ramadan egypt

Satu perkara besar dalam agenda masa seorang mukmin adalah Ramadan. Dalam banyak-banyak bulan yang dilalui, bulan Ramadan adalah bulan paling dinantikan. Namun penantian itu tidak kosong, kehadirannya perlu persediaan rapi dengan perancangan yang tuntas!

Ramadan bukan sekadar bulan tiada makan dan minum pada waktu siang. Ianya lebih daripada itu.

Pada bulan Ramadan inilah al-Quran diturunkan, pada bulan ini berlakunya juga malam lailatul qadar. Pada bulan ini jugalah Allah juga akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang membuat amalam kebaikan.

Makanya, di sini saya akan kongsikan  cara atau persediaan untuk kita menghadapi Ramadan yang akan datang tidak lama lagi.

Seperti kita semua sedia maklum, telah banyak cara atau kaedah yang telah digariskan oleh para ulama dan orang-orang soleh yang terdahulu daripada kita.

Perkongsian ini ditulis sedikit berdasarkan pengalaman diri hamba dan banyak daripada tulisan orang-orang soleh. Moga-moga dengan perkongsian ini, dapat kita isi Ramadan kita dengan bersungguh-sungguh.

 

Persediaan Mengisi

[1]

Perkara pertama yang wajib kita lakukan sebagai hamba sebelum melangkah masuk ke bulan Ramadan yang suci ialah menyucikan diri kita terlebih dahulu dengan cara memohon keampunan daripada  Allah S.W.T iaitu taubat yang ikhlas.

Ini adalah perkara wajib sebagai seorang hamba yang mesti kita lakukan tanpa mengira masa, tetapi oleh kerana kita akan memasuki satu bulan yang besar dan penuh dengan keberkatan maka adalah sangat penting untuk kita segera bertaubat menyucikan diri bagi menyelesaikan hak kita terhadap Allah SWT, menunaikan hak-hak terhadap rakyat sebagai seorang pemimpin dan menunaikan hak sesama manusia yang lain sebagai sahabat dan sebagainya.

Ini bertujuan agar kita dapat memasuki bulan ini dalam kedaan yang suci, tenang dan penuh ketaatan. Perlu kita ketahui, ibadah yang sempurna dan juga keluar daripadanya dalam keadaan tenang dan sejahtera.

ramadan egypt 1

 

[2]

Perkara yang kedua mesti kita lakukan ialah berdoa memohon kepada Allah agar diberi kesempatan bertemu Ramadan.

Inilah antara usaha kita yang wajib kita lakukan sebelum bertemu bulan seribu kemuliaan ini iaitu meletakkan sepenuh pengharapan agar dapat bertemu dengannya lagi.

Antara contoh ketekunan dalam berdoa yang dilakukan oleh golongan para salaf yang boleh kita ambil ialah mereka berdoa kepada Allah selama 6 bulan (Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban) supaya diizinkan Allah untuk sampai ke bulan Ramadan, kemudian mereka berdoa selama 5 bulan (Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Saffar) selepasnya agar Allah menerima segala amalan mereka.

 

[3]

Seterusnya, perkara yang ketiga adalah menghadirkan rasa gembira untuk menyambut bulan yang penuh dengan ganjaran ini.

Ini kerana, masuknya kita ke bulan Ramadan ini adalah satu nikmat yang besar yang Allah berikan kepada hambanya yang muslim. Bulan Ramadan ini adalah bulan yang dipenuhi dengan berjuta kebaikan, nikmat dan ganjaran yang harus kita sedari dan antaranya ialah dibuka seluas-luasnya pintu syurga dan ditutup serapat-rapatnya pintu neraka.

Juga, bulan Ramadan ini diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk dan pedoman buat sekalian manusia sehingga hari kiamat. Pada bulan ini juga telah berlaku satu peperangan iaitu Peperangan Badar atau Perperangan al-Faruq (pemisah hak dan batil) yang merupakan peperangan pertama dalam sejarah Islam.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad) kedatangan al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lain), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan daripada segala benda dan perkara yang tidak kekal”.

