perubatan-color

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam atas nikmat Islam dan iman yang kita rasai pada hari ini. Selawat dan salam atas junjungan besar Rasulullah S.A.W insan agung yang tidak pernah melupakan umatnya baik di dunia mahupun akhirat sana.

 

Sebagai seorang mahasiswa sains kesihatan di Perlembahan Nil ini, rutin harian kita sentiasa  diwarnai dengan kesibukan belajar di kuliah, bermasyarakat sesama rakyat Malaysia mahupun Mesir, berkecimpung dalam aktiviti berpersatuan sehinggakan sedar tidak sedar kita semakin menghampiri penghujung sesi pengajian, menandakan musim peperiksaan bakal menjelma tidak lama lagi.  Sepertimana semua sedia maklum, peperiksaan akhir tahun bagi mahasiswa Tahun Satu sehingga Empat di Universiti Ain Shams dijadualkan bermula seawal bulan Mei ini.

 

Sehubungan dengan itu, Biro Akademik (BCAD) PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2018/2019 (PCS) terpanggil untuk mengadakan “Exam Fever Campaign” atau lebih dikenali sebagai (EFC) bermula 1 Mei sehingga 3 Julai 2018. EFC merupakan aktiviti tahunan bagi Biro Akademik yang diadakan saban tahun apabila menjelang musim peperiksaan. Kempen ini bertujuan mewujudkan suasana atau biah peperiksaan dalam kalangan ahli di samping memberi suntikan awal kepada ahli untuk melakukan persediaan menghadapi peperiksaan.

 

Kempen ini dilihat selari dengan saranan Pengerusi PCS, saudara Razaili bin Razak dalam ucapan dasar beliau semasa Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) kali pertama yang menegaskan bahawa kecemerlangan akademik sebagai salah satu medan jihad kita, menunjukkan bahawa PCS sentiasa komited dan bersunguh-sungguh dalam memastikan akademik ahli berada pada tahap yang boleh membanggakan kita sebagai mahasiswa sains kesihatan.

 

Maka diharapkan kempen yang dijalankan sepanjang musim peperiksaan ini mampu memberi suntikan semangat kepada seluruh ahli supaya sentiasa tekun dan sabar dalam menempuh musim peperiksaan yang bukan sahaja panjang malah dihiasi dengan cabaran dan dugaan yang tersendiri. Semoga usaha kecil ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT di samping dipermudahkan segala urusan dari awal hingga ke akhirnya. Selamat maju jaya diucapkan buat semua, semoga kejayaan menjadi milik kita bersama.

Sekian, terima kasih.

#PCSArasTinggi

PCS, Kita Satu Hati

 

wadud kr 3

 

”Achieve the Highest, Improve Others“

Abdul Wadud bin Abdul Halim

Ketua Biro Akademik (BCAD) 2018/2019