Tanah Melayu mempunyai sejarah panjang perjuangan menentang kekufuran dan penglibatan alim ulama dalam memperjuangkan Islam semenjak semenanjung emas ini menerima Islam pada abad ke 13.

Antara episod penentangan yang berlaku ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong telah memimpin kebangkitan rakyat di Kuala Berang menentang British pada tahun 1922-1928, beliau akhirnya dibuang negeri ke Mekah. Di Kelantan pula Tuan Guru Haji Hassan bin Munas telah bangkit menentang kuasa penjajah pada tahun 1915 dan begitulah juga di negeri-negeri Melayu yang lain seperti Pahang, Perak dan Naning.

Perjuangan pada zaman moden menuntut kemerdekaan juga digerakkan oleh ulama-ulama muda yang mendapat pendidikan di Timur Tengah seperti Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abbas Taha, termasuk yang mendapat pendidikan Islam daripada Indo-Pak seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy. Pada masa yang sama, muncul juga gerakan-gerakan sebagai manifestasi kesediaan untuk memerintah tanah air sendiri daripada penjajajah British seperti Hizbul Muslimin, PAS, UMNO, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Pada tahun 1953, atas sokongan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Malcom McDonald, Dato’ Onn Jaafari, IMP telah mengusahakan penubuhan National Conference iaitu penubuhan gabungan parti pelbagai kaum bagi memperjuangkan kemerdekaan dan mencadangkan pilihan raya dibuat pada 1956. UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman telah menarik diri dari sebarang penglibatan yang akhirnya tiada parti Melayu dalam National Conference. Hal ini mendesak National Conference untuk menjemput PAS menyertai pertubuhan tersebut.

Sedangkan pada masa yang sama, UMNO pimpinan Tunku Abdul Rahman telah membentuk gabungan politik yang hampir sama iaitu National Convention pada pertengahan 1953. Sekali lagi dikumpulkan pertubuhan-pertubuhan antaranya MCA, MIC, PAS dan beberapa pertubuhan lain. Pertubuhan tersebut mencadangkan agar pilihnraya dibuat pada tahun 1954.

Penglibatan PAS dalam kedua-dua gabungan politik ini menimbulkan perselisihan pendapat dalam kalangan ahlinya. Pada 26 September 1953, hasil keputusan Mesyuarat Agung Khas, PAS akan menarik diri daripada National Conference kerana melihat pertubuhan tersebut cuba diperalatkan oleh Sir McDonald.

Bagi hubungan kerjasama PAS terhadap National Convention, majoriti ahli mesyuarat bersetuju dengan usul Ustaz Amaluddin Darus, PAS Cawangan Pasir Mas untuk bekerjasama kerana melihat National Convention lebih bersungguh dalam memperjuangkan kemerdekaan dan mengadakan pilihan raya dengan segera. Namun begitu, PAS tidak terikat dengan National Convention sekiranya terdapat perkara-perkara yang melanggar dasar dan prinsip perjuangan.

Perpecahan dalam National Conference menyebabkan runtuhnya pengaruh Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) sehingga memaksa Dato’ Onn mengisytiharkan penubuhan Parti Negara (PN) dalam mesyuarat terakhir National Conference pada Februari 1954.

Sebuah jawatankuasa Khas National Convention dibuat untuk berunding tentang pilihan raya telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini telah menggariskan beberapa cadangan asas untuk pilihan raya.

Selain itu, ada beberapa perkara telah dipersetuju bersama iaitu menuntut kemerdekaan meliputi semua negeri termasuk negeri selat, segerakan pilihan raya umum pada 1954 dan dasar-dasar kerajaan yang lain.

Walau bagaimana pun, dalam persidangan kedua, PAS mencadangkan beberapa perkara, antaranya hak mengundi hanyalah untuk rakyat Raja-raja Melayu dan rakyat persekutuan sahaja dengan menolak hak mengundi berasaskan jus soli.