[Surah Yunus : Ayat 58]

 

[4]

Persediaan yang keempat ialah mempelajari segala ilmu yang berkaitan dengan Ramadan.

Ilmu yang dimaksudkan bukanlah hanya ilmu berkaitan fikah puasa sahaja, bahkan ilmu-ilmu berkaitan penjagaan pemakanan dan kesihatan semasa bulan Ramadan juga sangat penting.

Ini kerana terdapat segelintir daripada masyarakat yang tidak mengambil berat akan perkara ini. Antara contohnya, tidak bersahur dengan baik dan berbuka secara berlebihan.

Sebagai manusia kita perlulah menyedari bahawa badan kita terdiri daripada sel-sel yang memerlukan sumber gula yang mencukupi bagi menghasilkan tenaga yang diperlukan untuk badan berfungsi dengan baik sepanjang waktu berpuasa.

Hal ini penting bagi memastikan kita dapat menjalani ibadah puasa dan ibadah-ibadah yang lain dengan sempurna tanpa rasa lesu dan tidak bermaya.

 

[5]

Persediaan yang kelima ialah segera menghabiskan segala pekerjaan dunia yang boleh mengganggu pekerjaan akhirat sepanjang bulan Ramadan.

Kita seharusnya menyedari manfaat, kelebihan dan kenikmatan yang Allah janjikan kepada kita di dalam bulan ini kerana ia akan datang dan berlalu pergi tanpa menunggu kita.

Jadi kita mestilah memaksimumkan segala usaha kita untuk mengejar segala ganjaran yang Allah janjikan sepanjang bulan ini dengan memberi sepenuhnya tumpuan kepada ibadah dan mengerjakan amal kebaikan.

Akan tetapi, sebagai seorang mahasiswa atau penuntut ilmu, tidak dinafikan ada sebahagian daripada kita yang akan menghadapi peperiksaan sepanjang bulan Ramadan ini.

Oleh itu, niatkanlah mengulangkaji pelajaran itu juga sebagai satu ibadah agar masa yang kita luangkan itu tidak menjadi sia-sia dan juga diterima sebagai salah satu amal soleh di sisi Allah SWT.

Bersegeralah melakukan kebaikan setelah selesai satu kebaikan yang kita lakukan supaya masa yang ada sentiasa terisi dengan mengingati Allah.

Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud,

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha mengerjakan amal soleh yang lain.

[Surah al-Insyirah : Ayat 7]

 

[6]

Persediaan yang keenam ialah menjaga mata, lidah, telinga dan seluruh anggota badan daripada perkara haram.

Sebagai seorang muslim, wajib ke atas kita untuk menjaga dan menghindarkan diri daripada perkara kemaksiatan yang merosakkan kita.

Ini juga adalah sebagai satu latihan kepada kita untuk sentiasa memperbaiki diri bagi membolehkan kita melangkah masuk ke bulan yang mulia ini agar perkara-perkara maksiat tidak bercampur dengan amalan-amalan soleh yang kita kerjakan sepanjang bulan Ramadan.

Oleh itu, kita mestilah cuba untuk berubah dan memperbaiki diri sebelum memasuki bulan Ramadan supaya semua amal soleh yang kita kerjakan sepanjang bulan ini diberkati dan diterima oleh Allah SWT.

 

[7]

Persediaan yang ketujuh ialah seruan kepada kita semua agar  berpuasa pada bulan sebelum Ramadan iaitu Syaaban.

Akan tetapi berpuasa dengan puasa-puasa sunat yang lain juga amatlah digalakkan juga sebagai latihan kepada kita untuk meraih ganjaran berpuasa di bulan Ramadan pula.

Terdapat beberapa hadis sahih yang menyebut tentang puasa di bulan Syaaban.

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah radhiallahu ‘anha juga menyebut,

Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dalam bulan lain lebih daripada bulan Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak berpuasa).

[Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

*akan tetapi terdapat juga khilaf berkenaan hukum berpuasa selepas nisfu Syaaban. (boleh rujuk kitab-kitab fekah yang berkenaan seperti Mughni Muhtaj dan lain-lain.)

 

Daripada Saidina Usamah bin Zaid menyebut,

Wahai Rasulullah, tidaklah aku melihat kamu berpuasa sebulan (Ramadan) penuh daripada bulan-bulan yang lain seperti mana kamu berpuasa pada bulan Syaaban”.

Maka Rasulullah SAW berkata,

Inilah bulan (Syaaban) yang selalu manusia dilalaikan antara bulan Rejab dan Ramadan, dan Syaaban adalah bulan yang diangkat amalan kepada Tuhan, maka aku suka jika amalan aku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.

[Hadis Riwayat An-Nasai]

 

*Hadis-hadis ini walaupun ada yang berbeza mafhum, ada pendapat yang mengatakan Nabi berpuasa penuh pada bulan Syaaban dan ada pendapat yang mengatakan Nabi berpuasa sebahagian/separuh maka ini adalah dalil anjuran kepada kita supaya berpuasa pada bulan Syaaban untuk menjadikannya sebagai persiapan menuju Ramadan.

 

 

[8]

Akhir sekali ialah anjuran kepada kita supaya sentiasa memperbanyak bacaan al-Quran tanpa mengira waktu terutamanya pada bulan rejab dan Syaaban kerana bulan-bulan inilah yang paling hampir untuk menuju Ramadan.

Jadi untuk memastikan kita dapat konsisten membaca al-Quran sepanjang Ramadan sehingga akhir Ramadan atau pun sehingga khatam. Latihan dan persediaan yang cukup sangat diperlukan iaitu dengan melatih diri berdisiplin membaca al-Quran pada setiap hari di luar dari bulan Ramadan.

Bulan Ramadan juga merupakan satu-satunya bulan yang Allah lipat gandakan pahala padanya, jadi amat rugilah jika kita tidak memanfaatkan sebaiknya peluang dan kesempatan yang direzekikan kepada kita dengan membaca al-Quran.

Terdapat banyak dalil-dalil berkenaan anjuran membaca al-Quran dan ganjaran yang dijanji buat si pembaca al-Quran, antaranya ialah :

Daripada  Abu Umamah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,

Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.

[Hadis Riwayat Muslim]

 

Abdullah bin Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda,

Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud Alif,Lam,Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf,Mim satu huruf.

[Hadis Riwayat al-Tarmizi]

Bersungguhlah membaca al-Quran dalam bulan ia diturunkan.
Bersungguhlah membaca al-Quran dalam bulan ia diturunkan.

 

Hargai Hingga Menangisi

Besar harapan agar kita semua dapat bersedia dan melakukan persediaan yang terbaik berdasarkan tip-tip ataupun cara-cara yang digariskan oleh para ulama mengikut kemampuan diri masing-masing.

Semua persediaan-persediaan ini disediakan oleh para ulama agar umat Islam sentiasa ‘rasa’ dengan kehadiran bulan agung ini dan seterusnya menghargai dengan bersungguh-sungguh peluang ini, jika kita direzekikan berada di dalamnya.

Hingga apabila kita benar-benar bersungguh menghargai Ramadan ini, kita boleh merasai sendiri bagaimana para ulama menangisi pemergiannya saban tahun. Tanpa menghargai, sukar untuk kita tangisi permegiannya.

Semoga Allah memanjangkan dan memberkati umur kita supaya dapat kita bertemu lagi dengan bulan Ramadan yang akan datang tidak lama lagi.

 

Wallahua’lam.

 

Egyptians break their fast during a holy month of Ramadan in Cairo, Egypt, Tuesday, July 24, 2012. (AP Photo/Amr Nabil)
Egyptians break their fast during a holy month of Ramadan in Cairo, Egypt, Tuesday, July 24, 2012. (AP Photo/Amr Nabil)

 

Tulisan ini ditulis oleh :

Muhammad Rafiq Bin Rosidi