perubatan-color


Assalamualaikum W.B.T.

 

Alhamdulillah, segala puji kepada Allah S.W.T Yang Maha Pengasih kerana telah mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita supaya boleh bernafas dan hidup di atas muka bumi ini.  Selawat dan salam buat junjungan besar Baginda Nabi Muhammad S.A.W  yang telah melestarikan dunia ini dengan keindahan Islam sehingga ke hari ini.

 

Selamat datang dan selamat bermesyuarat, saya ucapkan kepada semua sidang perwakilan dan pemerhati yang hadir memeriahkan Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) kali kelima pada tahun 2018 ini. Dengan membawa tema “Kita Keluarga PERUBATAN”, MTC kali ini menjadi medan terbaik buat pimpinan dan ahli untuk saling bermuhasabah dan berkongsi idea dalam merealisasikan visi kita iaitu PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk profesional sains kesihatan yang Rabbani dan kompeten.

 

PERUBATAN Cawangan Ain Shams sesi 2018/2019.

 

Sedar atau tidak, PCS selaku organisasi yang menaungi mahasiswa Universiti Ain Shams telah pun memasuki tahun keenam penubuhannya sebagai PERUBATAN Cawangan yang dahulunya hanyalah sebuah Organisasi Perubatan Universiti (OPU). Saya pasti delegasi pengerusi-pengerusi sebelum ini telah berjaya menampakkan PCS sebagai persatuan yang semakin matang dan lebih ke hadapan dalam segenap aspek.

 

Sidang perwakilan dan pemerhati yang dimuliakan,

 

“PCS ARAS TINGGI: Ke arah melahirkan mahasiswa berpengetahuan dan berkemahiran”

 

Firman Allah s.w.t di dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud;

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, mengajak kepada yang ma’aruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah s.w.t.”

Dalam meneraju PCS Aras Tinggi , beberapa objektif kami sasarkan dalam meningkatkan prestasi ahli PCS dalam aspek akademik. Antaranya, membentuk mahasiswa perubatan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Pemerkasaan Medical Team (MEDTEAM) dan sistem mentoring merupakan dua fokus utama pada sesi kali ini sebagai medium pemantapan akademik ahli PCS. Antara inisiatif yang digariskan melalui MEDTEAM ialah pengkajian semula silibus medteam mengikut kesesuaian batch serta pemerkasaan aplikasi ilmu-ilmu klinikal dalam setiap medium yang ada. Selain itu, ahli dapat memperoleh pengisian MEDTEAM yang bersesuaian untuk semua batch secara terbuka di samping  Small Group Discussion (SGD) mengikut batch masing-masing tetap diteruskan pada sesi kali ini.

Keadaan komuniti PCS yang semakin mengecil merupakan suatu ruang dan peluang bagi setiap individu untuk sentiasa cakna dengan akademik sahabat seperjuangan yang lain. Jangan bawa resmi jagung, semakin berisi semakin tegak. Sebaliknya gunakan kelebihan yang ada, bagi membantu rakan-rakan yang lain untuk mengecapi kejayaan yang sama. Sistem peperiksaan yang semakin mencabar dan padat, menyebabkan generasi junior Universiti Ain Shams mempunyai kekangan masa untuk menghadam topik yang banyak sebelum End Block Exam secara efektif. Maka sistem mentoring merupakan medium yang sangat penting dalam meningkatkan prestasi akademik ahli daripada setiap batch.

Kedua, membudayakan dan memperkasakan penguasaan ilmu-ilmu penting dalam kalangan ahli PCS.

Sebagai mahasiwa sains kesihatan Mesir, kita sewajarnya melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu penting selain ilmu akademik khususnya ilmu fikah perubatan, sejarah dan politik mahasiswa. Oleh yang demikian, penggunaan medium sedia ada di PCS dalam menyampaikan ilmu tersebut perlu dilaksanakan secara optimum. Ahli akademi Unit Fikah Perubatan perlu dimanfaatkan sebagai pengisi ilmu tersebut selain menjadikan Teratak Ulul-Albab sebagai medium penyebaran ilmu pengetahuan dalam kalangan ahli PCS.

Ingatlah sahabat-sahabat, PCS hanya sebagai wasilah dalam membantu meningkatkan akademik ahli. Natijahnya, semua akan berbalik kepada kesedaran dan usaha individu tersebut untuk bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Hadirin yang dirahmati Allah,

 

“Memurnikan pemikiran, Melestarikan Kesatuan”

 

Firman Allah dalam Surah  Al Maidah ayat 2 yang bermaksud;

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran”

 

Ayat ini jelas menunjukan bahawa pentingnya tolong-menolong dalam kehidupan bagi menatijahkan sebuah masyarakat yang madani. Sehubungan dengan itu, PCS berada di barisan hadapan dalam menjayakan kesatuan mahasiswa di Mesir. Bagi mencapai aspirasi murni ini, maka kami sasarkan beberapa objektif utama dibawah agenda kesatuan.

 

Antara sasaran utama dalam menjayakan agenda kesatuan ialah memupuk sifat kebersamaan dalam komuniti Ain Shams. Secara  realitinya, kita mengalami kekurangan jumlah ahli secara mendadak.  Hal ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekosistem komuniti PCS secara tidak langsung.  Bagi menghadapi situasi sebegini, maka hubungan sesama kita, baik ahli mahupun pimpinan perlu dipereratkan. Oleh itu, sesi PCS 18/19 bakal menyaksikan pimpinan PCS turun setiap Smart Circle ahli bagi memupuk budaya diskusi ilmiah disamping merapatkan jurang secara lebih kohesif. Selain itu, PCS juga memupuk ahli cakna kebajikan sesama sendiri melalui pemerkasaan taakhi batch dalam aktiviti seperti mentoring, iftar, ziarah dan lain-lain.  Bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

 

“Orang-orang mukmin itu seperti sebuah binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain”.

