“Kaum Luth telah mendustakan para Rasul”, “Ketika saudara mereka Luth berkata kepada mereka, ‘mengapa kamu tidak bertakwa?’ “. “Sungguh, aku ini seorang Rasul kepada ku”. “Dan aku tidak meminta upah kepadamu atas ajakan itu, upahku hanyalah dari Tuhan seluruh alam”.”Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki (Homoseks) di antara manusia”. “Dan kamu tinggalkan (perempuan) yang diciptakan Tuhan untuk dijadikan sebagai isteri kamu? Kamu memang orang-orang yang melampaui batas”. ” Mereka menjawab, ‘ Wahai Luth! Jika engkau tidak berhenti, engkau termasuk orang-orang yang terusir’ “. Dia (Luth) berkata, “Aku sungguh benci kepada perbuatan mu”.

(Surah As-Syu’ara’: 160-168)

 

Bermula dari zaman para nabi lagi, gejala songsang ini sudah menular luas. Gejala kotor ini boleh diambil iktibar daripada kisah kaum Nabi Luth iaitu Kaum Sadom. Mereka menjadikan gaya hidup songsang ini sebagai salah satu bentuk kemungkaran terhadap perintah Nabi Luth dan Tuhannya. Secara jelasnya, perbuatan terkutuk ini telah melanggar fitrah kehidupan manusia ciptaan Allah SWT. Nabi Luth berusaha menyeru kaumnya agar menghentikan gejala songsang ini daripada menjadi adat kebiasaan dalam kehidupan mereka. Namun, mereka ingkar arahan Nabi Luth. Lalu Allah menurunkan azab yang pedih ke atas kaum Sadom. Seluruh kaum Sadom dimusnahkan dengan gempa bumi yang amat dahsyat disertai dengan angin kencang dan hujan batu sijjil (batu dari neraka). Kesan dari azab Allah terhadap kaum Sadom ini dikatakan dapat dilihat sehingga ke hari ini dengan penemuan sebahagian kaum Nabi Luth yang mengeras menjadi batu.

Kisah di atas dipetik daripada kisah-kisah para nabi yang masih menjadi lembaran sejarah sehingga kini. Kisah-kisah ini dikarang malah turut dinukilkan dalam al-Quran sebagai salah satu peringatan kepada kita khususnya umat Islam. Namun, sejarah sudah berulang. Gejala songsang ini dilihat semakin membarah dalam masyarakat. Di Barat, acapkali kita melihat berita atau cerita tentang amalan ini. Bahkan, undang-undang berkahwin dengan kaum sejenis turut diwartakan. Adakah Malaysia masih selamat?

240px-Anti_Gay_and_Lesbian_movements_sign

Tetapi baru-baru ini, isu transgender menjadi hangat apabila Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah meluluskan tuntutan beberapa individu yang berani tampil menuntut hak mereka sebagai lelaki transgender. Pada 7 November 2014, negara digemparkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan meluluskan bahawa lelaki transgender di Malaysia dibenarkan untuk berpakaian wanita. Perkara ini menjadi berita gembira kepada golongan ini kerana meraka menyatakan bahawa sebelum ini Seksyen 66 Undang-undang Syariah mendiskriminasi hak mereka untuk bersuara, bergerak dan hidup tanpa diganggu. Walau bagaimanapun, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan tersebut telah mendapat tentangan hebat dari Mufti Negeri Sembilan, Pahang dan Perak. Mereka menyifatkan perkara ini melanggar hukum Allah dan akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat khususnya umat Islam sendiri.

Transgender VS Transeksual

 

Transgender boleh didefinisikan sebagai tabiat dan penampilan seorang lelaki atau perempuan yang mana identitinya berlainan dengan jantinanya. Golongan inilah yang dilihat cuba mengubah kehidupan normal bagi setiap jantina mengikut pelbagai peringkat. Contohnya, seorang lelaki seharusnya berperwatakan kasar dan maskulin. Namun apabila seorang lelaki itu mengubah sifat, berperilaku seperti seorang wanita yang lemah lembut. Begitu juga bagi seorang wanita yang berperilaku seperti seorang lelaki yang kasar. Itulah yang dikatakan transgender. Mereka bukan sahaja akan mengenakan pakaian berlainan jenis dengan jantinanya, malah akan melakukan rutin harian yang berkehendak kepada jantina itu sendiri. Terdapat juga dari golongan ini sehingga mencapai satu tahap sanggup melakukan pembedahan alat kelamin bagi mengubah jantinanya.

