Bagi sesetengah individu yang biasa, September merupakan hari kelahiranku, September merupakan hari ulangtahun perkahwinanku. Maka disambutlah setiap tahun tanda memperingatinya. Manakan tidak, tarikh penting individu, sehingga ke lanjut usia, tidak akan dilupakan.

Bagi media-media dunia, September digembar-gemburkan sebagai ‘Bulan Kesedihan Dunia’, dimana tragedi 11 September 2001 (Serangan terhadap World Trade Center & serangan terhadap Pentagon) berlaku. Walaupun punca atau sebab yang dicanang-canang oleh media (angkara aksi ‘Terrorism’ orang Islam) bukan sahaja diragui malah telah banyak pembongkaran demi pembongkaran mengenai pembohongan ini, peristiwa ini tetap menjadi ‘headline’ dunia ekoran mainan media yang dikuasai mereka.

Bagaimana dengan kita, yang mempunyai kaca mata Islam? Ini sahajakah yang pernah menjadi sejarah dalam bulan September?

SABRA & SHATILA
p1

Peristiwa Nakba 1948 telah menyaksikan satu episod hitam dalam lipatan sejarah Palestin, dimana tanah air mereka secara kejamnya dirampas dan dijajah. Pengusiran majoriti rakyat Palestin keluar dari tanah air sendiri telah berlaku ekoran peristiwa tersebut.

Pelarian-pelarian Palestin kebanyakannya menghuni kem-kem pelarian yang ada di negara sekitar. Antara kem pelarian tersebut, kem pelarian Sabra & Shatila, 2 buah kem yang terletak di wilayah Beirut Barat, Lubnan. Selain Sabra & Shatila, terdapat juga kem-kem pelarian di wilayah lain seperti Mar Elias & Burj el-Barajneh. Namun seperti kem-kem pelarian yang lain, Sabra & Shatila mempunyai keluasan yang sangat kecil tetapi dihuni oleh ribuan pelarian Palestin. Mereka tinggal di dalam bilik-bilik yang sempit dan fasiliti-fasiliti di sana teramat lemah.

‘THE MASASACRE OF SABRA & SHATILA’

16-18 September 1982
Bumi Lubnan dibasahi Darah Palestin

qori

September 2016, genaplah 34 tahun peristiwa berdarah yang menimpa saudara kita, rakyat Palestin di Sabra & Shatila. Ya, kurangnya peringatan atau penghebahan peristiwa ini di media maya (rujukan utama generasi alaf ini) mungkin telah membuatkan kita lupa atau tidak tahu akan kewujudan peristiwa ini. Namun ketahuilah bahawa ribuan nyawa Palestin telah terkorban pada 3 hari ini. Ayuhlah kita buka mata dan sedar, siapa ‘terrorist’ dunia yang sebenar.

Sabra & Shatila menjadi saksi bisu serangan bertubi-tubi yang tragis serta kekejian yang dilakukan tentera Zionis Israel atas arahan dalang yang terbesar, Menteri Pertahanan pada ketika itu, Ariel Sharon. Krisis yang berlaku dalam kalangan tentera Phalangist Kristian di Lubnan telah membuka ruang yang besar untuk dimanfaatkan oleh Ariel Sharon bagi ‘membersihkan’ pelarian-pelarian Palestin yang terpaksa menumpang di bumi Lubnan itu.

11 September 1982, Menteri Pertahanan Ariel Sharon telah mengumumkan terdapat lebih dari 2000 pengganas yang masih berada di sekitar kem pelarian di Beirut. Dengan perancangan yang penuh strategi dan taktik penipuan yang sangat rapi, Presiden Lubnan merangkap Ketua Parti Phalangist Lubnan (sekutu kuat rejin Zionis Israel); Basyer Gemayel telah terbunuh dalam letupan bom yang berlaku di ibu pejabatnya yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan bersenjata pada 14 September 1982. Berbekalkan alasan ingin mencari pengganas di sekitar kem pelarian di Beirut, Lubnan, maka bermulalah pengepungan oleh tentera Zionis Israel.

15 September 1982 menyaksikan penguasaan tentera Zionis Israel terhadap Beirut Barat yang mana seluruh jalan keluar kem Sabra & Shatila ditutup rapat oleh mereka. Padat dengan ribuan pelarian Palestin di dalam kem tersebut, namun tiada siapa mampu melepaskan diri dan aktiviti keluar masuk dikawal dengan sangat ketat tentera-tentera Zionis berbekalkan kereta Kebal serta bangunan-bangunan tinggi sebagai pos pengawal di sekeliling kem. Lewat petang hari yang sama, seluruh kawasan kem berjaya dikepung secara keseluruhannya.

