‘Siapakah bapa kemerdekaan Melayu?’

‘Apakah kemerdekaan Tanah Melayu hanya dicapai dengan bantuan British?’

‘Adakah ulama tidak terlibat dengan kemerdekaan Tanah Melayu dan hanya beri tumpuan kepada ilmu semata-mata?’

‘Dimana para ulama Melayu ketika orang Nusantara dibantai oleh penjajah? Oh, mereka hanya berada di masjid-masjid dan surau-surau sahaja? Atau mereka bersembunyi dalam gua seperti pemuda al-Kahfi?’

 

Soalan-soalan ini pasti akan timbul setelah hati semakin lumat menghayati dan penakhlukan telah mula berinteraksi dengan sejarah kemerdekaan kita.

Dalam menjawab soalan-soalan ini, perlu kepada penghayatan sejarah yang ditulis oleh oleh orang yang benar-benar ikhlas dan mahu melihat roh  “Tok Kenali” yang sanggup mati demi tanah air, “Tuan Guru Abdul Rahman Limbong” yang istiqamah berjuang walaupun dibuang negeri dan “Dr. Barhanuddin al-Helmy” yang beberapa kali dihumban ke dalam penjara.

PENJAJAHAN KUFFAR DAN REAKSI PARA ULAMA

Peperangan dan penjajahan yang dilancarkan oleh penjajah kuffar seperti Portugis dan Belanda dari Barat serta Siam telah menyebabkan bumi orang Melayu mula hilang kebebasan dan kemerdekaan.

Walaupun usaha-usaha untuk membebaskan Melaka dan negeri-negeri Melayu bergerak dengan begitu rancak di bawah pimpinan para ulama, namun tempoh peperangan yang begitu lama telah menjejaskan peranan ulama untuk mendidik umat.

Lihat sahaja pengalaman ulama membebaskan Melaka daripada Portugis selama 130 tahun telah mengganggu proses pengkaderan untuk melahirkan ulama-ulama pelapis. Suasana politik yang tidak stabil akibat penjajahan ini telah mendorong para ulama berhijrah ke Mekah terutamanya pada akhir abad ke-18.

Para ulama yang berhijrah ke Mekah bukan dalam erti kata “lari daripada perjuangan” tetapi untuk menyusun strategi baharu untuk membebaskan tanah air terutamanya bagi mengkaderkan ulama pelapis yang boleh memimpin ummah.

Maka, bertitik tolak dari sinilah, perjuangan bagi membebaskan tanah air bermula, sehinggalah kita mengecapi kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

TOKOH PEJUANG NUSANTARA

Generasi ulama yang dikaderkan di Mekah oleh ulama-ulama selepas era penjajahan abad ke-17 dan 18 yang paling menonjol ialah Sheikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain.

Beliau merupakan seorang ulama yang lahir dalam keluarga yang mempunyai kesedaran Islam yang tinggi. Bahkan ayah dan datuknya merupakan ulama yang membimbing orang Melayu dalam mempertahankan kemerdekaan Pattani.

Darah ulama dan pahlawan yang mengalir dalam jiwa Sheikh Ahmad al-Fathani telah meletakkan beliau sebagai tokoh ulama pejuang terpenting dalam sejarah kemerdekaan Melayu bahkan beliau digelar sebagai Bapa Kemerdekaan Melayu!

Kesungguhan beliau dalam menyusun gerakan kemerdekaan secara tersusun dari Mekah sehingga membolehkan negeri-negeri Melayu mencapai kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua. Malangnya, catatan sejarah yang tidak menyeluruh hari ini telah menenggelamkan tokoh yang hebat ini.

 

PENGKADERAN ULAMA PEJUANG

Sumbangan terbesar Sheikh Ahmad dalam kemerdekaan tanah Melayu ialah melalui pengkaderan para ulama secara besar-besaran dalam pelbagai bidang. Adalah tersangat ramai pelapis yang dilatih oleh beliau sehingga tidak upaya untuk dicatatkan di sini.

Murid-murid beliau bertaburan bukan sahaja di Pattani, tetapi juga di seluruh Nusantara. Ada anak muridnya yang menjadi sheikhul Islam, mufti, qadhi bahkan ada juga anak muridnya yang dilatih dalam bidang siasah (politik) misalnya seperti Dato’ Perdana Menteri Nik Mahmud (Menteri Besar Kelantan), Dato’ Muhammad Mohd Said (Dato’ Laksamana Kelantan), Raja Ali Kelana (Diplomat), Tok Janggut (Pahlawan jihad) dan lain-lain lagi.

