Alhamdulillah, segala puji dan syukur bagi Allah, Tuhan semesta alam yang telah menganugerahkan kepada kita dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat yang telah memberikan keteladanan yang baik kepada umat manusia, menunjukkan jalan dakwah yang panjang buat para pendakwah. Tidak lupa juga nikmat kesihatan dan masa lapang yang kita kecapi saban hari yang membolehkan kita meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu Allah di muka bumi ini.

Sedarkah kita dalam menjadi mahasiswa di bumi anbiya’ Mesir, masa pantas meninggalkan kita. Dalam kesibukan kita menghadiri kuliah, mengikuti program-program PERUBATAN, menyelesaikan hal-hal persendirian, kini tiba masanya mahasiswa mahasiswi Sains Kesihatan diuji kefahaman, penguasaan dan skil dalam subjek yang dipelajari. Debaran dirasai tatkala menanti peperiksaan yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Maka dengan ini, Perubatan Cawangan Ain Shams (PCS) ingin memberi laluan sepenuhnya kepada ahli-ahli PCS untuk memberi fokus yang lebih mantap dan jitu bagi membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan dengan menghentikan seketika beberapa program dan pergerakan PERUBATAN sehingga selesai peperiksaan kesemuanya. Program dan pergerakan Perubatan Cawangan Ain Shams akan ditangguhkan bermula 3 Mei 2017 sehingga 4 Julai 2017.

Buat pengetahuan semua, di peringkat PERUBATAN turut memutuskan beberapa bentuk program yang boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian program dan keadaan semasa. Antaranya ialah:

 

1) Program berbentuk kecemerlangan akademik yang melibatkan sasaran yang kecil.

2) Pembawaan Smart Circle yang tidak memberi fokus kepada silibus.

3) Aktiviti semasa seperti solat jenazah, solat hajat dan kutipan derma kilat yang melibatkan kebajikan ahli.

4) Aktiviti-aktiviti berkala yang berskala kecil (termasuk mesyuarat).

5) Program/aktiviti sepanjang fasa IHRAM sempena menyambut bulan Ramadan.

 

Besar harapan kami di peringkat pimpinan supaya kita semua dapat bersatu hati dan saling membantu dalam menyusun strategi dan mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan yang bakal kunjung tiba. Berusahalah bersungguh-sungguh tanpa mengambil kira apa natijahnya. Kerana yang dinilai Allah bukanlah hasil semata, tetapi apakah usaha yang dilakukan dalam mengejar cita-cita kita.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah at-Taubah, ayat ke 105.

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjaga hubungan dengan Sang Pencipta disamping hubungan sesama manusia. Insya-Allah, moga ada keberkatan dari-Nya dalam setiap tindak tanduk seharian kita. Sehebat mana usaha yang kita lakukan untuk menempuhi peperiksaan pada kali ini, jangan dilupakan kebergantungan kita semua kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa.

Sunnatullah orang yang berusaha akan berjaya, tetapi akidah yang perlu kita semat adalah segala kejayaan itu datang dari Allah. Selamat maju jaya kepada semua. Semoga kejayaan yang diraih dapat dimanfaatkan untuk Islam.

Sekian, siiru ‘ ala barakatillah.

PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk profesional sains kesihatan yang rabbani dan kompeten.

 

Untitled-1
Rusydi Amin Bin Yusuf,
NAIB PENGERUSI I,
PERUBATAN CAWANGAN AIN SHAMS (PCS),
2017/2018