16 September 1982, satu pertemuan telah dilakukan oleh Ariel Sharon bersama wakil Unit Militia Phalangist Lubnan dibawah pimpinan Elie Hobeika untuk mempelawa mereka masuk ke kem pelarian Palestin Sabra & Shatila serta menjalankan tugas mereka untuk melakukan ‘pembersihan’ ke atas kem perkhemahan tersebut yang kononnya dipanggil ‘Sarang Pengganas’.

p3

Maka dari detik ini, bermulalah 3 hari yang menyedihkan, menyiksakan serta tragis terhadap saudara-saudara se-Islam kita di Sabra & Shatila. Berbekalkan jip-jip serta kelengkapan senjata (senapang, bom fosforus, parang dan kapak) yang dibekalkan oleh tentera Yahudi, gerombolan pertama Batalion Phalangist sejumlah 1500 orang telah masuk ke kawasan kem pada petang 16 September 1982.

Kekejaman demi kekejaman dilakukan tanpa ada kasihan belas kepada rakyat Palestin tidak kira kaum wanita, kanak-kanak, bayi mahupun warga tua dan dianggarkan lebih daripada 3000 yang terkorban dalam peristiwa ini dengan cara yang amat mengerikan. Salah seorang saksi yang hidup dari peristiwa ini, Doktor Ang telah merakamkan pengalaman serta detik peristiwa berdarah ini didalam tulisannya, From Beirut to Jerusalem. Apa yang difahami menurut penyaksian beliau, “Tentera-tentera Israel dan sekutunya itu telah menghancurkan rumah-rumah, khemah-khemah serta menembak mereka dengan senjata. Bom ‘granite’ serta ‘dinamite’ juga dilemparkan ke jendela-jendela rumah yang penuh berpenghuni. Para perempuan ramai yang diperkosa sebelum dibunuh. Bayi-bayi Palestin dipatah-patahkan tulangnya, serta direngkuh kepalanya sebelum dibunuh. Ramai kanak-kanak kecil dilempar ke dalam api yang menyala, yang lain tangan dan kaki dipatahkan mereka. Untuk pertama kali, aku menangis di sini.”

Ya, sememangnya ya, aktiviti kejam ini mendapat sokongan serta bantuan padu oleh tentera Zionis Israel walaupun ada penafian oleh pihak mereka. Manakan tidak, bantuan senjata yang jelas diberikan kepada sekutu mereka untuk menjalankan kerja kotor mereka, kawalan serta kepungan yang rapi dijalankan sehingga tiada seorang pun rakyat Palestin yang terbebas, nyalaan roket api (flare) sehingga menerangi malam Sabra & Shatila bagi memudahkan aktiviti kejam ini dijalankan pada waktu malam dan semestinya banyak lagi yang tidak dicoretkan di sini.

Sehingga benar-benar puas bermain dengan merah darah Palestin, 8.00 pagi, 18 September 1982, keluarlah tentera-tentera Phalangist dari kem tersebut. Setelah itu, laluan baru dibuka dan para wartawan asing dibenarkan masuk ke kem tersebut yang menyaksikan mayat-mayat masih bergelimpangan di sekitar kawasan kem dan kebanyakannya mempunyai kesan dikelar-kelar di anggota badannya. Seperti biasa, media rasmi Israel hanya mengumumkan hanya 700 orang terkorban dalam peristiwa itu. Walhal berdasarkan laporan rasmi yang disahkan lagi oleh wartawan Amnon Kapeliouk (seorang Yahudi dari akhbar Perancis, Le Monde Diplomatique), jumlah kematian mencecah 3000-3500. Ini mengambil kira sebanyak 2000 mayat yang diselenggara selepas pembunuhan yang dilaporkan oleh Palang Merah dan dianggarkan 1000-1500 lagi dibereskan sendiri oleh tentera Phalangist (dihapuskan bukti, ditanam, dibakar dan lain-lain). Tidak dilupakan juga masih ada jumlah yang masih belum ditemui, sama ada dibawah runtuhan-runtuhan bangunan atau dibawa lari ke tempat yang tiada siapa tahu keberadaan mereka atau berjaya melarikan diri.

