Assalamualaikum wbt.

Bermula sesi pengajian baharu, akan berlangsung fasa kutipan yuran ahli bagi PERUBATAN Cawangan Ain Shams dibawah kelolaan Jabatan Bendahari.

Untuk makluman, PCS kali ini memperkenalkan satu sistem kutipan yuran yang baru mengikut sesi pembelanjaran secara keterangkuman. Keterangkuman yang dimaksudkan ialah sistem kutipan yuran ahli yang mengandungi tiga jenis kutipan yang disekalikan iaitu Tabung Kasih Sayang (TKS), Teratak Ulul Albab foundation (TUAF) dan yuran PERUBATAN. Sistem terbaru ini dilancarkan bermula sesi pengajian ini bertujuan untuk mengurangkan penindanan kutipan yang pelbagai seperti yang dilakukan sebelum ini dan seterusnya mengurangkan beban ahli melalui kutipan secara sekaligus.

Justeru yuran bagi ahli yang mendapat tajaan adalah sebanyak 120 (Egyption Pound) manakala bagi ahli yang tiada tajaan adalah sebanyak 100 (Egyption Pound).


Seperti yang termaktub dalam perlembagaan PERUBATAN Fasal 8, Perkara 1 yang menyebut;

“Setiap ahli perlu membayar yuran pendaftaran keahlian sebanyak 5 (lima) Egyptian Pound dan yuran tahunan sebanyak 20 (dua puluh) Egyptian Pound.”

Hasil kutipan yuran PERUBATAN akan digunakan bagi menampung perbelanjaan tahunan PERUBATAN Cawangan Ain Shams dan PERUBATAN. Diingatkan bahawa ahli yang berjaya membayar yuran sahaja yang layak mengundi dan menghadiri Mesyuarat Tahunan PERUBATAN Cawangan dan Mesyuarat Agung PERUBATAN.

Selain itu, kutipan yuran ahli ini juga mengandungi kutipan Tabung Kasih Sayang (TKS) yang sangat penting dalam menjaga kebajikan ahli yang terbanyak. TKS bertujuan untuk membantu ahli yang memerlukan melalui pembahagian beberapa skim di dalam TKS iaitu Skim Azhari, Skim Pinjaman dan Skim Sumbangan Umum. Bagi Skim Sumbangan Umum terdapat pula pelbagai peruntukan yang dilakukan seperti Sumbangan Musibah, TKS Batch, Saguhati Kelahiran, Dana Satu Hati, Baucer Buku 1 Hati (BB1H), We Care Fund  dan pelbagai lagi. Hal ini menunjukkan TKS merupakan salah satu nadi terpenting dalam memastikan kelangsungan kebajikan ahli terus tidak terabai melalui keseluruhan ahli yang sedia menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

Manakala bagi kutipan Teratak Ulul Albab Foundation (TUAF) pula akan digunakan untuk menampung sewa serta penyelenggaraan markas yang menjadi pusat pengumpulan ahli Ain Shams di bumi Abbasiah. Kutipan ini akan merangkumi kadar sewaan markas dari bulan Oktober 2016 hingga September 2017 dan sekaligus sistem kutipan TUAF yang berlaku selama 3 kali setahun tidak akan digunakan lagi

Dengan ini diumumkan bahawa fasa kutipan yuran bagi PERUBATAN Cawangan Ain Shams akan berlangsung dari awal  November hingga akhir Januari.

Bayaran boleh dilakukan kepada Bendahari PCS di program-program yang terpilih atau Bendahari Batch sepanjang fasa kutipan berlangsung. Setiap pembayaran akan disertakan dengan pemberian resit bayaran.

Segala bentuk kerjasama kami dahulukan dengan ucapan terima kasih. Semoga keterlibatan semua ahli dapat memberi manfaat yang lebih besar dalam menggerakkan PERUBATAN Cawangan Ain Shams yang tercinta.

Siiru ‘ala barakatillah.

Sekian, terima kasih.

“PCS Kita Satu Hati”

“Pengurusan Kewangan Berkualiti, Kredibiliti PERUBATAN Diperakui”

p/s: Khoirul kalam ma qalla wa dalla

 

img-20161105-wa0017

Mohd Aiman bin Amran

Bendahari

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017

img-20161105-wa0016

Nur Fatin Izzaty binti Mohd Shurkeri

Timbalan Bendahari

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017