cry__by_darkrein97-d7tw4ux

Aku rindu sebenarnya.” Amira menangis di dalam hati. Ingin sahaja dia luahkan namun, terlalu berat buatnya mengakui rasa hati yang sebenar. Terlalu berat untuk dia luahkan.

**************

Jauh perjalanan, luas pemandangan,” peribahasa yang sering bermain di fikirannya. Dahulu, ketika di bangku sekolah dia sering memberikan sebaris peribahasa ini jika ditanya mengapa dia ingin belajar di luar negara. Dia bersekolah di sebuah sekolah di luar bandar. Sejak pulang ke Malaysia dia dibesarkan oleh datuk dan neneknya. Ibu bapanya sibuk bekerja di ibu kota. Amira tersenyum lagi tatkala teringat kisah lalu. Di kampungnya, masyarakat disitu tidak terlalu didedahkan dengan dunia luar. Apabila Amira menyebut tentang pengalamannya bercuti di Paris, ramai yang teruja mendengar.

Gaya pemikiran penduduk di situ masih jauh jurangnya berbanding mereka yang berada di ibu kota. Namun, itulah yang dia suka kerana mereka tidak tercemar dek arus pemodenan yang terkadang menghanyutkan kebanyakan masyarakat kota. Kawan-kawan sepermainannya tidak mengetahui apa itu komputer riba. Dia hampir ketawa namun, dia memahami kehidupan mereka yang bertemankan laut dan keindahan semula jadi.

“Amira, kau tahu tak ibu aku cakap nanti bila dah besar perempuan kena masuk dapur jugak,” riak wajah Maimunah gusar tatkala meluahkan apa yang dikatakan oleh ibunya. Maimunah, kawan yang sangat akrab dengannya. Mempunyai cita-cita tinggi ingin terbang di angkasa meredah benua menimba ilmu.

Maei, kau jangan risau, kita pujuk ibu kau sama-sama nak? Kita kena berusaha untuk tunjuk kesungguhan kita untuk berjaya.” Amira memujuk sambil tersenyum manis memandang sahabatnya.

Masyarakat kampung di sini kebanyakannya diajar bekerja kampung sebagai sumber utama mereka. Pada pandangan mereka, anak perempuan perlu berada di dapur dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Amira kagum dengan datuknya kerana berfikiran luas dan mengizinkan ibunya pergi jauh nun di benua Amerika. Dia pasti, Maimunah akan berjaya.

Amira serta Maimunah berehat sambil menikmati pemandangan matahari terbenam di hadapan mereka. Pemandangan yang dapat memaku setiap mata yang memandang dek keindahannya. Kampung ini, terlalu indah dan sebenarnya boleh dibangunkan melalui industri pelancongan. Tetapi mereka lebih berminat untuk mengekalkan suasana masyarakat mereka sekarang. Amira tidak gemar suasana ibu kota yang terlalu sesak dan memenatkan. Dia terlalu berbeza dengan kakaknya, Amni.

“Amira, Maimunah balik siap-siap untuk solat jemaah,” panggil nenek Amira. Mereka bergegas pulang ke rumah masing-masing untuk solat Maghrib. Kewajipan bagi umat Islam ini perlu ditunaikan segera yang mungkin.

*************

“Amira, jom balik tahun ni nak tak? Kau tahu tak aku dah bosan tengok bangsa penjajah kat sini. Kau tak bosan ka?” Soalan Nadhirah buat Amira tertawa besar.

“Kau lupa eh aku dulu membesar dekat negara orang kulit putih ni jugak?” Amira menjawab dengan reaksi sombong yang dibuat-buat. Suka sangat sahabatnya itu menyakatya.

“Mir, sampai bila Mir? kau tak rindu Kak Amni?” nada serius Nadhirah kembali.

“Entah Nad, aku tak tahu.”balas Amira tertunduk. Lirih suaranya.