PAS berpendirian bahawa jus soli adalah satu dasar yang merugikan perjuangan orang melayu Islam di tanah melayu waktu itu. Namun, cadangan ini dan beberapa cadangan lain PAS ditolak oleh National Convention.

Pada 1 April 1954, Tunku Abdul Rahman dan TH Tan telah mewakili National Convention ke Pejabat Tanah Jajahan di London untuk berbincang mengenai pilihan raya. Tunku Abdul Rahman mewakili National Convention mendesak supaya pilihan raya diadakan pada 1954, namun akhirnya British bersetuju pilihan raya diadakan pada 21 Julai 1955.

Pilihan raya pertama di Tanah Melayu adalah pada tahun 1955 dan bilangan kerusi yang dipertandingkan adalah sebanyak 52 kerusi. Saban tahun, bilangan kerusi semakin bertambah dan parti poltik yang bertanding juga tidak kurang banyaknya. Bermula dari 1955, 1959, 1964, 1969 dan berikutnya  sehinggalah pada tahun ini, tanah air kita telah mengharungi pilihan raya umum sebanyak 14 kali.

 

img-spr-penubuhan

 

Pilihan raya 1959 adalah pilihan raya pertama selepas negara kita mencapai kemerdekaan 1957. Parti Perikatan menguasai hampir kesemua negeri kecuali Kelantan dan Terengganu yang dipegang oleh PAS dan begitulah juga pada pilihan raya berikutnya.

Pada pilihan raya ke-4, pada tahun 1969 merupakan kali pertama Sabah dan Sarawak menyertai pilihnaraya umum. Dengan penyertaan Sabah dan Sarawak, bilangan kerusi dalam dewan rakyat bertambah dari 104 kerusi sehingga 144 kerusi.

Pada tahun ini juga telah menyaksikan insiden perkauman yang paling dahsyat dalam sejarah negara kita, di mana tragedi ini telah merenggut ratusan nyawa dan mencederakan beribu yang lain.

Kesannya, peristiwa ini telah mengubah landskap politik dan sosioekonomi negara sehinggakan berlaku beberapa perkara penting antaranya pelaksanaan Pelan Politik Perpaduan oleh Tun Abdul Razak, iaitu PAS diajak bersatu membentuk Barisan Nasional (BN) bagi menyatukan negara dan menjamin survival politik umat Islam pada ketika itu.

Melalui pelan ini juga telah mencetuskan beberapa perubahan ke arah penerapan nilai Islam seperti diwujudkan kuliah-kuliah agama di jabatan kerajaan, peningkatan prasarana pendidikan Islam, nilai-nilai Islam di televisyen dan radio. Bahkan Bank Islam yang digunapakai sehingga hari ini juga adalah cetusan idea pada era tersebut.

 

 

Bendera Barisan Nasional dibina oleh semasa pakatan UMNO-PAS
Bendera Barisan Nasional dibina oleh semasa pakatan UMNO-PAS

 

Perkongsian kuasa PAS dan BN ini hanya bertahan sehingga 1977, PAS telah ditendang keluar daripada pakatan BN. PAS dan UMNO mempunyai jurang pemikiran yang sangat berbeza. Kemudian, UMNO terus bergerak memerintah bersama BN, manakala PAS bersendirian menghadapi saat-saat getir.

Pada pilihan raya 1978, merupakan PRU pertama sejak Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Dalam pilihan raya ini juga PAS bertanding sebagai pembangkang dan BN telah menang besar menyapu bersih semua negeri termasuk Kelantan.

Pada tahun 1981, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri keempat. Beliau pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 1982.

Pada tahun 1985 merupakan titik hitam dalam sejarah Malaysia apabila berlaku sebuah tragedi di Memali. Tragedi tersebut menyebabkan syahidnya Ustaz Ibrahim Libya dan anak-anak muridnya. Pada pilihan raya pasca tragedi Memali, di Terengganu berlakunya beberapa isu perpecahan masyarakat dengan mengasingkan tanah perkuburan, pengasingan masjid, enggan membayar zakat, gejala takfiri dan sebagainya.

