“Demi Zat yang diriku dalam kekuasaannya! Sesungguhnya andaikata kamu disiplin terhadap apa yang pernah kamu dengar ketika bersama aku dan juga tekun dalan zikir, niscaya Malaikat akan bersamamu di tempat tidurmu dan di jalan-jalanmu. Tetapi hai Handzalah, saa’atan, saa’atan! (bergurau sekedarnya saja!). Diulanginya ucapan itu sampai tiga kali.” (HR. Muslim)

 

Setelah sepurnama kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, kini tiba masanya untuk menyambut Aidilfitri dengan erti kata lain, transisi dari bulan Ramadan ke Syawal. Namun, ingatlah frasa ini, “kita hamba Allah, bukan hamba Ramadan”. Sewajarnya, kita perlu meneruskan semua amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadan di bulan-bulan yang lain. Meskipun kembali kepada fitrah, ketahuilah bahawa setiap perkara yang dibenarkan mengikut syara’ mempunyai had dan batas-batas tersendiri.

Wahai sahabat, bergurau, ketawa, bermain-main, merupakan salah satu daripada tuntutan kepada kita bagi memenuhi fitrah dan memberikan ruang kepada diri untuk beristirehat dan bergembira, supaya dapat mewarnai kehidupan seharian seseorang agar ia tidak menjadi suram dan sepi.

Oleh kerana itu, tidak salah kalau seseorang muslim itu berhibur dengan syarat hiburannya itu tidak menjadi kebiasaan dalam setiap waktu, sehingga melupakan kewajipan dan tuntutan kita sebagai seorang hamba kepada Tuhan yang Maha Berkuasa.

Pada era globalisasi ini, tidak dapat dinafikan lagi bahawa sumber hiburan amat mudah diperoleh dengan hanya menggunakan hujung jari ekoran kemajuan teknologi yang pesat membangun. Hiburan boleh diperoleh melalui pelbagai cara. Antaranya ialah hiburan melalui muzik, filem, tarian, permainan video dan lain-lain. Belia kini lebih terdorong atau berminat menggunakan masa lapang yang ada dengan hiburan apabila memerlukan ketenangan. Malah hiburan di katakan amat sinonim dengan golongan belia atau remaja yang lebih mementingkan gaya hidup yang ‘up to date’ dan proaktif seiring dengan kepesatan teknologi terkini.

Pada asalnya, teknologi terkini yang menampung evolusi hiburan yang meluas terutama daripada filem dan muzik secara khususnya adalah bertujuan memberi faedah kepada masyarakat iaitu sebagai penghibur dan medium untuk mendapatkan pengetahuan yang bermanfaat. Tetapi pada masa kini, golongan belia telah jauh menyimpang daripada tujuan asalnya dan membawa kepada kesan yang negatif . Seperti yang kita sedia maklum golongan belia ini mudah untuk terdorong melakukan atau mencuba sesuatu yang baru. Kemunculan teknologi yang canggih seperti satelit, televisyen, ‘video player’ dan sebagainya telah memudahkan lagi para belia mendapatkan lebih banyak hiburan yang boleh menjurus kepada perkara-perkara negatif berbanding positif.

Antara punca lain ialah pengaruh media massa. Pada zaman yang serba moden ini, media massa merupakan satu keperluan dalam kehidupan seharian. Media massa ini banyak memberikan kebaikan, tetapi juga boleh mempengaruhi seesorang terutamanya golongan remaja ke arah yang negatif secara senyap. Cerita-cerita yang berunsurkan keganasan malah seks banyak ditayangkan dalam media massa. Cerita-cerita sebegini dapat mempengaruhi dan merangsang remaja untuk meniru aksi-aksi negatif itu, dan hasilnya keruntuhan akhlak remaja semakin menjadi-jadi.

 

Antara kesan-kesan hiburan berlebihan  :

  1. Sikap pentingkan kemewahan.
  2. Peningkatan kes jenayah.
  3. Keruntuhan akhlak dalam golongan remaja.
  4. Menggagalkan usaha remaja menjadi golongan yang manusia yang sempurna  dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi
  5. Meningkatkan gejala sosial dalam kalangan remaja
  6. Menyebabkan generasi muda lupa akan matlamat hidup yang sebenar iaitu mencapai keredhaan Allah.
  7. Menggagalkan usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang berwawasan dan berilmu pengetahuan.
  8. Maruah keluarga tergadai

 

Penyucian dan pembersihan diri dari segala keburukan serta pembentukan akhlak yang murni merupakan tugas penting para Rasul yang telah diutuskan oleh Allah swt . Sebagian besar hidup Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pun diabdikan untuk misi yang sama kerana keperibadian muslim yang mulia merupakan salah satu tunjang atau dasar bagi memulakan kehidupan secara Islami menurut manhaj kenabian. Sarana tazkiah ialah berbagai amal perbuatan yang mempengaruhi jiwa secara langsung dengan menyembuhkannya daripada penyakit, membebaskannya daripada “tawanan,” atau merealisasikan akhlak padanya.

Apabila kita telah mempunyai matlamat yang jelas untuk menyucikan diri maka pasti ada cara-cara yang telah digariskan .Allah subhanahu wa ta’ala telah mewahyukan banyak garis panduan bagi penyucian diri dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sudah menjelaskannya secara terperinci kepada umatnya agar kita dapat mencapai matlamat yang dituju.

Dengan ini, jelas bahawa Islam secara keseluruhan adalah kesucian, manusia yang berpegang dengannya pasti akan mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah swt.

“Ketahuilah, bahwa di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika ia baik maka baik pula seluruh jasadnya, dan jika ia rosak maka rosak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu ialah hati.” (HR.Al-Bukhari)

Melalui hadis di atas , dapatlah kita rumuskan yang kunci utama penyucian diri terletak pada pembaikian hati seseorang . Amalan-amalan yang boleh memulihkan serta menyucikan hati seseorang adalah :

  1. Solat – menngingatkan jiwa agar istiqamah dengan perintah-Nya.
  2. Melazimi zikrullah.
  3. Zakat dan infaq – membersihkan harta dan jiwa.
  4. Puasa – membersihkan diri daripada shahwat perut dan kemaluan.
  5. Menjadikan Al-Quran dan hadis sebagai pegangan dalam hidup.
  6. Mendampingi orang-orang yang soleh.
  7. Menjauhi hiburan yang melampau seperti muzik, filem dll yang boleh menggelapkan hati.
  8. Tidak menjadikan artis-artis sebagai pujaan sebaliknya meletakkan Rasulullah s.a.w sebagai ‘role model’ dalam kehidupan kita.
  9. Memperbanyak amalan sunah dan kekal istiqamah dengannya.

 

SUMBER :-

  1. Hawwa, Sa’id. al-Mustakhlis fi Tazkiyah al-Anfus. Dar al-Salam: Kaherah, 1988.
  2. http://hiburanmelampau.blogspot.com.eg/

 

RAFIDAH BT MOHAMED SALIHU

TAHUN 5

TIMB. KETUA UNIT MUSYRIF DAN KESELAMATAN

UNIVERSITI AIN SHAMS