Berbeza pula dengan transeksual, yang merupakan golongan individu yang identiti jantinanya berlawanan dengan jenis alat kelaminnya secara biologi. Misalnya, seorang lelaki yang dilahirkan normal, merasakan diri mereka seorang wanita dan ingin dikenali juga sebagai wanita, begitu juga sebaliknya dengan wanita. Mereka berasa mereka terperangkap dalam tubuh badan yang salah. Golongan seperti inilah yang berpotensi tinggi untuk terlibat dalam aktiviti seks songsang seperti homoseksual.

Dari Sudut Kesihatan

 

Golongan transgender ini boleh diklasifikasi di bawah kelompok yang sama seperti lesbian, gay dan biseksual, yang dikenali sebagai LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender). Pada hari ini, pengamal dan pejuang isu LGBT ini semakin lantang bersuara supaya golongan ini diiktiraf oleh pelbagai pihak, termasuklah pengamal perubatan. Hal ini kerana mereka berpendapat bahawa perkara ini adalah sesuatu yang “nature” bersifat semulajadi bukannya “nurture” yang disebabkan oleh asuhan atau persekitaran. Persepsi ini harus diubah kerana pelbagai kajian telah dijalankan bagi mencari punca sebenar masalah ini. Kajian yang dijalankan merangkumi beberapa faktor seperti genetik dan perubahan hormon. Sehingga kini, tiada bukti kukuh yang menyatakan LGBT ini adalah sesuatu yang diwarisi dan tidak boleh diubah.

Dalam sejarah perubatan, pada tahun 1952 menyenaraikan homoseksualiti sebagai salah satu gangguan sosiopathi personaliti dalam Manual Diagnostik dan Statistik Penyakit Mental (DSM). Dalam tahun 1968, di dalam DSM edisi ke 2 (DSM II), homoseksualiti diklasifikasikan dalam kategori Seks Songsang (Sexual Deviation). Perkara ini jelas membuktikan bahawa masalah ini sebenarnya berpunca daripada asuhan dan faktor negatif daripada persekitaran yang tidak dibendung. Masalah ini bukan berpunca daripada masalah genetik atau diwarisi seperti yang dilobi oleh golongan yang memperjuangkan isu LGBT ini. Tindakan hak asasi isu ini yang menggunakan faktor genetik sebagai punca utama dan bersifat diskriminasi terhadap golongan ini dilihat tidak beretika dalam perubatan.

Boleh Dirawat, Jangan Tinggalkan Mereka!

 

Semua pihak harus menggembleng tenaga dan bekerjasama dalam menangani masalah ini. Jangan diskriminasikan mereka. Bantulah mereka dengan memberi sokongan untuk berubah dan mencari jalan keluar. Persepsi buruk masyarakat terhadap golongan ini harus diubah. Faktor persekitaran yang positif mampu megubah cara hidup mereka dengan sokongan daripada pelbagai pihak yang ingin membantu. Penyingkiran homoseksualiti daripada salah satu penyakit mental, juga membuktikan bahawa masalah ini disebabkan oleh faktor persekitaran dan boleh dirawat. Khidmat pakar perubatan dan psikologi juga mungkin diperlukan untuk membantu golongan berubah dan menjalani kehidupan secara normal. Ahli politik dan pemerintah haruslah bertegas dalam menangani isu ini mengikut undang-undang yang sedia ada.

Para pengamal LGBT juga diseru supaya kembali ke pangkal jalan. Hal ini kerana tiada bukti yang menyatakan masalah ini diwarisi dan tidak boleh dirawat. Di Barat, ramai golongan ini sudah berubah dan menjalani kehidupan secara normal. Mereka berkahwin dan dikurniakan cahaya mata, sekaligus mencantas kaitan genetik dengan masalah orientasi seks dalam kalangan LGBT ini. Allah tidak menjadikan umatnya terperangkap dalam masalah jantina mereka sendiri. Isu ini dianggap sebagai salah satu isu akidah yang serius kerana melanggar fitrah seorang manusia dan terdapat dalil pengharamannya dalam al-Quran. Pendekatan secara agama perlu dijalankan dengan cara yang terbaik terhadap golongan ini supaya mereka sedar akan silap mereka. Gunalah pendekatan yang berhemah, supaya tidak nampak seperti seolah-olah menghukum mereka. Hal ini supaya mereka kembali ke jalan yang benar dan mencapai reda Allah.

Manusia itu sebaik-baik ciptaan Allah.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. ”

(At Tin : 5)

 

KARYA AHLI | AKADEMIK

Ahli Medical Team
Heath Academy
Biro Akademik (BCAD)

PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2016/2017