Pilihan raya 1990 panggung politik Malaysia agak panas apabila PAS berpakat dengan Semangat 46 dan juga dengan parti HAMIM dan BERJASA (membentuk Angkatan Perpaduan Ummah). Sebuah lagi gabungan politik terbentuk iaitu Gagasan Rakyat yang terdiri daripada Semangat 46, DAP, PRM, AMIPF dan PBS.

Sebelum dari itu iaitu pada tahun 1989, PAS melalui calonnya Tuan Guru Harun Taib telah menang dalam pilihan raya kecil Teluk Pasu. Pada masa yang sama, berlaku perpecahan dalam UMNO seterusnya diikuti dengan pengharaman UMNO pada tahun 1988.

Beberapa tahun sahaja selepas pilihan raya 1995, pentas dan suhu politik negara ini menjadi panas akibat peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim pada September 1998. Pemecatan itu kemudiannya menyaksikan lahirnya gelombang reformasi.

Lembah Klang menjadi pusat kebangkitan rakyat menyuarakan bantahan rakyat menyuarakan bantahan mereka terhadap UMNO dan BN. Bahang politik ketika itu semakin panas dengan pemenjaraan Anwar serta BN semakin hilang kawalan terhadap maklumat kerana kemunculan media baru (blog dan ineternet) yang sangat kuat mempengaruhi pengundi. Kesan daripada peristiwa ini, Terengganu telah jatuh ke tangan parti pembangkang dalam pilihan raya 1999.

 

reformasi malaysia

Reformasi Malaysia

Berikutan dengan tuntutan reformasi dan angin perubahan yang bertiup, maka Parti Keadilan Nasional (PKN) telah ditubuhkan dengan dikemudi oleh Dr. Wan Azizah. Seterusnya terbentuknya permuafakatan politik dengan PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Gabungan politik yang digelar sebagai Barisan Alternatif.

Pilihan raya ke-11, pada pilihan raya kali ini juga menyaksikan kemenangan besar BN di seluruh negara setelah berlakunya perubahan kepimpinan, Dr. Mahathir telah melepaskan jawatan kepada Tun Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi. “Pak Lah” yang dilihat menonjol sebagai anak dan cucu ulama sedikit sebanyak telah memberikan kesan yang baik kepada penerimaan pengundi yang hendak memberi peluang kepada beliau.

Pilihan raya 2008 telah melakar sejarah bagaimana BN tidak mampu mempertahankan majoriti dua pertiga serta tumbang di lima buah negeri serta sebahagian besar kerusi di Lembah Klang disapu oleh Pakatan Rakyat. Ada yang menyebut ianya disebabkan oleh pemfokusan BN terhadap Terengganu dan tidak menjangka negeri-negeri lain akan tumbang.

Namun begitu, pilihan raya berikutnya, BN telah berjaya mengambil semula beberapa buah negeri dari pihak pembangkang ketika itu iaitu Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP. Ada penganalisis politik tanah air mengatakan  bahawa Pakatan Rakyat terlalu meletakkan fokus kepada pengundi Cina sehingga terlepas pandang akan kekuatan orang Melayu yang diambil peluang oleh BN.

Pilihan raya 2008 juga menyaksikan berlakunya beberapa siri tunjuk perasaan para penyokong BN di kediaman Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh akibat pengguguran beberapa calon UMNO. Pada PRU kali ini juga berlakunya peristiwa batu buruk dimana 2 orang pemuda PAS ditembak dengan peluru hidup yang menyebabkan rakyat Terengganu bangkit bersuara.

