PERANG MELAWAN DOKTOR !

“Awak jangan degil boleh tak? Saya ni doktor!”, balasku kepada patient  wad 5.

Dihempas akanku fail history taking pesakit itu. Ameera Rania. Wah, nama bukan main canggih! Tapi, perangai mengalahkan Dafi (kucing di rumah Yui ). Aku balik ambil histroy taking Dafi pun lagi bagus. Di ‘meow’ kan juga oleh Dafi.

“Kalau engkau ni doktot, apasal tanya aku macam-macam. Hah! Dah naik meluat aku tahu? Aku datang ni sakit. Sakitlah. I call this hospital director, baru you tahu sakit hati I ni macam mana!” dengus dia.

Amboi!

Aku cucuk low dose Midazolam baru tahu! Bagi pengsan terus dan akanku kunci sekunci-kuncinya mulut puaka betina ini. Cuma tunggu nak gari saja selepas habis semua GABA aku naikkan dosnya.

Haha!

Terasa digores-gores benak jantungku dengan tekanan darah aku yang memecut laju. Kalau dibiarkan lama-lama, bukan takat didih blood pressure saja yang naik. Entah-entah aortic aneurysm bisa saja meletup dari leluhur degupan jantungku ini. Apa tidaknya penat lelah aku habiskan pengajian tujuh tahun di Ain Shams Medical School  seperti dihenyak-henyak semacam ubi keledak saja.

Sis! Give me Versed 1 mg/mL. Oh, nope. I mean give me 5 mg/mL instead, right now!“sedikit tinggi intonasi suaraku dilepaskan.

Do you mean Midazolam? I can’t! This is against the law. Without having any correct diagnose, the patient can’t go under sedation“, arah Sis Maimunah.

Ceh, speaking beb!

Ah, tidak kira. Harus aku tunjukkan siapa sebenarnya doktor dalam wad ini. Lantas disambar terus ubat sedatif itu daripada tangan Sis Maimunah.

Nah, rasakan!

Stop! Doc Amirul Fikri Khairil Asyraf!”

Hah? Tuan Pengarah!

* * *

Apakah stigma masyarakat terhadap pekerjaan seorang doktor pada hari ini?

Sekiranya anda bandingkan dahulu dengan sekarang, apakah tiada corak perubahan yang pragmatik pada pemikiran dan gaya hidup masyarakat terhadap arus dunia kesihatan?

Sayugia mengetahui bahawa peranan seorang doktor mempunyai profil dan persepsi yang tinggi dalam kalangan masyarakat. Kerja seorang tabib sudah tentunya bertindak sebagai agen penyembuh dan pemberi rawatan kepada seluruh masyarakat. Segala kalam-kalam doktor ini begitu ‘masmuq’!

Dari proses mendiagnosis sehinggalah ke sesi  rawatan susulan yakni selepas tempoh rawatan di hospital, arahan daripada doktor dituruti dengan begitu rapi sekali. Kerana semua tahu, betapa nyawa itu hanyalah ada satu. Andai habis dimamah sakit maka pergilah jasad menyembah bumi.

Namun, marcapada melihat rakyat zaman atom kini sudah membuka dogma dan kepercayaan seluas-luasnya. Sekiranya boleh kita cakapkan kepada orang kebanyakkan dahulu akan terma sains dan perubatan, semuanya menjadi seperti burung kakak tua. Disuruh angguk, angguklah dan diarah geleng, gelenglah. Tak dinafikan dangkalnya masyarakat dahulu seolah-olah terkena dengan sihir miosis dalam Horner’s Syndrome dek kerana kepercayaan seperti tahyul dan bomoh jembalang. Sebegitu dasyat metafora untuk digambarkan seperti sempitnya lensa mata dalam miosis untuk melihat hakikat sebenar. Kita dapat lihat sesungguhnya ramai doktor telah berhempas pulas membanting tulang empat kerat turun menjengah masyarakat untuk menerangkan mengenai kempen-kempen kesihatan.

Itu kisah 30 hingga 50 tahun dahulu. Ironinya hari ini, penglihatan generasi mellinium seakan-akan seperti terkena panahan ptosis dalam siri-siri penyakit Grave. Terbeliak maha besar mungkin disebabkan penangan mudah-mudah percaya terhadap jaringan tanpa sempadan pada kuasa laman sesawang. Nah, bukankah maklumat di hujung jari? Tak perlupun untuk segulung ijazah untuk menjadikan anda seorang yang tahu. Namun, apakah ‘tahu’ itu tiada perbezaannya dengan ‘pengetahuan’?

Dalam makalah ini, penguraian terhadap stigma-stigma semasa akan dilakukan. Kemudian, sesi bedah siasat dibuat bagi merungkai langkah-langkah yang boleh kita paterikan dalam nazam dan azam perjuangan seorang doktor.

gun

ISUNYA DOKTOR YANG SALAH!