Semasa di Mekah, Sheikh Ahmad al-Fathani telah menghantar anak-anak muridnya yang cemerlang antaranya Sheikh Tahir Jalaluddin, Nik Mahmud, Dato’ Laksamana Kelantan ke Mesir bagi mendalami ilmu agama di al-Azhar.

Melalui usaha gigih Sheikh Ahmad al-Fathani, orang-orang Melayu yang belajar di Mesir telah menerima pengaruh Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rasyid Redha serta terdedah kepada budaya organisasi melalui Jam’iyatul Khairiyah Mesir.

Oleh itu tidak pelik apabila sekembalinya mereka ke tanah air, mereka inilah yang menyebarkan kefahaman dan memberi kesedaran kepada orang Melayu.

Satu contoh yang menarik untuk kita tekuni bersama adalah mengenai peranan majalah al-Imam 1906 kepada orang Melayu sehingga munculnya gerakan kesedaran untuk merdeka, maka di sini peranan Sheikh Ahmad al-Fathani amat releven.

Pertamanya, pengasas al-Imam ialah tokoh ulaam yang mempunyai hubungan rapat dengan Sheikh Ahmad iaitu Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Sheikh al-Hadi dan Sheikh Abbas Taha.

Keduanya, majalah al-Imam dikatakan oleh para pengkaji adalah pengaruh daripada al-Manar dan Urwatul Wuthqa hasil usaha Sheikh Ahmad yang memperkenalkan mereka dengan pemikiran Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rasyid Redha.

 

 

ULAMA BERORGANISASI

Satu lagi sumbangan besar yang dilakukan oleh beliau ialah memperkenalkan budaya berorganisasi kepada ulama Melayu. Gagasan ini akhirnya berkembang dan menjadi asas kepada gerakan politik di Tanah Melayu sehingga orang-orang Melayu bersedia untuk merdeka.

Bermula dengan penubuhan persatuan terulung orang Melayu oleh Sheikh Ahmad al-Fathani iaitu Jam’iyatul Fathaniyah (1873) di Mekah telah menjadi “pioneer” sebelum pengaruhnya tersebar luas ke Nusantara.

Pengaruh persatuan ini mula dapat dirasai apabila Jam’iyatul Rusydiyah ditubuhkan oleh murid beliau, Raja Ali Kelana di Pulau Penyengat, Riau.

Seterusnya mendorong  penubuhan persatuan-persatuan lain seperti Jam’iyatul Khairiyah juga di Riau, Jamiat Khairi di Batavia (Jakarta), Jam’iyatul Khairiyah di Mesir, Jam’iyatul al-Ashriyyah di Kelantan dan beberapa persatuan Kesatuan Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu.

Melalui tokoh-tokoh yang lahir dari persatuan-persatuan ini, wujudnya gerakan Islam secara tersusun di Tanah Melayu antaranya Sarekat Islam, Muhammadiyah, Nahdatul Ulama, Masyumi dan Hizbul Muslimin.

 

SHEIKH AHMAD DAN KERAJAAN UTHMANIYYAH

Selama ini barangkali kita tidak nampak perkaitan Tanah Melayu dengan Kerajaan Uthmaniyyah di Turki, walhal Tanah Melayu sudah sekian lama berhubung dengan Kerajaan Uthmaniyyah.

Sejak 1879, Sheikh Ahmad al-Fathani telah membina hubungan dengan Khalifah Uthmaniyyah yang bermula melalui penemuan dan lantikan beliau sebagai Ketua Jawatankuasa Percetakan Uthmaniyyah oleh Khalifah Abdul Hamid ll.

Di samping mempunyai hubungan langsung dengan Sultan Uthmnaiyyah, beliau juga telah menjadi Penasihat Sultan-sultan Melayu. Hal ini telah meletakkan Sheikh Ahmad sebagai pengantara bagi kerajaan-kerajaan Melayu dengan Khalifah Uthmaniyyah.

Ini telah meluaskan pengaruh Uthmaniyyah ke Nusantara sekaligus menghidupkan semula hubungan yang pernah terbina semenjak zaman Hang Tuah pada 1482 dan zaman Acheh pada abad ke-17.