 

Pilihan Raya 14

Tahun ini, 2018 negara kita akan menghadapi PRU14 dimana buat kali pertama dalam sejarah berlaku pertambungan 3 penjuru iaitu Barisan Nasional, Pakatan Harapan (DAP, PKR, PAN, PPBM) dan Gagasan Sejahtera. Pada pilihan raya kali ini telah dibuat persempadanan semula kawasan pilihan raya seperti mana pernah dibuat pada tahun 1959, 1974, 1986, 1995 dan 2004.

Demikianlah sejarah pilihan raya yang yang telah dipraktikkan sejak sekian lama, sejak negara masih bergelar “Tanah Melayu”, sejak Singapura menjadi sebahagian daridapa tanah tumpah darah. Pelbagai peristiwa yang telah berlaku yang membentuk landskap politik tanah air kita sehingga ke hari ini. Kita tidak mahu berlakunya “Malaysian Spring” seperti mana yang telah berlaku di negara-negara Arab.

Pendokong-pendokong “Arab Spring” mahu mengubah corak politik negara mereka dengan harapan akan membuahkan isi yang lazat dan menyegarkan, tiba-tiba buahnya berulat dan beracun, membunuh mangsanya lebih dasyat daripada wabak penyakit biasa yang meragut mangsanya tanpa batas.

 

revolusi-arab-spring-di-tuniasia

 

Para ulama nusantara menyebut nilai demokrasi adalah yang paling dekat dengan Islam dan sewajarnya kita mengoptimumkan medium ini dalam menegakkan syariat Islam berserta prinsip-prinsip yang telah digariskan.

Sebagai mahasiswa yang matang dan cakna akan masa depan negara, kita perlu mainkan peranan masing-masing dan terjun ke dalam lapangan pilihan raya ini.

Ada dalam kalangan kita, mengatakan bahawa mahasiswa tidak boleh terlibat dengan politik. Mereka mengatakan bahawa, “Bukankah ada akta yang melarang kita dari terlibat dari berpolitik?”

Ada pula yang mengatakan politik itu kotor, tidak kurang juga golongan yang keliru dan tidak tahu bagaimana hendak berperanan dalam pilihan raya mengikut kaca mata Islam.

Baik, oleh yang demikian, di sini kami cuba cerahkan secara terperinci berkenaan soalan-soalan dan kekeliruan yang timbul.

 

  • AUKU atau akta universiti dan kolej 1971 adalah akta yang melarang mahasiswa dari terlibat dalam mana-mana parti politik. Namun, harus diketahui akta ini telah pun dipinda beberapa kali iaitu 1974, 1983, 1996, 2008 dan kali terakhir adalah pada tahun 2012.

 

Dalam pindaan 2012 antaranya mengatakan mahasiswa dibenarkan menyertai aktiviti serta kempen selagi mana bukan di dalam kawasan kampus. Maka, mahasiswa sebenarnya tidak terikat dengan akta AUKU.  Namun, walau bagaimana pun perlu bagi kita menjaga adab dan tatatertib kita sebagai mahasiswa Islam di luar kampus.

 

  • Politik atau dalam bahasa Arab disebut sebagai siyasah merupakan tugasan manusia selaku khilafah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah menerusi firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 30 :

 

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”…

 

Khalifah yang digariskan oleh Abu al-Hassan Ali al-Nadwi pula bermaksud:

إقامة الدين وسياسة الدنيا به

Mendirikan agama dan menguruskan dunia dengan agama.

 

Bahkan perkataan siyasah juga digunakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمْ الْأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ تَكْثُرُ قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ وَأَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Dahulu Bani Israil selalu dipimpin oleh para Nabi, setiap Nabi wafat maka akan digantikan oleh Nabi yang lain sesudahnya. Dan sungguh, tidak akan ada Nabi lagi setelahku, namun yang ada adalah para khalifah (ketua pemerintahan) yang merekan akan banyak berbuat dosa.”

Para sahabat bertanya, “Apa yang anda perintahkan untuk kami jika itu terjadi?

