Mahasiswa itu pandir bukan rausyanfikir.


Siapa tidak kenal mahasiswa hari ini ? Acap kali pelbagai label dikenakan kepada satu entiti ini sehinggakan isu nasib mahasiswa sendiri tidak mampu terbela. Label seperti bebalisme, mahasiswa pandir, universiti mandul dan pelbagai lagi bentuk tohmahan semenjak sepuluh tahun kebelakang ini merupakan cerminan masyarakat yang sudah mulai naik mual dengan sikap kita – mahasiswa. Pokoknya, bicara hal ini tidak akan pernah lesu dan ianya bakal kekal menjadi elemen malar segar dalam komuniti kita. Kendatipun begitu, bait-bait makalah ini bukanlah satu edisi bedah siasat sang penulis, apatah lagi membuat pascanilai dalam situasi ‘stake-holder’ kita hari ini. Hanyalah sekadar niat di hati untuk mencoret kisah lara di hati, dalam mengingatkan budi, betapa hidup kita tiadalah abadi sendiri.

Tujuan utama dan pertama mahasiswa sudah tentunya sebagai penuntut ilmu. Berada di satu institusi tertinggi keilmuan, mana mungkin inilah yang kedua. Tuntasnya, masalah kita bukanlah kurangnya ajar atau peluang untuk menuntut ilmu. Tetapi kesulitan yang teragung hari ini adalah bagaimana untuk menbangunkan mahasiswa yang ada deria dan rasa tangungan individu memacu daya pencarian ilmu. Ini bukanlah laksana katak, sedikit hujan sudah bermain tetapi masyarakat sudah percaya bahawa jangan menyuruh kapak menyelam beliung kerana sudah tidak percaya bahawa mahasiswa akan melaksanakan tanggungjawabnya demi kepentingan sosial.

Ironinya, kita dihadapkan dengan permasalahan yang bukan sepatutnya menjadi kiblat seorang mahasiswa. Ilmu dikesampingkan atas alasan ianya hanyalah aksesori tambahan kerana itulah aktivisme diutamakan semata-mata. Sedangkan aktivisme itu haruslah didorong dengan intelektualisme. Paling tidak ianya haruslah bergerak seiring. Namun, apa yang lebih sesal lagi, situasi kita lebih parah dengan hedonisme yang melampau sehingga tiada beza mahasiswa dengan tunawisma di raut sosok itu. Ini menjadikan mahasiswa tiada mampu untuk terjun atau tidak paling kurang mencelup ke idea-idea yang lebih dalam dan membumi.

Kegagalan kita hanya menjadikan universiti difitnah dengan tempat melahirkan golongan berwatak pandir sehinggakan berlaku pembantutan dalam diri mahasiswa dan akhirnya mahasiswa hilang jati diri, hilang sifat berani dan kebolehan berfikir. Mahasiswa adakalanya juga menjadi objek untuk mengampu yang kuasa kerana kita takut akan kecaman dan ancaman yang kadang-kadangnya, kita hampir sendiri menjadi takut dengan bayang sendiri. Pencetus fenomena ‘listen’ KS Bawani ialah contoh subjek yang hampir dipandirkan. Saat tiada pembelaan ketika dipandirkan, kita dapat lihat bagaimana betapa lemau dan lesunya segenap isi dewan mahasiswa ketika itu. Ini merupakan satu bentuk pemerkosaan hak berfikir seorang mahasiswa dan terbukti ini antara sampel terbaik dari ladang para pandir. Kita gagal merenung hakikat yang sudah ditegur lama oleh seorang ahli falsafah Muslim hari ini pada awal 80-an, Syed Muhammad Naquib al-Attas menegur universiti hanya menjadi kilang yang menghasilkan graduan mengikut kehendak pasaran tanpa mengendah kualiti dan kesan terhadap ilmu dan pembangunan masyarakat.

Tribulasi masa akan datang semakin mencengkam. Pelbagai kemusykilan dan masalah timbul sepanjang masa dan ini memerlukan jawapan noktah bagi memadamkan spekulasi demi spekulasi. Sebagai mahasiswa perubatan, isu gerakan anti-vaksin, kelahiran fitrah dan lain-lain lagi memerlukan kita berupaya untuk membalas. Mereka ini gerakan yang menafikan. Gerakan ‘anti-estabalishment’. Hasil kegagalan kepercayaan masyarakat kepada pihak autoriti akhirnya menjadikan mereka bebas bertutur apa saja. Mulut tempayan boleh di tutup, mulut manusia bagaimana menutupnya.

Saya tiada jawapan yang lain terhadap solusi ini.

“Education is our passport to the future, for tomorrow belongs to the people who prepare for it today.”-Malcolm X

Kita harus kembali kepada tujuan asal seorang mahasiswa. Idea pendidikan yang sejati tetap harus berjalan. Kita perlu rebut segala peluang keilmuan kerana kita perlu ingat aspirasi ilmuan berbakti itu bukanlah hadir untuk kita pulang sebagai seorang doktor sahaja tetapi sebagai graduan yang akan sentiasa membawa semangat perubahan dan islah kepada masyarakat.
Adakah kita ialah rausyanfikir seperti yang ditegaskan oleh pemikir Iran, Ali Syuriati yang membayangkan mahasiswa ialah golongan intelektual yang membawa pencerahan kepada masyarakat atau pandir-pandir yang lahir daripada kemandulan kilang manusia?

Waallahua’lam.

Sekian coretan bebelan ShafikuKadiru tika menulis di wad Nefrologi pada 7 Disember dan selesai habis jam 12.12 tengahari.

 

Muhammad Shafiq Bin Kadir

Tahun 5

Kuliah Perubatan

Universiti Ain Shams 

 

Unit Karya

Biro Penerbitan dan Penerangan

PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2017/2018