بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Apabila kamu memberikan kepercayaan pada orang lain , maka hendaklah orang yang diserahkan amanah itu menunaikan amanahnya dan takutlah ia pada Allah ,tuhannya. (Surah al-Baqarah:283)

Islam menempatkan kepimpinan di tempat yang tinggi seperti sabda Rasulullah:

“Makhluk yang paling dicintai Allah adalah imam yang adil dan yang paling dibenci Allah adalah imam yang zalim.” (HR Ahmad)

Daripada perspektif sirah , kepimpinan atau pemerintahan merupakan alat dan bukan sebagai tujuan .Ia adalah alat yang aktif yang dapat menyampaikan kepada tujuan yang hendak dicapai oleh pemerintahan Islam itu sendiri. Al-imamah atau al-Imarah secara lebih umum , bertujuan untuk menggantikan tempat Rasulullah dalam memelihara Ad-Din dan mengatur urusan dunia.

Urusan memimpin manusia adalah antara kewajipan Ad-Din yang terbesar. Bahkan Ad-Din tidak akan dapat tegak tanpa adanya kepimpinan tersebut .Hal ini kerana kemaslahatan umat tidak sempurna kecuali dengan manusia hidup secara bermasyarakat.

Rasulullah mewajibkan umatnya melantik seorang ketua walaupun dalam sebuah kumpulan yang kecil dan bersifat sementara seperti dalam suatu perjalanan. Allah juga telah mewajibkan umat Islam melaksanakan amar makruf wa nahi munkar. Tugas amar makruf wa nahi munkar ini pula tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan adanya kekuatan dan kepimpinan.

Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN Cawangan (JPC) 2017/2018

Tahun silih berganti, peneraju kepimpinanan PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) akan bertukar ganti. Pimpinan seterusnya bakal membawa aspirasi kepimpinan yang baru namun tetap selari dengan pembawaan yang telah digariskan PERUBATAN. Sehubungan dengan itu, proses pelantikan barisan kepimpinan baru ini akan dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dinamakan Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC). Mereka bertanggungjawab bagi memastikan proses pemilihan berjalan dengan lancar, bebas, telus dan bersih.

Selari dengan perlembagaan PERUBATAN, Bab 4 Fasal 27 (1) (a):
“Jawatankuasa Khas untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan yang selepas ini disebut sebagai Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) hendaklah ditubuhkan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN untuk mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan pemilihan Ahli JawatankuasaTertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Bertepatan juga dengan isi perlembagaan PERUBATAN, Bab 4 Fasal 30 (5) (b):
“Tugas-tugas Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan adalah seperti berikut: (b) Melantik Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Maka dengan ini, pihak Lembaga Penasihat PCS sesi 2017/2018 telah berbincang dan bersetuju untuk melantik saudara Mohd Aiman bin Amran sebagai Pengarah JPC PCS 2017 manakala saudari Sharifah Bahieyah binti Syed Anuar sebagai Timbalan Pengarah JPC PCS 2017.

Pengecilan Struktur Organisasi PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2018/2019

Saban tahun, cawangan kita dihimpit dengan masalah kekurangan ahli. Tindakan bijak diambil satu persatu agar organisasi cawangan bergerak secara optimum seterusnya  mencapai objektif, visi dan misi PERUBATAN dalam masa yang sama tidak membebankan tenaga ahli di cawangan.

Oleh hal yang demikian, melalui mesyuarat Lembaga Penasihat PCS 2017/2018 yang turut disertai oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi, satu keputusan telah disepakati. Hasil mesyuarat ini telah dinilai dan diluluskan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN 2017/2018 beserta Presiden dan Timbalan Presiden PERUBATAN. Keputusan telah diambil untuk  mengecilkan jumlah kerusi AJKT PCS yang bakal dipertandingkan  sekaligus  menggabungkan lagi beberapa posisi ahli jawatankuasa tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Ain Shams sesi 2018/2019.

Untuk makluman, berikut ialah jumlah keseluruhan kerusi AJKT PCS sesi 2018/2019 :

1) Pengerusi dan Timb. Pengerusi
2) 6 kerusi mahasiswa
3) 6 kerusi mahasiswi

Oleh yang demikian, hanya empat (4) kerusi AJKT bagi setiap jantina (jumlah 8 kerusi) akan dipertandingkan. Dalam masa yang sama, sejumlah empat (4) orang AJKT semasa akan dikekalkan.

Akhir kata, jutaan doa kita panjatkan demi kelancaran proses ini. Kami juga menyeru seluruh warga PCS untuk turut sama turun menunaikan tanggungjawab memilih calon pimpinan anda yang akan meneraju PERUBATAN Cawangan Ain Shams pada sesi hadapan.

Sekian. Siiru Ala Barakatillah.

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”
“Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”
“PCS, Kita Satu Hati”

Untitled-1

Mohd Nasrun bin Mohd Nizam

Ketua Penasihat

PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2017/2018