Hubungan ini sangat penting dan bermakna kerana ia menunjukkan kesatuan dan syiar Islam iaitu bergerak di bawah satu kerajaan pusat dan semua kerajaan kecil yang lain bernaung di bawahnya.

Ketika tercetusnya Perang Dunia Pertama, Sheikhul Islam Uthmaniyyah telah melancarkan fatwa wajib berjihad ke atas British yang berusaha meruntuhkan Kerajaan Uthmaniyyah. Fatwa ini tersebar dengan cepat ke negeri-negeri Islam sehingga sangat membimbangkan British.

Di Singapura, tentera-tentera Islam telah memberontak atas sentimen jihad yang dibangkitkan oleh Uthmaniyyah pada 1915. Cerita pemberontakan jihad di Singapura segera tersebar di Kelantan khususnya Pasir Mas yang mempunyai hubungan terus dengan Singapura melalui keretapi. British terpaksa mengisytiharkan darurat di Pasir Mas.

Pada April 1915, kebangkitan yang berasaskan jihad untuk menghalau British tercetus di Pasir Puteh di bawah pimpinan Tok Janggut, anak murid Sheikh Ahmad al-Fathani.

Di Terengganu pula, setelah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah ke tangan golongan sekular pimpinan Mustafa Kamal Attartuk yang ditaja oleh British, telah menyebabkan Haji Abdul Rahman Limbong mula mengorak strategi.

Satu aspek menarik tentang pengaruh Sheikh Ahmad dalam kebangkitan di Terengganu, selain faktor Uthmaniyyah ialah kewujudan Sarekat Islam di Terengganu. Sarekat Islam di Indonesia yang tertubuh hasil pengaruh Jam’iyatul Fathaniyyah telah meluaskan pengaruhnya di Terengganu dan beberapa cawangan lain di Tanah Melayu.

 

SHEIKH AHMAD: BAPA KEMERDEKAAN MELAYU

Keseluruhannya, gerakan kemerdekaan yang diasaskan oleh para ulama di Mekah semenjak abad ke-17 telah berkembang pesat sehinggalah lahirnya Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai Bapa Kemerdekaan Melayu!

Beliau telah mengambil tanggungjawab mengkader para ulama pelapis Nusantara di Mekah selaku guru agama, penasihat raja, penulis dan pemimpin organisasi untuk membentuk kesedaran menyeluruh kepada pengikutnya.

Apabila berlaku kebangkitan politik orang-orang Islam di Tanah Melayu pada awal 1900, hampir semua kebangkitan berkait rapat dengan pengaruh Sheikh Ahmad al-Fathani.

Beliau juga telah berjaya membentuk pemikiran orang-orang Melayu untuk bernaung di bawah khalifah Uthmaniyyah, bukannya mana-mana kuasa bukan Islam. Dari pemikiran inilah yang membentuk kesedaran untuk sama-sama berkewajipan mempertahankan kedaulatan empayar Islam Uthmaniyyah daripada diruntuhkan oleh British.

Itulah Sheikh Ahmad al-Fathani.

Begitu hebat dan besar sumbangan beliau sehingga Tanah Melayu kita mampu mencapai kemerdekaan pada 1957.

 

PATRIOTIK: ANAK MUDA CAKNA SEJARAH

Selaku anak muda yang merdeka, kita perlu bersyukur atas pengorbanan ulama-ulama terdahulu.  Pada masa yang sama, kita juga perlu membaca sejarah Tanah Melayu dan melihat betapa bersungguhnya mereka istiqamah dalam menentang penjajah kuffar.

Ingat, Bila baca sejarah Tanah Melayu, bukan semata-mata untuk tahu orang Melaka lawan Portugis guna keris atau Meriam! Tapi, bacalah sejarah Tanah Melayu untuk tengok kesungguhan dan semangat jihad yang ada dalam diri mereka.

Semoga roh dan semangat jihad Sheikh Ahmad al-Fathani ini wujud dalam diri kita semua dalam usaha mencapai kemerdekaan yang sebenar.

Wallahu’alam.

 

Anak merdeka sepertimu,

Muhammad Amiruddin Suhaini

Beliau juga menulis :  Signifikasi Peranan Anak Muda Dalam Pilihan Raya