healer-1

24 Dis, MANSHEYA NASSER – Setelah pelbagai cabaran yang dihadapi para penggerak HEALER, akhirnya program tersebut berjaya diadakan pada tarikh yang telah dirancang. HEALER, dengan kerjasama Spirit of Youth Association telah dijalankan di Mansheya Nasser atau lebih dikenali sebagai ‘Bandar Sampah’ yang merupakan kawasan pengumpulan sampah dan juga kawasan penempatan bagi penduduk ‘Zabaleen’ yang bermaksud pengumpul sampah.

healer-4

 

Antara aktiviti yang dijalankan ialah melawat Boys Recycling School. Sekolah yang didirikan oleh Spirit of Youth Association itu memberi pendidikan kepada pelajar-pelajarnya yang berusia dari enam hingga ke 17 tahun tentang kepentingan kitar semula. Di sana, aktivis diberi peluang untuk mendekati pelajar-pelajar
dengan mengadakan seminar tentang kebersihan diri. Di samping itu, aktivis juga menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada pelajar-pelajar serta keluarga mereka.

“Saya terharu melihat penerimaan mereka terhadap kedatangan kami, sangat memberi kerjasama, ada yang nakal tu biasalah tapi masih boleh dikawal. Yang menghiburkan hati saya, ada yang berebut-rebut nak memeriksa tekanan darah. Saya juga kagum dengan keaktifan dan kecerdasan kanak-kanak di situ, apabila diberi soalan, berebut-rebut nak menjawab soalan. Dah lama saya tidak melihat situasi sebegini”, kata Saudari Nurhidayati binti Basril, salah seorang aktivis HEALER.

healer-3

 

Beliau berkata lagi dalam temubualnya bersama wartawan mediaPERUBATAN bahawa baginya, ini merupakan pengalaman baru dan sangat berharga baginya walaupun hanya sehari, kerana sebelum ini beliau belum pernah betul-betul berpeluang berprogram dengan penduduk tempatan.

 

“Saya belajar daripada mereka bahawa hidup susah bukan penghalang untuk kita tersenyum dan bergembira. Sungguh, mereka sangat ceria! Rutin mereka setiap hari ialah mengasingkan sampah-sarap yang dihantar, baik muda, tua, lelaki mahupun perempuan melakukan kerja itu. Saya rasa tanpa mereka, mungkin kota Kaherah ini akan dipenuhi lebih banyak sampah. Hidup kita ini saling melengkapi, maka tidak perlu membezakan orang ini darjatnya tinggi, orang itu darjatnya rendah. Mungkin yang kita lihat rendah tetapi sebenarnya tinggi di sisi Tuhan”.

Saudara Muhammad Shafiq bin Kadir, Ketua Biro Kebajikan (BCARE) PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS), turut meluahkan rasa dalam tulisannya di laman Facebook,

“Saya melihat betapa gembiranya mereka menyambut kedatangan kita. Betapa gembiranya tatkala kita menceritakan tentang seminar kesihatan. Betapa gembiranya ibu-ibu dan anak-anak menerima pemeriksaan kesihatan yang tak mampu pun mereka perolehi. Betapa gembiranya anak-anak terima sebiji buah epal yang entah bila kali terakhir mereka menjamahnya. Saya gembira kerana dapat berkongsi sebahagian daripada apa yang kita ada.”

Di sebalik timbunan raksaksa sampah yang menjadi talian hayat mereka untuk terus hidup, mereka juga punya impian terutamanya anak-anak kecil yang bercita-cita mahu menjadi doktor, jurutera, guru dan sebagainya. Biarpun apa-apa pekerjaan mereka pilih, saya mahu mereka bangga menyatakan ,

healer-3

”Biarpun aku ialah anak yang lahir dari timbunan sampah, tetapi aku juga boleh berjaya”

Pengarah program ini, Saudara Muhamad Arif bin Zahari menyatakan harapannya supaya para aktivis dapat mengambil pengalaman yang sangat berguna daripada program HEALER yang julung-julung kali diadakan ini dan semoga semangat aktivitisme terus kekal utuh dalam diri masing-masing.

Nur Farah Fathira Bt Jasni, Unit Liputan & Hebahan, Biro Penerbitan & Penerangan (BPP) 2016/2017