Pertama kali aku mendengar isu vape ketika cuti musim panas tahun lepas di Malaysia, isu tersebut dibincangkan dalam siaran TV Al- Hijrah serta menjadi trend anak muda zaman sekarang. Gambar mereka menghembus asap vape sehingga memenuhi setiap sudut atmosfera dapat kulihat di media massa. Dakwaan penggunaan vape 95% lebih selamat berbanding rokok berkemungkinan menjadi salah satu faktor percambahan trend tersebut. Malah, wanita dan kanak- kanak turut terjebak dalam trend yang tidak sihat ini. Walaupun ada beberapa perkara positif yang menjadi asbab penggunaan vape, hal ini masih merisaukan aku kerana penggunaan vape tidak mendatangkan sebarang manfaat melainkan keseronokan semata-mata.

Ada yang mendakwa penggunaan vape merupakan salah satu alternatif bagi menghentikan ketagihan merokok. Hal ini disebabkan, cecair dalam vape tidak mempunyai nikotin, dan sekiranya ada, ianya hanya dalam kuantiti yang sedikit. Justeru, ia dapat membantu perokok untuk berhenti merokok secara bertahap. Sememangnya lebih mudah untuk berkata-kata berbanding bertindak kerana pada Julai 2014, WHO mengeluarkan satu laporan yang mengatakan bahawa tiada bukti yang cukup bagi menyatakan e-cigarettes dapat menghilangan ketagihan merokok.Malah, jumlah nikotin yang terdapat di dalam rokok elektronik ini berbeza bergantung kenyataan tertulis pada labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi).Malah, terdapat sedikit nikotin dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”. Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional. Perkara ini membuktikan vape boleh jadi lebih berbahaya berbading rokok.

Pada  12 Ogos,  KKM menyarankan agar penggunaan vape dihentikan seketika. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam memberitahu bahawa kementerian sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan penggunaan vape kepada kesihatan.

Kesan bahaya dari penggunaan vape dapat dijangka kerana pada 14 Ogos,   Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Dalilah Kamaruddin mengatakan proses pengewapan cecair nikotin yang dihasilkan oleh rokok elektronik, akan disedut oleh pengguna, dan wap nikotin ini mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik. Tambah beliau lagi, asid nitrik merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia. Selain itu, cecair itu juga mengandungi gliserin. Kadar gliserin yang tinggi sebagai perisa dalam vape mempunyai kesan yang mampu membunuh sel paru-paru, otak dan kulit.

Isu ini terus mendapat perhatian pelbagai pihak antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan  masyarakat umum. Ada pihak yang menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia mengharamkan penggunaan vape seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Ashok Zachariah Philip berpendapat bahawa rokok elektronik boleh membawa kemudharatan kepada penggunanya. Beliau juga berpendapat bahawa kebanyakan bahan kimia yang terkandung di dalam asap rokok kenvesional juga terdapat di dalam rokok elektronik walaupun kadarnya lebih rendah.

v1

Walaupun pada 30 Oktober Kabinet Malaysia memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape di kalangan pengguna dan penjual vape namun pengawalan terhadap vape terus dilakukan. Antaranya, penjualan vape tanpa lesen akan dirampas dan ahli farmasi sahaja yang dibenarkan untuk menjual cecair vape. Namun begitu, ada juga pihak yang menyokong penggunaan vape. Perdebatan antara semua pihak terus berlaku.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), fenomena penggunaan vape ini bertentangan dengan dasar dan polisi KKM untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dari sebarang bentuk amalan rokok. Ia juga tidak selari dengan perjanjianWHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) yang telah ditandatangani oleh Malaysia semenjak tahun 2005. KKM telah menubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal Bagi Mengkai Kesan Rokok Elektronik Dan Shisha Terhadap Kesihatan  pada bulan Ogos tahun 2013. Jawatankuasa ini mengambil masa selama setahun  empat bulan untuk membuat penetapan kerana ketika itu kurang kajian-kajian saintifik berkaitan rokok elektronik dan vape. Jawatankuasa ini telah meneliti beberapa kertas kajian saintifik dan laporan-laporan terutama daripada WHO FCTC dan International Union Against Tubercolosis and Lung Disease.

Tanggal 21 Disember 2015, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape ini adalah haram setelah menjalankan kajian terhadap vape. Pengharaman ini disebabkan vape mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada masyarakat seperti terhadap  kesihatan itu sendiri.

v2

  Dengan kenyataan ini, pasti semua pihak merasa lega kerana sudah pasti, budaya vape merupakan perkara yang perlu dibanteras oleh setiap umat Islam. Nabi Muhammad pernah bersabda, kesihatan dan masa lapang merupakan antara nikmat yang sering manusia lupakan. Justeru, kita sebagai bakal perawat perlu memberi kesadaran kepada masyarakat untuk terus menjaga kesihatan. Mencegah lebih baik dari mengubati.

 

Rujukan:

  1. Kertas kerja Seminar PERUBATAN ke-7, JUSTICE.
  2. http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=465:irsyad-fatwa-ke-63-hukum-penggunaan-rokok-elektronik-vapor&catid=48&Itemid=333
  3. http://www.hmetro.com.my/node/73061
  4. http://www.sinarharian.com.my/nasional/2015-kronologi-isu-vape-di-malaysia-1.467532

 

KARYA AHLI | AKADEMIK

Ahli Medical Team
Heath Academy
Biro Akademik (BCAD)

PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2016/2017