Doktor hari ini harus tidak lagi memandang rendah kepada masyarakat. Masyarakat pada hari ini rata-ratanya bukanlah lagi budak hingusan tetapi bijak pandai dalam soal-soal yang berkepentingan seperti hak-hak asasi seorang pesakit.

Bermula dari hak menerima rawatan, perkara sulit pesakit, soal halal haram ubat-ubatan, kepercayaan agama seperti isu aurat sehinggalah ke hak untuk law suit , semua perkara ini semakin dicerna dengan baik oleh masyarakat.

Adakalanya, masyarakat persoal apakah semua arahan harus dituruti secara membabi buta tanpa tahu akan usul periksa semata ? Seperti isu pesakit perlu menanggalkan pakaian dan telanjang bulat di hadapan doktor atas alasan untuk proses mendapatkan diagnosis dengan tepat, bukankah ini ialah berlawanan dengan norma-norma masyarakat Malaysia yang terasnya menjadikan kepercayaan kepada Tuhan sebagai pegangan hidup?

Sudahkah kita lupa akan kes tiga tahun yang dahulu, dek hanya merawat pesakit berlainan gender dan tidak ditemani oleh jururawat, seorang doktor telah dihukum penjara selama tujuh tahun?

Jadi, bagaimanakah dengan dua peristiwa yang sangat menconteng arang kepada profesion kedoktoran apabila kes doktor ‘selfie’ sewaktu menyambut kelahiran serta kes Miss ‘T’ yang mendakwa bahawa doktor terbabit merabanya serta diminta untuk melucutkan pakaian telah menjadi isu paling sohor kini dalam kalangan masyarakat di seluruh ceruk tanah air.

Masyarakat menuntut untuk mereka dilayan dengan sebaik-baiknya. Pada kaca mata penulis, ini berlaku disebabkan kurang nilai empati dalam mencerap falsafah yang terkandung di sebalik etika-etika moral yang disenarai panjang sewaktu di alam persekolahan. Melihat pesakit sebagai objek pekerjaan dan bukanlah sebagai manusia seperti kita, adakah ini menunjukkan kerja-kerja doktor tak ubah hanyalah untuk memenuhi pasaran kerjaya kasta tinggi semata-mata ?

Dek hilangnya sifat-sifat insaniah dan dibuangkan pula teras-teras kemanusiaan, dimanakah silapnya pendidikan perubatan yang diajar di sekolah-sekolah perubatan?

Maka, terpalitlah noda hitam kepada para doktor. Diangkatlah darjat-darjat kebesaran dan kemegahan kerja seorang penyembuh dan dipandang kejilah akan semua terhadap kami penyambung generasi doktor-doktor hari ini.

Justeru, dengan justifikasi tidak adil ini, kemanakah lagi harapan dan kebergantungan rakyat untuk lari daripada soal-soal sakit dan sihat ini?

MANIKAM : HANYA JAUHARI JUALAH YANG TAHU

Hanya jauharilah yang tahu akan manikam. Begitulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan bahawa hanya mereka yang terpelajar dalam bidangnya sahaja yang layak dijadikan sebagai tempat rujukan dan aduan. Sayang seribu kali sayang, perkara terpenting ialah apabila pesakit cuba menjadi seolah-olah mereka lebih tahu daripada doktor. Masalah terjadi rawatan yang sempurna tidak dapat diteruskan kemudiaan akhirnya doktor dipersalahkan. Sekiranya hal ini dibiarkan berlarutan dan menjadi ependemik seandainya tak dicegah awal, ini boleh merebak dan membarah dalam masyarakat bagaikan virus-virus benci dan amarah bakteria yang boleh menang dalam pelbagai perang biologi pada abad 21 ini.

Isu seperti gerakan anti-vaksin seolah-olah menjadi berita malar segar dalam kalangan dunia perubatan. Menjadi begitu tular dan hangat sejak kebelakangan ini, khabar angin dan fitnah palsu terhadap peranan vaksin mula diadu domba serta dipertikaikan oleh masyarakat. Andai benar vaksin bersalah, bagaimanakah sebanyak 95% liputan vaksin terhadap kanak-kanak yang dijalankan sehingga dua hampir memperoleh imuniti yang berupaya untuk berlawan dengan penyakit seperti batuk kokol dan tuberkulosis?

Hal ini sudah berbeza, apabila kes-kes dahulu berada tahap terendah seperti kes Measles, Tetanus dan Pertussis jarang didengari tetapi sudah mula buat ‘come back’ di tanah air. Sebab itulah, Tun Dr. Siti Hasmah pernah berseloroh sekiranya dahulu beliau terpaksa turun padang ke ceruk-ceruk kampung untuk menerangkan berkaitan vaksin tetapi sekarang beliau mungkin terpaksa menjengah ke ibu kota untuk berkempen berkaitan vaksin.

