dp-jaksi

 

 

Meninggalkan hawa nafsu adalah kunci pembuka pintu syurga. Bertepatan dengan kenyataan ini, Abdullah bin Mas’ud RA berkata, “ Kalian sedang berada pada zaman di mana manusia mandahulukan kebenaran (al-Haqq) di atas hawa nafsunya, dan akan datang suatu zaman di mana manusia mendahulukan hawa nafsunya di atas kebenaran, maka kami berlindung dari zaman yang demikian.”

 

Hawa nafsu mempunyai daya yang sangat kuat dan aktif serta efektif dalam kehidupan manusia, tapi kehendak untuk menyempurnakan, mematangkan dan menonjolkan peranan akal tidak pernah dihiraukan. Hal itu adalah disebabkan oleh kerana manusia itu sendiri terdiri dari akal dan hawa nafsu.

 

Manusia selalu berada dalam dilema antara dua faktor ini, antara akal dan nafsu. Justeru, semua bergantung pada manusia sendiri dalam mengfungsikan akal atau memuaskan nafsu dalam kehidupannya.

 

Nafsu merupakan tempat interaksi segala yang buruk dan baik, halal dan haram, serta hak dan batil. Jika tidak digaul dan diuli dengan baik maka buruklah padahnya. Nafsu yang tidak dikawal dengan baik akan menjadi pendorong dan pendokong kepada kemaksiatan lantas menjauhkan kita daripada ketaatan. Sungguh , jika tidak dikekang dengan lingkaran iman dan taqwa, nafsu pasti akan merangsang kita kepada keburukan dan lembah durjana.

 

Jelas, jika manusia dapat mengekang nafsu buruk , maka tidak akan berlaku segala permasalahan yang melanda umat kita pada hari ini. Perkara ini bukanlah teori semata, tetapi realiti yang melanda kita hari ini apabila remaja zaman sekarang semakin hanyut dan leka dengan keseronokan dunia sehinggakan terlupa tujuan asal mereka berada di muka bumi Ilahi ini. Baru perihal remajanya, golongan dewasa belum lagi dihuraikan permasalahannya.

 

Umat pada hari ini harus sedar, sekecil-kecil masalah hingga ke sebesar-besar masalah dapat dielakkan andai kita menang pertarungan ini. Pertarungan yang tidak asing dengan diri , pertarungan dengan hawa nafsu, kita harus menang. Namun tidaklah mencukupi sekadar kita mengetahui permasalahan dan penyakit yang berlaku akibat nafsu, haruslah kita mengetahui bagaimana untuk mengendalikannya dengan baik.

Firman Allah dalam surah An-Naziat ayat 40 dan 41,
“ Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari hawa nafsunya. Maka sungguh, syurgalah tempat tinggalnya.”

 

Sesungguhnya Allah menjanjikan pahala dalam ayat ini bahawa bagi sesiapa yang mampu memimpin jiwanya dan mampu mengendalikan hawa nafsunya, maka syurgalah tempat tinggalnya kelak. Perkara pertama yang perlu kita lakukan untuk kendalikan nafsu adalah mengetahui tujuan serta matlamat utama hidup ini. Setiap insan harus sedar tujuan dan matlamat hidup adalah bagi meraih redah Ilahi, lantas menempah tempat tinggal abadi di syurga nanti. Apabila tujuan dan matlamat kita jelas, maka kita akan lebih terpandu untuk menjalankan plan-plan seterusnya utuk mengawal nafsu.

 

Tindakan yang kedua untuk mengekang dan mendidik nafsu adalah dengan berzikir dan mendekatkan diri dengan Allah. Dekatkan diri dengan Allah, kerana sesungguhnya Allah yang mampu memandu segala perbuatan kita. Mohon kepada-Nya agar kita diberi kuatan untuk melawan dan memerangi nafsu. Insan yang dekat dengan Allah pasti akan jauh dengan kemaksiatan.

 

Seterusnya, haruslah kita berusaha dan berjihad melawan hawa nafsu. Cara- cara berjihad melawan nafsu adalah dengan sedikit makan, sedikit tidur , bercakap sekadar perlu dan sabar menanggung gangguan orang lain. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya, “Perangilah hawa nafsumu dengan lapar dan haus, kerana sesungguhnya pahala dalam hal itu adalah seperti pahala berperang di jalan Allah. Dan sesungguhnya tiada sebuah amalpun yang lebih dicintai Allah daripada lapar dan haus.”

 

Pada umumnya keadaan nafsu ini adalah rakus, mendambakan kesenangan, lari dan enggan beribadah. Kerana itulah langkah yang tepat baginya adalah lapar, sebab ia akan merasakan kepedihannya dalam banyak hal agar ia menyerah kalah. Kesederhanaan dalam mengambil makanan adalah dituntut dalam Islam. Dengan kurang makan, matilah keserakahan syahawat, dengan kurang tidur kemahuan menjadi bersih jernih dan apabila kurang bercakap badan selamat serta akhirnya bersabarlah kerana Allah sentiasa bersama orang yang sabar.

 

Kesimpulannya, kita harus menang dalam pertarungan melawan dan mendidik nafsu. Apabila menang melawan nafsu, maka kita akan mudah memenangi segala pertempuran dengan musuh-musuh yang lain. Mari sama-sama kita menghitung sebelum dihitung agar kelak di akhirat kita tidak rentung. Oleh sebab itu, sentiasalah berdoa kepada allah agar kita sentiasa dijaga di dunia dan akhirat.

 

#PCSkitasatuhati

#rakyatainshams

#KPIilmu