derma organ bedah

Seolah menjadi sesuatu yang ‘taboo’ jika membicarakan dalam masyarakat kita tentang ‘pemindahan dan perdermaan organ’ suatu ketika dahulu. Bahkan hingga kini, ia adakalanya masih menjadi bahan bualan yang agak ‘taboo’ walaupun pencerahan tentang isu ini telah diusahakan oleh pihak-pihak tertentu.

Eh tak mudaratkan orang yang menderma ke? Dia kan masih hidup? Tak haram?” Kata seorang mak cik apabila selepas jirannya mahu mendermakan organ.

Tak boleh, tak boleh. Haram. Ini sudah menyiksa mayat!”Respons seorang pelajar yang baru sebulan bertalaqqi di hadapan dua guru keramat; ‘Ustaz Gugel’ dan ‘Sheikh YuTiub’.

Oleh kerana usaha untuk menuntut ilmu dan mendapatkan pencerahan daripada sumber autentik tentang sesuatu perkara itu sungguh sukar, tidak ramai yang memilih jalan ini.

Yang mudahnya, berkata-kata dan bercakap semberono dengan apa yang tidak kita ketahui. Nampak seakan diri pandai tapi pada hakikatnya membodohkan diri.

 

Pindah dan Derma

Penciptaan manusia adalah penciptaan kompleks paling terindah dan terbaik kurniaan ALLAH Subhanallah Ta’ala. Jutaan sel dalam badan manusia membentuk sesuatu yang dipanggil organ. Jumlah organ dalam badan manusia pula adalah sekitar 78 organ dan setiap organ itu berbeza saiz, fungsi dan posisinya.

Subhanallah. Maka benarlah firman ALLAH dalam surah az-Zaariyat ayat 21 yang menyoal kita dengan soalan yang merentap aqal fikir kita.

وَفِي أَنْفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?

Pendermaan dan pemindahan adalah dua perkara yang berbeza. Jika tidak berlaku pendermaan, maka tidak berlakulah pemindahan. Kerana, jika organ atau anggota badan yang diperolehi itu melalui proses jual beli, ianya satu proses yang HARAM menurut jumhur ulama. Organ atau anggota badan manusia sangat mulia, ia bukan untuk diperdagangkan.

 

Apakah Ia Tidak HARAM?

Banyak pendapat ulama’ kontemporari dan badan fatwa pada hari ini, mengharuskan pendermaan dan pemindahan organ, dengan beberapa syarat yang ketat.

Syarat-syarat itu juga terbahagi kepada dua; pemindahan organ manusia yang sudah mati kepada yang hidup dan pemindahan organ manusia yang hidup kepada yang memerlukan.

 

Antara syarat pemindahan organ manusia yang sudah mati kepada yang hidup :

  1. Hendaklah orang yang diambil sebahagian daripada anggotanya telah mengizinkannya sebelum dia mati, dan dia adalah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya setelah kematiannya.
  2. Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.
  3. Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk berubat dan bukan untuk maksud dan tujuan yang lain.
  4. Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.

 

Manakala bagi syarat pemindahan organ manusia yang hidup kepada yang memerlukan pula adalah :

  1. Hendaklah persetujuan memberi itu atas kerelaannya dan bukan dengan paksaan.
  2. Hendaklah pemindahan organ itu merupakan usaha yang terakhir serta dalam keadaan darurat bagi mengubati pesakit.
  3. Hendaklah dipastikan bahawa operasi mengambil organ dan memindahkannya kepada pesaki itu pada umumnya berjaya menghasilkan faedah yang diharapkan.
  4. Janganlah orang yang diambil organnya itu menempuh bahaya yang akan mengganggu keadaan hidupnya yang biasa. Ini adalah kerana kaedah syarak menegaskan bahawa bahaya tidak boleh dihapuskan dengan sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya lain yang sama berat dengannya. Apatah lagi jika bahaya mendatang lebih besar daripadanya. Jika berlaku demikian bererti orang itu mendedahkan dirinya kepada bahaya dan hukumnya adalah tidak harus dari segi syarak.

 

Lihatlah, ia tidaklah semudah seperti yang digambarkan dalam drama di kaca TV, sang lelaki dermakan matanya untuk kekasihnya demi cinta. Islam tidak meluluskan atau mengharuskan dengan cara yang begitu walau di mata kasar kita  nampak seakan ‘mulia’.

Islam sangat rinci dan teliti dalam membahaskan perkara sebegini. Bahkan perkara ini sudah pun dibincangkan di Tanah Melayu dan sekitar nusantara seperti perdebatan tulisan antara Syed Hussein al-Attas dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang dirakamkan dalam buku ‘Biarkan Buta : Sekitar Perbahasan Ilmiah Derman Kornea Mata’ circa tahun 1960-an dan 1970-an lagi.

Institusi yang menyokong fatwa mengharuskan ini adalah Majlis Fatwa Kebangsaan Jun 1970, Lajnah Fatwa Al-Azhar (Fatwa 491), Darul Ifta’ Mesir (Fatwa 88/212), Majlis Ulama Indonesia (29 Jun 1987), Lajnah Fatwa Kebangsaan Jordan dan Hai’ah Kibar Ulama Kerajaan Arab Saudi (nombor keputusan 99).