Isu vape pula. Sebelum ini, berpuluh-puluh kenyataan tentang keburukan e-Rokok daripada para doktor sehinggalah ke Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun dikeluar. Namun, ternyata alasan penentangan tersebut belum cukup kuat untuk menghentikan nafsu amarah para pengguna vape. Terbaru, terpampang di laman sesawang sosial yang menyaksikan Salleh Awang terpaksa menerima enam jahitan disebabkan vapornya telah meletup. Selain itu, kenyataan seperti kanser mulut, local heat  dan penyakit berjangkit turut telah diterangkan oleh para doktor. Tak dinafikan kandungan nikotin boleh menjadi rendah namun dengan asap-asap yang berkepul, logiknya tidakkah ianya mengganggu ketenteraman awam dan memberi kesan jangka panjang yang lebih signifikan.

Teringat akan bait-bait kata Sani kepada Inspektor Khai dalam filem Polis Evo :

“Kalau kereta rosak boleh beli baru, kalau paru-paru rosak nak cari mana?” Huh? Jangan cakap nak buat allograft untuk gantikan paru-paru ye penghisap rokok?

Itu baru dua isu. Tidak diceritakan lagi berkaitan Homebirth, Lotusbirth, doktor lelaki tidak boleh sambut kelahiran, produk-produk kecantikan dan lain-lain. Ini semua berpunca daripada masalah masyarakat yang mahu tunjuk lagak dan pandai. Hanya kerana mudah percaya pada persepsi dan cakap-cakap orang, akhirnya fakta dikatakan auta dan benar dikatakan dusta.

Ah, dunia ini sudah cacamerba mungkin. Semuanya sudah terbalik.

PERANG-PERANG JUGA, PERANG SIKIT-SIKIT JANGANLAH

Bukanlah niat di hati untuk menuduh kepada mana-mana pihak. Ditaip akan luahan perasaan ini untuk sama-sama kita menilai dan bermuhasabah terhadap sikap-sikap dua elemen terpenting dalam menjayakan satu suasana kesihatan yang dinamik dan progresif.

Sama ada masyarakat atau doktor, kedua-duanya merupakan ejen terpenting bagi memastikan kita di landasan yang betul. Segala dakyah dan anasir jahat terbentuk dek kerana panahan nafsu dan kotoran yang memenuhi liang-liang serebral fikiran perlulah diperangi secara bersama.

Pertamanya, polisi-polisi kerajaan sedia ada perlu dinilai secara teliti semula. Isu seperti mencukaikan vape, mewajibkan vaksin kepada semua serta kempen-kempen yang mampu dan berdaya menyengat masyarakat, semuanya harus kita kaji semula. Hanya ada 3 tahun saja lagi untk kita membina status negara maju. Rancangan Kesihatan Malaysia 2016-2020 tidak seharusnya dilihat pada akses untuk memberi rawatan semata-mata tetapi harus juga berfungsi sebagai pemangkin kepada kesedaran isu kesihatan yang berpanjangan.

Keduanya, semua badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit haruslah mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas. Turun padang dan mendekati masyarakat secara bersemuka mahupun secara atas talian seperti laman sesawang sosial perlulah dibuat agar isu-isu yang disebut tidak mudah diputar belit begitu saja.

Ketiganya, masyarakat haruslah tidak memandang enteng terhadap hak-hak mereka sebagai seorang pesakit. Seandainya tidak mengetahui sesuatu penyakit, maka tanyalah kepada pakar.  Doktor pula haruslah menjadi dogma masyarakat kerana sekiranya dalam hal seperti ini tidak kepercayaan mereka kepada kita, maka kemanakah lagi harus ianya ditumpahkan?

Ayuh, perangi kejahilan ini habis-habisan! Tingkatkan kompetensi dan bentuklah tauladan yang baik kepada masyarakat. Jadilah doktor yang insani dan bersifatlah dengan jiwa keibuan dan tegasnya kebapaan. Ingatlah, sesungguhnya doktor hanyalah wasilah dan Allah jualah yang Maha Penyembuh.

Akhirnya hanya Tuhan saja yang Maha Mengetahui.

 

MUHAMMAD SHAFIQ BIN KADIR

TAHUN 6

KETUA JABATAN BENDAHARI DAN EKONOMI,

PERUBATAN CAWANGAN AIN SHAMS(PCS) 17/18.

 

Sumber Rujukan

1- Malaysia Health Plan 2016-2020, Rancangan Malaysia ke-11

2- Keratan Akhbar Sinar Harian, doktor kekal dipenjara tujuh tahun cabul pesakit, 3 April 2014

3- Keratan Akhbar Utusan, Doktor ‘selfie’, 2 September 2015

4- Pharmacology, Chapter Central Nervous System, 2014, Professors of Pharmacology Department, Ain Shams University.

5- Evaluation of E-Cigarette Liquid Vapor and Mainstream Cigarette Smoke after Direct Exposure of Primary Human Bronchial Epithelial Cells, 2015, Detlev Bracsheid