Direkodkan bahawa lebih kurang enam juta orang Yahudi dibunuh angkara Hitler semasa tragedi Holocaust. Joseph Stalin yang mengepalai revolusi komunis Rusia pula masyhur dengan rekod pembunuhan dan kesengsaraan rakyat Soviet sehingga bilangannya mencecah 20 juta orang menurut sesetengah pendapat.

Selaku pemimpin komunis, Mao Tse-tung pula bertanggungjawab atas kematian antara 40 hingga 70 juta rakyat China disebabkan oleh pelbagai kekejaman. Tidak lupa episod tragedi yang berlaku di Myanmar, iaitu pembunuhan dan pengusiran kelompok minoriti muslim di Rohingya yang didalangi Ashi Wirathu. Begitu juga halnya dengan Benito Musollini, Ashoka Maurya dan ramai lagi.

Mereka semua bukan Islam, namun tiada yang mengaitkan mereka dengan agama yang dianuti mereka. Bahkan jika ingin melabel individu atau organisasi sebagai pengganas mengikut jumlah pembunuhan yang dilakukan, pasti jumlah pembunuhan tertinggi dalam sejarah dunia dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. Malangnya, ada sebahagian daripada mereka dianggap sebagai ‘wira’ manakala label ‘pengganas’ pula hanyalah dilekatkan di dahi mereka yang menganut agama Islam hari ini.

Apabila kita mengalih horizon pemikiran kita kepada sudut media massa, sudah pasti terbayang percikan darah anak-anak yang tidak berdosa, suara si ibu yang meraung sambil merangkul jasad permata hatinya yang sudah tidak bernyawa lagi dan bangunan-bangunan yang dahulunya indah kukuh tetapi kini hancur terkubur. Dalang kepada segala kekejaman dan keganasan ini ditujukan kepada mereka yang kononnya berjuang atas nama Islam. Hal ini amat mengecewakan penduduk dunia terutama mereka yang tidak terlibat namun turut terpalit dan dilabelkan sebagai pengganas.

islamophobia-dark-history-ii-1

Menghukum mana-mana agama sebagai pengganas amatlah tidak adil dan berat sebelah. Hal ini kerana terdapat nilai-nilai kemanusiaan dalam sistem keagamaan. Tidak ada agama yang menyokong kezaliman dan penindasan. Perlu difahami bahawa Islam mengutuk dan tidak bersetuju dengan sebarang tindakan keganasan yang meragut nyawa orang yang tidak bersalah seperti peristiwa 9/11, peristiwa pengeboman di Mumbai , Turki dan banyak lagi.

Firman Allah :

Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau melakukan kerosakkan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia kesemuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seseorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”

(Al-Maidah 5: 32)

Selain itu, imej berjanggut lebat,berkopiah, berjubah dan berhijab seolah-olah menjadi maskot kepada keganasan di sebahagian negara barat. Masing-masing memandang serong kepada mereka yang berpenampilan sedemikian kerana percaya kepada ‘mitos’ yang digembar-gemburkan. Bahkan terdapat negara yang mengharamkan pakaian berhijab di institusi pegajian dan sebagainya. Walaupun wabak Islamofobia ini telah menular dalam masyarakat terutamanya negara-negara barat, namun percayalah terdapat jiwa-jiwa yang masih menolak ideologi ini. Manusia itu secara semula jadinya mencintai kedamaian, dan benci kepada kemusnahan serta kehancuran. Pelbagai uji kaji sosial dijalankan dan dimuat naik ke media sosial untuk mendapat respon masyarakat umum mengenai reaksi mereka terhadap Muslim dan hasilnya positif. Ramai, tidak kira agama yang masih berdiri atas prinsip kemanusiaan dan lantang menyuarakan pendapat mengenai pendiskriminasian agama ini.

Intihanya, pengganas itu tidak mewakili mana-mana agama. Sekiraya agama dan bangsa itu menjadi indikator kepada sesuatu keganasan maka keharmonian sejagat tidak akan tercapai. Malah hal in hanya akan mewujudkan penyakit prejudis dan perpecahan dalam masyarakat setempat mahupun global. Pokoknya, jika benar Islam mempromosikan keganasan maka tiada penganut agama lain yang selamat kerana dunia ini dihuni oleh 1.7 bilion Muslim.

PEACE | KEMANUSIAAN

Abdul Wadud bin Abdul Halim
Unit Penerangan dan Dokumentasi
PERUBATAN For Peace and Care (PEACE)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017