Baginda menjawab: “Tepatilah baiat yang pertama, kemudian yang sesudah itu. Dan penuhilah hak mereka, kerana Allah akan meminta pertanggung jawaban mereka tentang pemerintahan mereka.

 

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini menunjukkan bahawa para Rasul terdahulu berdakwah dan berpolitik dalam membawa kerajaan mengikut acuan Islam.

 

Sebenarnya politik itu tidak kotor. Yang kotor ialah apabila wujud pihak-pihak yang berpolitik tetapi tidak mengikut panduan yang digariskan oleh Islam.

 

Peranan kita?

Peranan utama kita selaku mahasiswa yang berumur 21 tahun ke atas ialah daftar pemilih dan turun mengundi. Dalam satu muktamar Islam Asia Tenggara yang diadakan di Kuala Lumpur pada 21 April 1954 telah memutuskan bahawa semua umat Islam adalah WAJIB keluar mengundi untuk membolehkan negara Islam yang melaksanakan syariat dibentuk. Fatwa para ulama nusantara ini dirumuskan ketika umat Islam di Indonesia dan Tanah Melayu sedang bersiap untuk menghadapi pilihan raya umum yang julung kalinya dibuat selepas Perang Dunia Kedua.

Turun mengundi adalah perkara yang penting kerana ini menentukan hala tuju dan masa depan negara kita. Matlamat kita sebagai seorang Muslim adalah menegakkan negara Islam di samping masyarakat dan sistem pemerintahan yang juga mempunyai nilai-nilai Islam.

Kita tidak mahu masa depan negara jatuh ke tangan pihak yang berkepentingan seperti mana kejatuhan Kerajaan Islam Melaka dan Andalusia ke tangan kerajaan Kristian.

Setelah kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia yang terakhir di Granada di tangan Raja Ferdinand dan Ratu Isabella, tentera Salib itu telah menyerang kerajaan Islam Melaka pada 1511.

Orang-orang Islam ketika itu dipaksa untuk masuk ke dalam agama Kristian dan sekiranya tidak, akan dihalau atau dibunuh. Adakah kita mahu sejarah itu berulang kembali?

Keduanya, berpolitiklah dengan matang dan penuh hikmah.  Dalam surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman:

 

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu…”

 

Amalkan budaya menerang berbanding menyerang. Masyarakat kita sekarang keliru dan semakin benci dengan politik serta tidak mahu turun mengundi.

Salah satu sebabnya ialah kurang budaya menerang, tidak matang dalam memberi penjelasan, kurang budaya mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Sekiranya kita betul-betul mengamalkan budaya yang penuh berhikmah ini, tidak mustahil masyarakat akan boleh terbuka hati dalam menerima penjelasan yang diberikan. InsyaAllah.

Yang terakhir,peranan kita adalah berdoa kepada Allah yang memberi kemenangan kepada Islam. Sama-sama kita doakan bakal pemimpin negara kita adalah orang yang faham Islam dan mampu membawa masyarakat dan negara ke arah yang lebih sejahtera di dunia mahu pun di akhirat.

Imam Fudhail bin ‘Iyadh pernah berkata,

لو أن لي دعوة مستجابة ما صيرتها الا في الامام
Seandainya aku memiliki doa yang mustajab, aku akan tujukan doa tersebut pada pemimpinku.

Salah seorang yang hadir bertanya pada Imam Fudhail, “Kenapa begitu wahai tuan?

Beliau menjawab, “Jika aku tujukan doa tersebut pada diriku saja, maka itu hanya bermanfaat untukku. Namun jika aku tujukan untuk pemimpinku, maka rakyat dan negara akan menjadi baik.

 

Anak muda cakna politik.

Pemimpin kita, masa depan kita.

 

Wallahua’lam.

 

Anak muda sepertimu,

Muhammad Amiruddin Suhaini