“Amira, yang berlalu biarlah berlalu. Kau sendiri tahu dia terlalu sayangkan kau. Ada sebab dia nak kau berada dekat dengan dia. Tapi, kenapa kau menjauh?” soalan Nadhirah kali ini dibiarkan berlalu bersama angin musim sejuk yang semakin mencengkam. Perubahan musim kali ini benar-benar dirasakan olehnya. Suhu dijangka akan jatuh mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Mir, kau kena ingat air dicincang takkan putus.” Nasihat Nadhirah buat sahabatnya. Tiga tahun mengenali Amira tidak sekalipun Amirah mengatakan rindu buat keluarganya di Malaysia. Amira, keras betul hati kau. Keluhan Nadhirah dibiarkan berlalu.

**************

Amira berjalan sendirian mencari ketenangan. Segala memori tentang kisah dulu kembali mengetuk ingatannya. Dia terlalu rindukan keluarganya. Ingin sahaja dia pulang saat ini juga namun, kemarahannya masih belum padam. Kak Amni, sebaris nama yang tidak terlalu mesra dengannya namun lagak seolah terlalu mengenalinya. Apa yang kakaknya inginkan, dia tidak pasti. Namun, konflik terbesar yang berlaku antara mereka adalah apabila kakaknya menghalang sekerasnya dia untuk menjejakkan kaki ke bumi penjajah ini. Bagi Amira, itu haknya. Mereka pernah dibesarkan di Amerika. Apa yang terlalu dirisaukan oleh kakaknya? Dia tidak mengerti.

“Hey Amira, are you okay?” Soal Michell rakan sekuliahnya. Dia tersenyum mesra.

“Yes, I am.” Jawab Amira ringkas. Amira melambai memberi isyarat untuk pergi segera. Dia perlu masa sendirian. Dia tahu, malam-malam begini rakan-rakannya akan berparti dan berfoya-foya lalu pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Itulah rutin mereka untuk menghilangkan stress kononnya. Entahlah, baginya mereka terlalu naïf dalam mencari erti ketenangan,

Dalam perjalanan, dia terjumpa seorang kanak-kanak perempuan yang sedang memarahi adiknya. Dia tertawa kecil. Comel! Itu yang mampu dia luahkan. Suatu ketika dulu, dia dan Amni pernah mesra seperti itu, namun segalanya berubah apabila ibu bapa mereka pulang ke Malaysia. Tanpa dia sedar, air matanya bergenang. Sudah lama dia tidak sedekahkan Al-Fatihah buat kedua orang tuanya. Dia terlalu rindu, namun mereka tiada lagi dibumi fana ini. Dirinya terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga dia lalai akan urusan akhirat.

**************

Assalamualaikum Amira,

Apa khabar kau disana? Amira, lama kita tak bersua. Terima kasih Amira, kerana bantuan kau memujuk ibu aku dulu, aku dapat terbang macam kau. Cuma kau jauh sikit dari aku. Mir, kak Amni ada hantar email dekat aku. Dia cakap dia dah nak kahwin Januari tahun depan. Dia cakap kau dah delete email lama kau. Amira, ingatlah dendam takkan bawa apa-apa faedah untuk kita. Mesti ibu dan ayah kau sedih melihat anak-anaknya tidak bertegur sapa. Kau tahu tak yang mereka sayang korang berdua. Datuk dan nenek kau mesti sedih jugak.

Amira, kau tahu Kak Amni adalah satu-satunya adik beradik yang kau ada. Amira, jangan sampai kau menyesal suatu hari nanti. Ingatlah Amira, berbuat baik kepada adik beradik sendiri, kemudian baru orang lain. Kakak kau sayangkan kau. Mungkin sebab itu dia tidak mahu kau jauh lagi. Lima tahun Amira, kau dekat kampung masa sekolah menengah. Mesti dia terlalu rindukan adiknya. Percayalah cakap aku, tiada dendam yang ada bersamanya bahagia dan tiada kasih sayang yang akan hilang antara adik-beradik sendiri. Kau dah dapat apa yang kau inginkan Amira. Iaitu kembali terbang di angkasa demi menuntut ilmu.

