambil untuk mengurangkan jumlah AJKT PCS yang sedia ada kepada 4 orang mahasiswa dan 4 orang mahasiswi termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi . Hasil mesyuarat ini telah dinilai dan diluluskan di peringkat  Lembaga Penasihat PERUBATAN 2019/2020 .

Akhir kata,semoga segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan dengan lancar.

Sekian, terima kasih.

“PCS,Kita Satu Hati”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

Muhammad Rafiq bin Rosidi ,

Ketua Lembaga Penasihat,

PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2019/2020.