Assalamualaikum W.B.T.

Alhamdulillah, segala puji kepada Allah S.W.T Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Baginda Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda, para Sahabat, Tabi’ tabi’in sehinggalah ke hari ini.

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) yang merupakan tempat berkumpul bagi penuntut ilmu di Universiti Ain Shams kini sudah memasuki sesi ke-5 pentadbiran. Luka sama mengaduh, sakit sama menyiuk, bersama-sama kita mengharungi suka duka dalam mencapai visi kita iaitu “PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk profesional sains kesihatan yang rabbani dan kompeten”.

 

Sidang dewan yang dihormati sekalian,

PCS Sehati Sejiwa, Melakar Memori Bersama

Adat kiambang, biduk berlalu, bertaut juga. Sirah membuktikan bahawa cita-cita kesatuan bukanlah cerita retorik. Bantu-membantu dan saling berkasih menjadi tunjang utama dalam pembentukan sosial masyarakat Islam Madinah. Yang condong ditumpil, yang lemah dianduh. Bersama menampung kelemahan , bersama memberi kekuatan. Tautan hati diatas dasar akidah Islam menyatukan kaum Aus dan Khazraj, muhajirin dan Ansar. Akhirnya menghasilkan sebuah daulah Islamiah yang gagah dan berkebajikan.

Firman Allah yang bermaksud,

Kalaulah engkau belanjakan segala harta benda yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. (Al-Anfal : 63)

Justeru, satu gagasan yang menyeru kepada kesatuan ahli akan menjadi fokus utama pada sesi ini. Ibarat irama dan lagu, isi dan kuku, begitulah jua warga PCS, memiliki hati dan jiwa yang satu.

Sedari awal penubuhan, PCS beristiqamah memberikan khidmat bakti kepada mahasiswa Universiti Ain Shams. Ahli silih berganti bagaikan ombak mengulang pantai. Amat rugilah jika hubungan antara ahli PCS yang sudah menjangkau separuh dekad ini hilang begitu sahaja. Oleh itu pada sesi ini, kita cuba mengorak langkah bagi mengukuhkan jaringan komunikasi antara graduan lepasan Universiti Ain Shams dengan ahli PCS yang masih berada di bumi Mesir. Medium maya Sek. Keb. Ain Shams Jaye yang berpotensi untukmencapai hasrat tersebut akan dimaksimumkan dan kempen ziarah senior di Malaysia akan diusahakan.

PCS turut memberi fokus kepada kebersamaan ahli dalam komuniti Ain Shams melalui penerapan konsep adab dan adat berjiran. Penekanan melalui program atau aktiviti yang mampu mengumpulkan semua ahli PCS merangkumi senior dan junior turut menjadi salah satu usaha PCS dalam penyatuan ahli.
Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

Pembangunan Modal Insan Teras Pembangunan Ummah

“Manusia itu seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliah, terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham” (Sahih Bukhari)

Peribadi seorang muslim itu seperti ini: Dicampak ke laut menjadi mutiara, dikumpul bersama menjadi pulau, dicampak ke tanah menjadi gunung, dikumpul bersama menjadi banjaran. Peribadinya kuat berseorangan, apabila bersama mampu mengubah dunia. Namun, seperti belakang parang, harus diasah barulah tajam. Pembentukan individu muslim amatlah penting sebelum sebuah masyarakat muslim yang kuat dapat dibentuk.

Justeru pada sesi ini, PCS akan menekankan aspek Amal Fardi kepada ahli dengan menitikberatkan ilmu fardhu ain sebagai asas individu muslim terutamanya pengamalan solat jemaah. Pada masa yang sama, usaha menambahbaik kelas-kelas tsaqafah seperti kelas tafaqquh, A Morning with Hot Chocolate (Mocha) dan kelas fikah perubatan akan digiatkan.