Amira, kau tahu tak burung pun akan kembali ke pokok bila dah penat terbang seharian. Kita terbang di angkasa perlu pulang jejakkan kaki di tanah. Pulanglah berdamai. Kau takkan rugi, malah kau akan bahagia. Pulanglah pada Allah Sang Pencipta. Kau mesti tahu, kita semua merindui syurga. Tapi, memutuskan silaturrahim seolah kau ingin lupakan syurga.

Aku rasa, cukuplah aku bebel dekat engkau kali ini. Tiga tahun Amira, tiga tahun. Ingat, Allah tempat kita kembali memohon sejuta keampunan. Well, bye Amira. Next week jumpa dekat airport. Jangan lupa ambil aku.

Maie

**************

Surat dari Maimunah kali ini benar-benar menyentuh hatinya. Dia tahu, semua salahnya. Dia tidak memberi peluang buat Amni untuk meluahkan apa yang terbuku meretakkan hubungan mereka berdua. Salahnya kerana dia terlalu mengikut kata hatinya. Dia menghilangan diri ke UK juga kakaknya tidak tahu. Begitu tegar hatinya membuang kenangan mereka berdua. Ya, dia terlalu mengikut kata hatinya. Mustahil seorang kakak sanggup memilih sesuatu yang tidak membawa faedah buat dirinya. Dia juga tidak mahu berdiskusi dari hati dengan Amni.

Ya Allah, apa yang telah aku lakukan? Amnilah tempat dia menumpang kasih sebenarnya setelah kematian ibu dan bapanya serta kedua datuk dan neneknya dalam sebuah kemalangan ngeri yang menjadi titik hitam dalam hidupnya. Dia kehilangan orang-orang yang tersayang dalam hidupnya. Yang tinggal hanya dia dan Amni.

Amira menangis sepuasnya. Ya, dia ingin menangis kali ini dan bukan esok. Cukuplah dia mendam rasa selama ini. Terlalu jauh dia ikutkan kata-kata syaitan. Amira bangun dan menunaikan solat sunat. Konflik ini perlu penyelesaian bukan dia terus berlari. Tiada masalah yang dapat mereka selesaikan dengan hanya berdiam dan berlari.

Assalamualaikum kak Amni, ini Amira. Akak, maafkan Amira.” Send button ditekannya. Email pertama yang dihantar dan dia terus menutup Ipadnya. Takut menanti balasan daripada kakaknya.

**************

Seperti yang dijanjikan, 3 Disember 2015 Amira pergi ke London Heathrow Airport untuk menjemput Maimunah. Namun, ada sesuatu yang tidak terjangka menantinya.

“Assalamualaikum Amira, adik akak sihat?” soalan pertama dari insan yang bernama Amni mengejutkan dirinya. Akhirnya Amira memeluk kakaknya seerat mungkin. Dia terlalu rindukan Amni sebenarnya.

“Maafkan Amira atas apa yang berlaku akak. Amira yang salah,” dalam esakan Amira memohon maaf.

Hari ini merupakan hari teristimewa buat Amira. Insan yang terlalu dia rindukan berada di depannya, Amni. Dia pernah dimarahi Amni kerana bermain di luar sendirian ketika mereka berada di Amerika. Insan ini sebenarnya terlalu inginkan dia selamat dan syukur, mereka telah bersatu semula.

Maimunah, terima kasih! Lafaz yang dia luahkan dalam hatinya.

Mereka berjalan seiringan untuk pulang ke rumah sewa Amira. Salji mula turun memberikan satu memori yang indah. Kota ini menyaksikan segalanya. Musim sejuk kali ini, dia tidak sendirian. Syukur, perancangan Allah itulah yang terbaik.

KARYA AHLI | Cerpen

‘Abidatul Akmaliah Binti Khairul Azman
Tahun 2
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Karya Unit,
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2016/2017