Ulama’ yang senada dengan pendapat yang mengharuskan pula adalah Bekas Mufti Republik Mesir Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Mantan Syeikh Al-Azhar Syeikh Jada al-Haq Ali Jada al-Haq, Syeikh Abdul Rahman As-Sa’di, Syeikh Ibrahim Al-Ya’qubi, Dr. Rauf Syalabi, Dr. Abdul Jalil Syalabi, Dr. Mahmud Ali Al-Syartawi, Dr. Hashim Jamil Abdullah dan Prof. Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.

Ada juga pendapat ulama’ yang mengharamkan, dengan hujah ampuh masing-masing dan memang mereka ahli dalam berijtihad. Perbezaan ini bukan sebagai modal untuk berbalah dan berpecah, tapi untuk perbahasan ilmu ini afar lebih bercambah. Antaranya berhemat mengharamkan ialah Syeikh Abdullah bin al-Sadiq al-Ghumari, Fyeikh Muhammad Mutawali Sya’rawi, Dr. Hasan Ali Al-Syazili, Dr. Abdul Salam Abdul Karim Al-Sukkari, Syeikh Muhammad Burhanuddin Al-Sambohli dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

Namun begitu, kita di Malaysia masih tetap berpegang dengan pendapat Majlis Fatwa Kebangsaan negara kita yang mengharuskan.

 

 

Hidup Selepas Mati

Dengan keluasan ilmu dan fikiran menjangkau masa yang dikurniakan oleh ulama kita dahulu hingga kini, pendapat yang mengharuskan ini membawa banyak maslahah dan kebaikan untuk orang awam terutama pada masyarakat berbilang bangsa di negara kita.

Dari keadaan itu juga membuatkan perbahasan seputar isu ini makin bercambah. Bolehkan kita mendermakan organ kepada orang bukan Islam? Bolehkah menerima derma organ daripada seorang kafir? Apakah boleh dilakukan derma testis (bahagian yang mengeluarkan sperma)? Dan banyak lagi persoalan-persoalan lain yang timbul.

Segala persoalan-persoalan tersebut telah pun dijawab dengan tuntas oleh para ulama kita, tinggal kita pulalah untuk berkerah kudrat untuk membaca dan memahaminya.

Oleh sebab itulah tulisan ini tidak terlalu disesakkan dengan perbahasan dalil dan kaedah-kaedah fiqh yang mendalam, supaya mudah ditatap oleh pembaca awam. Tulisan kecil ini bolehlah dijadikan sebagai penyemarak semangat untuk meneruskan pembacaan dan pembelajaran lagi dalam bab ini.

Mungkin hari ini, amalan menderma organ dan anggota badan ini masih agak langka dan ‘taboo’ (terutamanya bagi bangsa Melayu) dalam masyarakat kita. Namun, jika kesedaran menyelamatkan nyawa orang lain ini dimulakan dengan kita masing-masing mendaftarkan diri dan menyatakan ikrar derma organ, maka tidak mustahil amalan ini mampu merebak sedikit demi sedikit, seterusnya akan membuatkan amalan ini tersebar luas.

Sesuatu kebaikan ini, adakalanya tidak perlu pun cakap-cakap yang berhambus kencang, tapi cukup tingkah laku kita sendiri yang berkata-kata dan menjadi contoh buat orang lain.

Bayangkan, betapa mulianya amalan derma organ ini. Tatkala nyawa sang jasad sudah kembali ke pangkuan Tuhan untuk bersemadi di daerah abadi, organ dan anggota jasad yang masih elok berfungsi meneruskan ‘hidup’ untuk berfungsi di jasad orang lain. Manfaat fungsinya diteruskan. Jariahnya masih kekal berjalan menjana pahala buat sang penderma.

Ya, organ itu masih hidup selepas mati!

 

وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا ۚ

“…dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…

[Surah Al-Maidah (5) : Ayat 32]

 

 

Ikrar Derma Organ
Ikrar Derma Organ

 

Proses menderma.
Proses menderma.

 

Organ yang boleh diderma.
Organ yang boleh diderma.

 

 

Tisu yang boleh didermakan.
Tisu yang boleh didermakan.

 

 

Mitos umur penderma.
Mitos umur penderma.

 

 

 

Rujukan :

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Pemindahan & Pendermaan Organ, UPSN Publications, Cetakan Pertama, April 2012.

Syed Hussein AlAttas, Biarkan Buta : Sekitar Perbahasan Ilmiah Derma Kornea Mata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Cetakan Pertama, 2015.

Rakaman Video Perbahasan Derma Organ Dalam Islam yang disampaikan oleh Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

http://www.dermaorgan.gov.my

http://www.myhealth.gov.my/derma-organ/

 

 

 

Muhd Iqbal Samsudin

2202, 300418

El-Abbasiya, Cairo, Egypt.