[قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ  [الزمر:9

“Katakanlah, apakah sama antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak tahu.” [Az Zumar : 9]

Menuntut ilmu atau belajar adalah istilah yang tidak asing lagi bagi setiap manusia kerana sepanjang kehidupan kita di atas muka bumi ini, tidak akan terlepas daripada menuntut ilmu.

Kita selaku seorang pelajar, seharusnya mempunyai kesedaran bahawa tugas utama kita sekarang adalah belajar dengan bersungguh-sungguh. Adapun untuk berbuat demikian, persiapan diri kita untuk menuntut ilmu adalah penting. Jika tentera memerlukan pistol dan senapang sebagai senjata dalam medan pertempuran, maka senjata seorang pelajar pula adalah persediaan diri dan cara belajar.

Sun Tzu (jeneral perang Cina kuno) dalam karyanya Art of War membincangkan tentang betapa pentingnya persiapan diri dalam peperangan itu sendiri bahkan dalam dunia moden sekarang pun, konsep itu masih lagi digunakan namun telah diubah suai agar bersesuaian dengan peredaran zaman.

Antara kutipan terjemahan yang sering disebut dalam isi buku tersebut adalah:

“Mereka-mereka yang mengenal pihak lain (musuh) dan mengenal dirinya sendiri, tidak akan dikalahkan dalam seratus pertempuran.

Dan mereka yang tidak mengenal pihak lain (musuh) tetapi mengenal dirinya sendiri memiliki suatu peluang yang seimbang untuk menang atau kalah.

Mereka yang tidak mengenal pihak lain (musuh) dan dirinya sendiri cenderung kalah dalam setiap pertempuran”.
Isi tersebut dititik beratkan kerana asas untuk berjaya dalam sesuatu perkara adalah dengan mengenali diri sendiri dan musuh.

Item pertama daripada dapatan di atas menyeru kita untuk mengenali diri sendiri. Sebagai seorang pelajar, kita wajib mengetahui potensi diri sendiri dan menggunakan kelebihan tersebut semaksima yang boleh. Sebagai contoh, ada pelajar yang daya fokusnya tertumpu pada waktu awal pagi dan ada pula yang tertumpu lewat malam. Mereka seharusnya belajar pada waktu sesuai dan tidak mengikut kelaziman rakan atau orang lain. Pepatah melayu ada menyatakan “ukur baju di badan sendiri” kerana diri sendiri jualah yang mengenali apa yang terbaik untuknya.

 

e9287fdb-c1e2-4962-b07b-754cebb3f589

 

Selain itu, Dr. Shukri Abdullah (pakar motivasi) ada mengatakan bahawa, belajar haruslah diselangi dengan rehat. Beliau memperkenalkan formula untuk belajar diselangi rehat yang bersifat universal kepada pelajar.

Formula tersebut:
1) 60:15:60
2) 45:10:45
3) 30:5:30

Maksud di sebalik formula tersebut adalah, belajar selama 60 minit kemudian rehat selama 15 minit dan sambung kembali belajar selama 60 minit. Begitu juga bagi formula 2 dan 3, konsep yang sama diaplikasikan. Cara sebegini dilihat sebagai salah satu cara yang efektif untuk belajar. Belajar selama berjam-jam tanpa rehat tidak menjamin kualiti pembelajaran itu sendiri. Oleh itu, ukurlah kemampuan diri dengan sebaik mungkin agar tidak membebankan fizikal dan mental.
Item kedua pula, menyeru agar kita mengenali musuh. Dan dalam konsep seorang pelajar, musuh tersebut bolehlah diterjemahkan kepada permasalahan atau cara belajar sesuatu subjek itu sendiri. Contohnya, ada subjek yang memerlukan peta minda, lukisan, ‘mnemonic’ dan sebagainya. Kita sebagai pelajar seharusnya mampu untuk mengkategorikan dan mengelaskan subjek-subjek yang dipelajari kepada cara belajar yang sesuai agar mudah untuk kita mempelajari subjek-subjek tersebut.

Akhir kata, di samping tips dan panduan yang telah diberikan, segala-galanya bermula dengan sikap kita sendiri. Tidak ada orang yang berjaya pada hari ini, melainkan dia bersikap dengan sikap rajin dan kuat berusaha. Bak kata pepatah Inggeris, “You can lead a horse to water, but you cannot make it drink”.

Dan janganlah sesekali lupa akan perkara utama dalam setiap perbuatan kita iaitu niat kerana Allah. Hal ini kerana, ia boleh mencegah kita daripada berputus asa dan bersikap iri hati terhadap kejayaan org lain sekaligus menjauhkan diri dari sikap “Syndrome Tall Poppy” (STP). Sindrom ini dikenali sebagai ‘The Politics of Envy’. Ia berkaitan dengan psikologi dan tingkah laku manusia yang tidak boleh melihat orang berdiri lebih tinggi daripadanya.

Ingatlah bahawa kita sebagai pelajar perubatan yang satu hari nanti akan menjadi doktor di tanah air seharusnya memandang serius ilmu yang kita pelajari hari ini kerana ia akan digunakan di masa hadapan. Kitalah yang akan bertanggungjawab terhadap nyawa para pesakit kita.

WaAllahu a’lam.

 

MINDA PIMPINAN

Muhammad Daniell Abqhori Bin Abdul Malek

Tahun 2 

Kuliah Perubatan 

Universiti Ain Shams

Ketua Biro Penerbitan & Penerangan

PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2017/2018