‘THE BUTCHER OF BEIRUT’
p4

Satu gelaran yang dinobatkan kepada Ariel Sharon diatas kekejaman yang dilakukan olehnya. Beliaulah bekas Perdana Menteri Israel yang ke-11 dan beliaulah pemimpin pengganas Yahudi yang pernah berkata:

Saya berharap akan dapat menghalau keluar semua orang palestin dari Gaza dan Tebing barat ke Jordan.”

(New York Times, 17hb Mei 1982)

Orang Arab yang baik adalah orang Arab yang telah mati

(Ha’aretz, 25hb Februari 1983).

“Saya merasa sedikit kesal terhadap tragedi tersebut tetapi kenapa perlu saya memohon maaf atau merasa bertanggungjawab terhadapnya

(“The Accused” BBC- Panorama, 17/6/2001).

TINDAKAN DUNIA?

Meskipun kutukan demi kutukan diberikan kepada sikap keji Zionis Israel, namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga Majlis Keselamatan PBB tetap keras dan dingin terhadap desakan supaya menghukum mereka yang bersalah. Ya, ada satu kutukan dari PBB terhadap tindakan zalim Zionis melalui Resolusi 521 (19 September 1982), namun ia seolah-olah memberi gula-gula kepada anak-anak kecil untuk menghentikan ‘tantrum’ sahaja kerana tidak pernah ada sebarang hukuman dikenakan terhadap mereka.

Februari 2013 menyaksikan tindakan Mahkamah Tinggi Belgium yang memutuskan untuk membicarakan kes jenayah perang ke atas Sharon, namum Israel menuduh tindakan berbaur politik dan disebabkan tiada seorangpun pendakwa keatas tindakan Sharon ini berbangsa Belgium, maka Mahkamah Tinggi Belgium terpaksa menggugurkan kes ini pada September 2013.
qori2

Permainan dunia yang penuh beragenda. Itulah jawapan yang sesuai jika ditanya apa tindakan dunia. Ekoran tragedi 11 September 2001, ketetapan 1373 telah dikeluarkan Majlis Keselamatan PBB dalam persidangannya yang ke-3485 yang memberikan AS kuasa sepenuhnya untuk menjajah mana-mana tempat di dunia atas tiket memerangi keganasan. Oh, sungguh naif jika perkara ini buat kami percaya yang perkara ini sepenuhnya baik untuk dunia. Semestinya Israel lagi berleluasa bermain catur melumpuhkan negara-negara yang mengancam kedudukannya dengan menggunakan AS.

Namun tiada apa-apa tindakan yang signifikanpun yang dilakukan khusus untuk peristiwa Sabra & Shatila. Peristiwa dimana susur galur peristiwanya jauh lebih tragis dari apa yang berlaku pada 11 September 2011, punca dan dalang kepada peristiwa yang sangat jelas berbanding dengan keraguan-keraguan yang ada pada peritiwa 11 September 2011 dan mempunyai rekod catata jumlah kematian yang lebih kurang sama.

Apa yang ingin dinyatakan disini, dengan memakai kaca mata manusia biasa yang ada sifat perikemanusiaan sudah lebih dari cukup untuk menilai siapa “the real terrorist” dunia sekarang. Namun propaganda serta mainan-mainan media yang dihidangkan oleh dunia yang hinggap ke mata serta telinga masyarakat agak kuat untuk menguasai minda-minda manusia generasi ini. Hagemoni ‘Terrorism is not a terrorism unless it’s done by Muslim’ kuat dimainkan oleh dunia dan bertitik tolak dari itu, berkembang mekarlah ‘Islamophobia’ di dunia ini.

KONKLUSI

Berbicara tentang isu umat Islam Palestin, tidaklah ia merujuk kepada peristiwa Sabra & Shatila ini semata-mata. Sehingga sekarang, kekejaman demi kekejaman masih lagi dilakukan terhadap mereka. Tidak terkira nyawa saudara Islam kita yang terkorban hari demi hari. Ya, kita tidak mampu untuk menidakkan fakta kematian mereka itu, tapi, janganlah kematian mereka hanya berlalu sebagai kematian. Jadikanlah kematian mereka itu, KEMATIAN yang MENGHIDUPKAN hati kita.

 

RUJUKAN : 

http://generasiempayarislam.blogspot.com.eg

 

PEACE | KEMANUSIAAN


PERUBATAN For Peace and Care (PEACE)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017