Kenapa perlu memetik juntain buah yang jauh mendepa sedang yang ranum elok disebelah kita endahkan.

Ungkapan ini merupakan satu simbolik membawa makna analogi mudah antara konflik yang membungkam Syria dan Rohingya yang tuntasnya sering kita terlopong minda apabila isu etnik Negeri Rakhine ini dimainkan. Jelas disini bahawa etnik ini selalu terlepas pandang dek kerana media terlalu menumpukan pada isu-isu lain dan mungkin kerana keterbatasan maklumat yang agak tenggelam timbul jadinya.

 

 

Negeri Rakhine populasi yang majoritinya terdiri dari etnik Rohingnya adalah satu kumpulan etnik beragama Islam Sunni yang terletak di Barat Burma. Kacukan daripada pelbagai bangsa dari Arab, Parsi, Afghanistan mahupun dari Bengal serta Chittagong ini telah lama menderita namun isu ini makin hangat diperkatakan baru-baru ini selepas berlakunya pencabulan hak-hak asasi kemanusiaan keatas mereka. Namun kebrobrokan ini sudah lama berlaku sejak 1978, iaitu selepas tercetusnya Operasi Nagamin (Raja naga)  yang mengakibatkan pembunuhan, rogol dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar-besaran dengan ianya menyasarkan secara terus kepada orang awam. Durjana ini masih belum berhenti apabila, pada tahun 1991-92, satu gelombang baru pulak tercetus apabila suku juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh. Hal ini kerana mereka dipaksa bekerja tanpa bayaran oleh tentera Myanmar di projek-projek infrastruktur dan ekonomi di samping dikenakan hukuman mati, penyeksaan dan rogol dengan kejam oleh tentera Myanmar. Begitulah diantara peristiwa keganasan yang menimpa etnik ini.

Dibuka mata penglihatan umum pada tahun lepas apabila pelbagai perkongsian di media social menyedarkan situasi sebenar di sana walaupun kerajaan Myanmar sendiri keras menafikan bahawa situasi itu tidak pernah wujud pun disana namun, sangkalan mereka terlalu lemah kerana era kini maklumat mudah tersebar walau mereka cuba menutupnya. Rentetan daripada itu, tragedi terbaru yang melanda umat Islam Rohingya baru-baru adalah pembunuhan 400 orang awam sejak 9 Oktober lalu. Lebih 430 buah kediaman di 3 buah kampung dibakar oleh tentera.Sekumpulan wanita dan kanak-kanak juga dilaporkan dikurung dan dibakar hidup-hidup di Yay Khae Chaung Kwa Sone. 30,000 orang menjadi pelarian di Rakhine.Tentera Myanmar juga dilaporkan menggunakan pelancar roket serta melepaskan tembakan daripada helikopter untuk membunuh penduduk Rohingya. Beberapa orang penduduk ditembak ketika cuba melarikan diri. Bahkan ada antara penduduk yang dibakar hidup-hidup atas timbunan rumput kering.Ini jelas menunjukkan pihak tentera memang mahu melakukan genosid iaitu pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Rohingya.

Menyedari hakikat ini, kerajaan Malaysia terutamanya mengambil pelbagai langkah bagi menyalurkan bantuan untuk membantu antaranya dengan mengetuai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang disertai seramai 41 wakil Negara anggota bertindak dengan menghantar delegasi ke Myanmar untuk mengkaji situasi dan masalah minoriti Islam Rohingya di negara itu. Selain itu, dana RM10 juta diumumkan oleh Perdana Menteri untuk digunakan bagi membina infrastruktur, seperti institusi pendidikan dan perubatan. Pada imbuhan lain, Indonesia dan Turki juga menyediakan kem-kem penyelamat untuk menampung sejumlah etnik yang menjadi pelarian.

Usaha lain dilihat apabila mahasiswa di London misalnya bersolidariti sebagai simbolik dan mengambil pengajaran tentang kesengsaraan yang dihadapi oleh saudara seakidah kita berkaitan tragedi Rohingya. Sifar kiranya peranan kita sebagai mahasiswa dalam menyalurkan bantuan disebabkan keterbatasan kudrat namun itu tidak menafikan ketidakmampuan ini bersifat selamanya. Apa yang harus kita lakukan selepas ini adalah dengan terus menyedarkan masyarakat serta menjaga integriti masyarakat di Malaysia tentang isu kesatuan ummah supaya nasib umat islam 1.6 billion ini akan terbela pada masa akan datang lantas penindasan yang berlaku dapat dibendung serta ditangani. Seruan demi seruan dilaungkan agar kata-kata ini dapat diterjemahkan menjadi kenyataan.

Kita umat Islam juga harus bersatu tidak kira walau dalam apa jua keadaan selari dengan firman Allah dalam surah As-Saf yang bermaksud “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”. Kekukuhan ikatan kesatuan inilah yang perlu dipupuk supaya matlamat keamanan sejagat mampu dicapai dan diperlihara. Akhirul kalam, jangan nanti hanya ingin memeluk gunung namun apakan daya tangan tak sampai, jangan hanya duduk termenung tapi apakan daya cita tak capai.

“PCS, Kita Satu Hati”

“Our Ummah, Our Concern”

PERUBATAN For Peace And Care (PEACE),

Biro Kebajikan (BCARE),

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017