Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam atas nikmat Islam dan iman yang kita rasai pada hari ini. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah S.A.W insan agung yang tidak pernah melupakan umatnya baik di dunia mahupun di akhirat sana.

Sebagai seorang mahasiswa Sains Kesihatan di Perlembahan Nil ini, rutin harian kita sentiasa diwarnai dengan kesibukan belajar di kuliah dan bermasyarakat sesama rakyat Malaysia mahupun Mesir. Sedar tidak sedar kita semakin menghampiri penghujung sesi pengajian, menandakan musim peperiksaan bakal menjelma tidak lama lagi. Sepertimana semua sedia maklum, peperiksaan akhir tahun bagi mahasiswa Tahun Satu hingga Empat di Universiti Ain Shams dijadualkan bermula pada hujung bulan Mei ini.

Sehubungan dengan itu, Biro Akademik (BCAD) PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2017/2018 (PCS) terpanggil untuk mengadakan “Exam Fever Campaign” atau lebih dikenali sebagai EFC bermula 1 Mei sehingga hujung bulan Julai 2017. EFC merupakan aktiviti tahunan bagi Biro Akademik yang diadakan saban tahun apabila menjelang musim peperiksaan. Kempen ini bertujuan mewujudkan suasana atau biah peperiksaan dalam kalangan ahli di samping memberi suntikan awal kepada ahli untuk melakukan persediaan menghadapi peperiksaan.

Kempen ini dilihat selari dengan saranan Pengerusi PCS, saudara Mohammad Azran bin Mat Rasyid dalam ucapan dasar beliau semasa Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) kali keempat yang menegaskan bahawa kecemerlangan akademik sebagai salah satu medan jihad kita, menunjukkan bahawa PCS sentiasa komited dan bersunguh-sungguh dalam memastikan akademik ahli berada pada tahap yang boleh membanggakan kita sebagai mahasiswa Sains Kesihatan.

Maka diharapkan kempen yang dijalankan sepanjang musim peperiksaan ini mampu memberi suntikan semangat kepada semua ahli supaya sentiasa tekun dan sabar dalam menempuh musim peperiksaan yang bukan sahaja panjang malah dihiasi dengan cabaran dan dugaan yang tersendiri. Semoga usaha kecil ini mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T di samping dipermudahkan segala urusan dari awal hingga ke akhirnya. Selamat maju jaya diucapkan buat semua, semoga kejayaan menjadi milik kita bersama.

Sekian, terima kasih.

 

smartluq

Luqman Hakim bin Badrul Hisam

KETUA BIRO AKADEMIK (BCAD),
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2017/2018.