ABBASIAH, 17 Februari – Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) Ain Shams Kali Ke-4 diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah. Mesyuarat yang diadakan pada setiap hujung sesi ini adalah untuk membincangkan setiap gerak kerja dan muhasabah pada sesi lepas dan mengutarakan usul serta cadangan kepada para pimpinan bagi sesi seterusnya.

Antara isu yang hebat diperkatakan dalam MTC kali ini adalah masalah pengurangan ahli secara mendadak berikutan kepulangan batch Emin3nt ’10 ke tanah air selepas tamat pengajian. Ini adalah kerana batch tersebut mempunyai ahli yang paling ramai iaitu seramai 73 orang.

Masalah ini tidak diambil ringan oleh ahli-ahli PCS terutamanya para pimpinan baru sesi 2017/2018 kerana ianya memberi kesan yang sangat besar kepada PCS sendiri terutamanya dari segi tenaga kerja. Buktinya, ia bukan sahaja dibangkitkan beberapa kali dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) Kali Ke-4 PCS, malah telah timbul satu usul yang dicadangkan oleh Saudari Nur Amalina Mustaffa di MTC Kaherah yang berbunyi “Menggesa perbincangan intensif antara PCK & PCS sebagai persediaan menghadapi pengecilan komuniti” berikutan masalah yang sama dihadapi PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK).

 

b56d0460-6c69-4333-b75b-5e68e37739f5
Gimik perasmian Mesyuarat Tahunan Cawangan kali ke-4

 

Saudari Nur Amalina meluahkan kerisauan beliau apabila ditemubual. “Saya terfikir apakah nasib junior-junior akan datang dengan komuniti PCK yang semakin mengecil ni. Saya menginginkan junior-junior yang baru bertapak dalam PERUBATAN sama-sama dapat merasa nikmatnya hidup berpersatuan. Saya tidak mahu apabila komuniti semakin mengecil, masing-masing mula membawa haluan masing-masing dan bersikap pentingkan diri sendiri sahaja, tidak cakna akan kebajikan orang lain.” Jadi beliau mahu pimpinan PCK dan PCS sama-sama duduk berbincang, bagaimana langkah-langkah yang patut diambil untuk memastikan kelangsungan persatuan yang ada sekarang untuk manfaat generasi akan datang.

“Laut mana tidak berombak, bumi mana tidak ditimpa hujan. Pengurangan ahli yang mendadak, sedikit sebanyak menjadi cabaran buat kita. Beberapa langkah yang bijak akan dilaksanakan bagi menghadapi sesi akan datang dengan jumlah ahli yang kian mengecil. Namun begitu, kita sangat optimis dengan kemampuan dan potensi ahli PCS, biarpun dalam tekanan masih mampu memberikan yang terbaik sesama kita,” kata Saudara Mohammad Azran bin Mat Rashid, Pengerusi PCS 2017/2018 dalam ucapan dasar beliau ketika MTC.

Saudari Faten Sakinah binti Shawaruddin yang merupakan ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) berkata bahawa masalah pengurangan ahli PCS ini merupakan faktor luar yang tidak mampu untuk kita benar-benar bertindak dalam meramaikan semula ahli di PCS melainkan setiap senior-senior mempromosikan lagi nama Universiti Ain Shams kepada junior-junior yang bakal datang ke Mesir untuk menyambung pengajian.

“Maka, jika kita memandang dari sudut yang positif, pengecilan komuniti ini menjadi peluang untuk kita membentuk satu kesatuan yang kukuh, setiap ahli mengenali ahli yang lain, dan seterusnya membentuk suasana yang mawaddah dan solehah dalam komuniti PCS,” kata beliau lagi dalam temubual bersama kru mediaPERUBATAN.

2d32fbf8-e28f-444a-9eee-76111cfe493f
Sesi pembentangan usul

Agenda kesatuan ahli menjadi fokus utama pada sesi kali ini selari dengan cogan kata PCS, “PCS, Kita Satu Hati”, bukan sahaja kesatuan sesama ahli PCS, bahkan kesatuan antara ahli PCS dan graduan lepasan Universiti Ain Shams yang sudah menabur bakti di tanah air.

1a02d0e5-9dbd-4fd7-a044-07a4a044ccf3
Barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi 2016/2017

Nur Farah Fathira bt Jasni,

Timbalan Biro Penerbitan & Penerangan (BPP)

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2017/2018