Aspirasi Pengerusi PCS 2016/2017, Muhammad Amiruddin bin Suhaini dalam pembangunan insan adalah sangat baik. Tindakan beliau memasuki setiap Smart Circle merupakan usaha yang amat terpuji. Maka kita akan terus memberikan fokus bagi mengukuhkan hubungan sosial sesama ahli melalui perkumpulan kecil secara berterusan. Mentor Council (MC) diharapkan untuk memfokuskan pemerkasaan kualiti Smart Circle dan dakwah fardiah dalam komuniti Ain Shams. Turut diingatkan bahawa Smart Cirlce memainkan peranan penting dalam melahirkan aktivis dan mufakkirin (golongan yang berfikir).

Sidang dewan yang dimuliakan,

Hubungan Universiti Diperkukuh, Biah Akademik Diperluas

Bidang sains kesihatan merupakan antara bidang yang sangat mencabar. Di samping menghadapi tekanan hidup di perantauan, seringkali ada yang hilang punca dan arah tuju di pertengahan jalan. Oleh kerana itu, sokongan sesama ahli dan usaha secara bersama amatlah penting bagi membantu satu sama lain.

Hubungan bersama pihak universiti akan terus diperkukuh berikutan kesan positif yang diperoleh dari sesi sebelum ini. Seperti yang semua maklum, organisasi universiti yang baharu telah pun dilantik pada tahun lepas. Berikutan itu, pengukuhan hubungan ini akan sentiasa dilaksanakan supaya PCS dapat terus membawa hasrat ahli kepada pihak universiti. Slot motivasi bersama doktor universiti juga akan diusahakan dengan lebih aktif.

Biah akademik turut menjadi penekanan. Usaha ini akan dilaksanakan melalui pelbagai medium agar kesannya dapat dirasai oleh semua ahli. Antara medium baharu yang akan digunapakai ialah memperanankan Medical Team sebagai tunjang pemerkasaan biah akademik secara holistik terhadap seluruh ahli PCS. Diharapkan dengan usaha ini dapat memberi bantuan dan motivasi bagi memudahkan pembelajaran kita di sini.

Sidang ahli mesyuarat sekalian,

Menuju Kelestarian PCS

Laut mana tidak berombak, bumi mana tidak ditimpa hujan. Pengurangan ahli yang mendadak, sedikit sebanyak menjadi cabaran buat kita. Beberapa langkah yang bijak akan dilaksanakan bagi menghadapi sesi akan datang dengan jumlah ahli yang kian mengecil. Namun begitu, kita sangat optimis dengan kemampuan dan potensi ahli PCS biarpun dalam tekanan masih mampu memberikan yang terbaik sesama kita.

Allah berfirman yang bermaksud,

Dan katakanlah (wahai Muhammad); beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan. Dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. (Surah AtTaubah : 105)

Ibarat kundur tidak melata pergi, labu tidak melata mari, kerjasama yang utuh mestilah dipupuk dan diamalkan di setiap peringkat. Samada antara ahli dan pimpinan, mahupun kerjasama merentas cawangan. Turut diharapkan supaya pergerakan batch dapat ditingkatkan bagi meluaskan capaian kebajikan secara holistik.

Hidup kayu bisa berbuah,
Hidup manusia biar berjasa,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.

Apa kurang pada belida,
Sisik ada, tulang pun ada,
Biar mati seperti kutu,
Jangan mati seperti tuma.

Ke bukit sama didaki,
Ke lurah sama dituruni,
Mari bersama kita merealisasi,
Erti hidup pada memberi.

Kecil tapak tangan hamba, nyiru ditadahkan. Segunung penghargaan diucapkan kepada semua yang sudi bersama melakar memori selama empat sesi PCS. Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa kalian. Maka dengan itu, marilah sekali lagi membuka kanvas baharu bagi melakar memori indah bersama, PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) sesi 2017/2018.

Seeru Ala Barakatillah. Assalamualaikum WBT.

“PCS, Kita Satu Hati”

 

AZRAN

Mohammad Azran bin Mat Rashid

Pengerusi

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)

2017/2018