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Berdiri sebuah binaan kerana tiangnya, berdaulat sebuah negara kerana rakyatnya dan semestinya PCS masih utuh sehingga ke hari ini adalah kerana kesatuan ahlinya. Bak kata pepatah, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”

 

Sidang perwakilan dan pemerhati sekalian,

 

“Tarbiah Membangun Jiwa Rabbani”

 

Firman Allah taala yang bermaksud:

 

“Wahai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya dan berjihadlah pada jalanNya supaya kamu mendapat keuntungan”

[Surah Al-Maidah ayat 35]

 

Membangun jiwa Rabbani dalam kalangan mahasiswa memerlukan dukungan ilmu yang mantap. Ilmu-ilmu di dalam Islam ibarat cahaya yang mempimpin jalur pemikiran dan arah tindakan yang baik. Sehubungan dengan itu, PCS berusaha untuk memanfaatkan kelas-kelas pengajian agama yang sedia ada iaitu melalui kelas Tafaqqquh, MOCHA, Bro Qowiey dan Zahra’ bagi membentuk muslim yang memahami Islam secara menyeluruh  dengan menyediakan pengisian berbentuk ilmu-ilmu asas Islam seperti akidah, ibadah, fikah, tasawuf dan Ilmu-ilmu tambahan misalnya fikah kenegaraan, isu semasa umat Islam, sejarah Islam dan banyak lagi.

 

Bagi merealisasikan agenda pembangunan insan, PCS juga memandang kehadapan dalam menjadikan unit-unit besar biro sebagai wasilah pembangunan Profesional Sains Kesihatan yang Rabbani dan Kompeten dengan cara merancang pelan tindakan ke arah melahirkan generasi para duat yang berpengetahuan tinggi seterusnya mampu menjadi tenaga pengisi di cawangan serta berusaha menerapkan konsep pelaksanaan Amar Makruf Nahi Munkar kepada seluruh ahli mahupun pimpinan.

 

Oleh itu, ayuhlah kita sama-sama menyahut agenda ini demi melahirkan Muslim yang berjiwa Rabbani seterusnya sentiasa mencari jalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah dan berusaha mendapatkan keredhaanNya.

 

Mahasiswa dan mahasiswi yang disegani,

 

“Professionalisme, satu identiti dan keperluan”

 

Walaupun terdapat keperluan kepada penekanan model ‘back to basic’ dalam PCS akibat pengurangan ahli yang mendadak, ini tidak bermakna kita boleh beremeh dalam pengurusan sistem dan gerak kerja kita.

Perkara-perkara asas dan keperluan dalam komuniti akan terus dilaksanakan demi kepentingan semua ahli. Kita sentiasa mendengar rintihan ahli yang mengadu antaranya kewujudan bilangan program yang banyak yang meletihkan ahli-ahli kita. Bertitik tolak dari ini, PCS sejak dua sesi yang lalu telah berusaha mengoptimumkan segala jenis program, aktiviti dan birokrasi akan sesuai dengan keadaan semasa. Kita akan sentiasa berpijak di bumi nyata dan memastikan kebajikan ahli-ahli sentiasa terjaga. PCS akan terus menggembur program-program yang paling bermanfaat kepada komuniti . Kerjasama dengan PERUBATAN cawangan lain juga dilihat sebagai satu keperluan supaya pertukaran idea boleh dilakukan bersama  dan masalah kekurangan tenaga dapat diminimumkan.

 

Sebagai pimpinan, kita bukan hanya perlu berjanji menunaikan manifesto-manifesto yang kita pernah janjikan, bukan hanya sekadar mengisi posisi-posisi yang ditinggalkan senior-senior  bahkan kita perlu berjanji  untuk melakukannya dengan bersungguh dan sepenuh hati kita, mengikut laras-laras birokrasi yang sebenar dan mempunyai mindset profesional yang kemas.

 

Firman Allah Taala ; “ Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti diminta dipertanggungjawabkan. “ (An Nahl : 91)

Justeru, ,birokrasi yang melibatkan etika-etika pengurusan dan standard operation procedure (SOP) akan tetap terus dipantau secara rapi demi memastikan PERUBATAN terus kekal dengan identiti professionalnya yang ikonik.

 

Sidang dewan yang dihormati,

Firman Allah dalam surah as-Sof, ayat 4 :

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh”.

 

 

Ayuh kita sama-sama berganding bahu rapatkan saf, pupuk rasa cinta dan kasih antara satu sama lain serta kita ketepikan perihal perbezaan pendapat. Jangan disebabkan perbezaan pendapat yang hanya sedikit, kita telah meruntuhkan satu elemen yang besar iaitu kesatuan.

 

Harapan saya, marilah sama-sama kita terus beristiqamah dalam menuntut ilmu, pertingkatkan amalan dan nilai-nilai modal insan, perteguhkan kesatuan dan menerapkan profesionalime dalam diri dan gerak kerja. Kami selaku pimpinan PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) sesi 18/19 memohon doa dari kalian agar dapat memikul amanah yang berat ini dan sama-sama kita membawa PCS ke jalan yang diredhai Allah.

 

Siiru ‘Ala Barakatillah. Bekerja dengan PERUBATAN, bekerja untuk Islam.

Sekian, terima kasih.

 

“PCS, Kita Satu Hati”

#PCSArasTinggi

 

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2018/2019

 

jai kr

Razaili bin Razak,

Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2018/2019.