بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kita lafazkan pada Yang Maha Esa atas nikmat yang dikurniakan kepada kita selaku hamba yang fakir ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W. berkat keringat peluh yang menghiasi sirah perjalanan hidup dakwah baginda menyebabkan umat manusia sehingga ke hari ini masih merasa nikmat Iman dan Islam. Agama Islam yang diajarkan baginda Nabi S.A.W. pada seluruh umat manusia ini lengkap dan sesuai dengan segenap aspek kehidupan.

Antara perkara besar yang diajarkan dalam Islam ialah aspek kepimpinan. Dalam menggerakkan sesebuah tamadun ataupun masyarakat pastinya berhajatkan pada satu ketua ataupun sebuah kepimpinan yang mampu meneraju masyarakat mengikut landasan Islam. Sabda Rasulullah S.A.W.,
“Jika kamu keluar tiga orang ke suatu tempat maka lantiklah salah seorang daripada kamu menjadi ketua.” (Riwayat Muslim)

Islam menetapkan keutamaan untuk memilih pimpinan yang mempunyai sifat amanah, adil lagi bijaksana. Hal ini penting bagi memastikan Islam serta syariatnya dapat dilaksanakan dengan baik. Sirah baginda Nabi S.A.W. bersama para sahabat menjadi contoh pedoman buat kita semua.
Andai disingkap kembali peristiwa kewafatan baginda Nabi Muhammad S.A.W., para sahabat terlebih dahulu berbincang untuk memilih pemimpin dalam kalangan mereka untuk menggantikan Nabi Muhammad S.A.W. sedangkan hanya sebahagian sahabat sahaja termasuk Ali bin Abi Talib R.A. yang menguruskan jenazah Nabi Muhammad S.A.W. Peristiwa ini memberitahu kita satu akhlak yang murni bahawa urusan memilih pimpinan itu adalah satu tanggungjawab yang sangat besar dan terlebih utama.

Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN Cawangan (JPC) 2016/2017.

Segenap tahun peneraju kepimpinanan PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) akan bertukar ganti, yang baru bakal menggantikan yang lama. Pimpinan baru bakal membawa aspirasi kepimpinan yang baru namun tetap selari dengan pembawaan yang telah digariskan PERUBATAN. Sehubungan dengan itu, satu proses pemilihan AJKT PCS bakal dijalankan tidak lama lagi. Proses perlantikan barisan kepimpinan baru ini akan dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dinamakan Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC). Mereka bertanggungjawab bagi memastikan proses pemilihan berjalan dengan lancar, bebas, telus dan bersih.

Selari dengan perlembagaan PERUBATAN, Bab 4 Fasal 27 (1) (a):
“Jawatankuasa Khas untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan yang selepas ini disebut sebagai Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) hendaklah ditubuhkan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN untuk mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan pemilihan Ahli JawatankuasaTertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Bertepatan juga dengan isi perlembagaan PERUBATAN, Bab 4 Fasal 30 (5) (b):
“Tugas-tugas Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan adalah seperti berikut: (b) Melantik Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Maka dengan ini, pihak Lembaga Penasihat PCS sesi 2016/2017 telah berbincang dan bersetuju untuk melantik saudara Abdul Rahman bin Said Sultan sebagai Pengarah JPC PCS 2016 manakala saudari Nurhidayah binti Abdul Wahid sebagai Timbalan Pengarah JPC PCS 2016.

Pengecilan Struktur Organisasi PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2017/2018

Saban tahun, cawangan diperlihatkan dengan jumlah ahli yang semakin berkurangan. Justeru berlaku ketidakseimbangan antara sumber manusia dan jumlah gerak kerja yang sedia ada pada masa sekarang.  Tambahan pula, purata jumlah mahasiswa baru jauh lebih rendah berbanding jumlah mahasiwa tahun akhir yang bakal pulang. Satu tindakan perlu diambil agar organisasi cawangan bergerak secara optimum seterusnya mencapai objektif, visi dan misi PERUBATAN dalam masa yang sama tidak membebankan tenaga ahli di cawangan.

Oleh hal yang demikian, melalui mesyuarat Lembaga Penasihat PCS 2016/2017 yang turut disertai oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi, satu keputusan telah disepakati. Hasil mesyuarat ini telah dinilai dan diluluskan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN 2016/2017 beserta Presiden dan Timbalan Presiden PERUBATAN. Keputusan telah diambil untuk mengecilkan jumlah kerusi AJKT PCS yang bakal dipertandingkan sekaligus menggabungkan beberapa jawatan biro AJKT PCS sesi 2017/2018.

Untuk makluman, akan berlaku sedikit perubahan dalam organisasi yang menjadikan jumlah keseluruhan AJKT PCS sesi 2017/2018 akan menjadi 9 orang lelaki dan 9 orang perempuan beserta seorang Pengerusi dan Timbalan Pengerusi. Oleh yang demikian, hanya tujuh (7) kerusi AJKT bagi setiap jantina (jumlah 14 kerusi) akan dipertandingkan. Dalam masa yang sama, sejumlah empat (4) orang AJKT semasa akan dikekalkan.

Akhir kata, jutaan doa dan pengharapan dipanjatkan kepada Allah agar segala perancangan dapat dilaksanakan dan berjalan dengan lancar. Kami juga menyeru seluruh warga PCS untuk turut sama memeriahkan pilihanraya tahun ini dan sama-sama turun menunaikan tanggungjawab memilih calon AJKT pilihan anda yang akan meneraju PERUBATAN Cawangan Ain Shams pada sesi hadapan.

Sekian. Siiru Ala Barakatillah.

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“PCS, Kita Satu Hati”

aqiel-kr

Abdullah Aqiel bin Aminuddin

Ketua Penasihat,

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017

kak-hajar-kr

Siti Hajar binti Ahmad Azhar

Timbalan Ketua Penasihat,

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017