maxresdefault

Pada 25 Julai 2016, negara kita telah digemparkan dengan Konsert Selena Gomez bersempena dengan Revival Tour in Malaysia di Stadium Malawati yang mengundang pelbagai persepsi dan kontroversi. Selain itu, isu hiburan melampau pada era globalisasi ini bagai cendawan tumbuh selepas hujan seperti berfoya-foya di kelab-kelab malam, minum arak, judi dan percampuran antara lelaki dan perempuan. Malahan remaja kini semakin taksub dengan artis pujaan mereka sehinggakan timbulnya isu remaja wanita memeluk seorang artis K-pop di konsert mereka pada tahun lepas. Itu belum lagi termasuk aplikasi permainan Pokemon Go yang semakin menular dalam masyarakat seluruh dunia termasuklah Malaysia. Bahkan pergaduhan pernah berlaku antara pejalan kaki dan penunggang motosikal kerana asyik mengumpul Pokemon itu sehingga keselamatan di jalan raya diabaikan.

 
Masyarakat moden kini yang kononnya dikatakan sudah bertamadun ternyata semakin tersasar dengan makna tamadun itu sendiri kerana menurut tokoh sejarawan Islam Syed Naquib al-Attas tamadun diukur melalui pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Kita semakin ketinggalan dalam aspek pembangunan rohaniah dek kerana hanyut dengan budaya hedonisme.

 
Pernahkah anda mendengar perkataan hedonisme? Apakah hedonisme? Adakah perkara-perkara di atas dikategorikan sebagai hedonisme? Ayuh kita teliti penerangan selanjutnya.

 

Apakah Definisi Hedonisme?

 
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 523, hedonisme bermaksud pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

 
Mengimbau sejarah dahulu, Socrates yang merupakan seorang ahli falsafah Yunani telah bertanya kepada anak muridnya bernama Aristipus berkaitan tujuan terakhir dan perkara terbaik bagi kehidupan manusia. Aristipus lantas menjawab bahawa kesenanganlah perkara terbaik itu.Hal ini demikian terbukti kerana manusia secara lumrahnya ketika masih kecil tertarik kepada kesenangan dan apabila telah menikmatinya, dia tidak mencari sesuatu yang lain bahkan akan menjauhkan diri daripada kesusahan.

 
Idea ini kemudiannya dikembangkan oleh Epicurus dengan mengatakan tujuan hidup untuk kesenangan dan kedamaian. Dalam fahaman ini beliau berpendirian bahawa kebaikan tidak mungkin dapat difahami seandainya kita menolak unsur kelazatan dalam hidup. Beliau juga menyatakan, “bergembiralah engkau hari ini, puaskanlah nafsumu, kerana besok engkau akan mati”.

 
Hedonisme juga boleh dijelaskan sebagai cara pemikiran yang taksub atau suka pada hiburan dan budaya ini telah pun diterima oleh masyarakat umum. Dari satu sudut yang lain juga, hedonisme merupakan satu doktrin yang memberi dorongan motivasi kepada seseorang untuk bertindak mencapai keseronokan atau kebahagiaan tanpa batasan dan mengelakkan unsur-unsur yang boleh mendatangkan kesedihan kepada diri mereka.

 

APAKAH CIRI-CIRI HEDONISME ?

 


Cenderung untuk hidup dalam kemewahan dan kesenangan. Contohnya harus mempunyai pakaian yang bergaya dan berjenama, gadget yang paling canggih dan kereta mewah . Berlebihan dalam mengikut arus kemodenan sehinggakan tidak dapat membezakan antara keperluan atau kehendak. Akibatnya, wang perbelanjaan melebihi wang pendapatan kerana banyak pembaziran berlaku ke atas kehendak yang mengikut hawa nafsu semata.

Berhibur dan berseronok sehingga lalai akan tanggungjawab serta kewajipan terhadap Allah S.W.T. Sebagai contoh , mendengar lagu yang tidak meningkatkan keimanan atau mendekatkan diri kepada Allah. Atau menonton televisyen sehingga melewatkan atau tertinggal waktu solat. Di samping itu, masa lebih banyak terluang untuk melepak di shopping mall, kelab malam,konsert dan kafe siber berbanding di masjid.

Terlalu mengejar populariti dan publisiti. Sebagai contoh, wujudnya budaya geng atau kumpulan popular di sekolah dan universitI. Kadangkala geng-geng ini sanggup berkompetensi untuk mempertahankan populariti masing-masing. Selain itu, media sosial sering dijadikan medium untuk menunjukkan setiap detik kehidupan seharian mereka melalui status Facebook,Twitter dan Instagram.

Leka dengan hiburan sehingga mengabaikan ilmu dan tanggungjawab kepada masyarakat. Contohya, masa yang dihabiskan untuk menonton Running Man, anime dan drama Korea ataupun bermain Dota melebihi masa untuk mengulang kaji pelajaran serta menghadiri majlis ilmu agama. Malahan masa untuk berbakti kepada orang lain contohnya membantu ibu bapa, mengambil berat kebajikan rakan-rakan dan berfikir untuk umat Islam juga diabaikan.

Terlampau memikirkan penampilan atau fesyen yang berlebihan. Misalnya, alat solek bersusun di atas meja solek sehingga tidak cukup ruang meja itu, beg tangan dan kasut perlu berlainan setiap hari dan perhiasan mahal menjadi perkara wajib bagi wanita. Lelaki juga tidak terkecuali daripada ciri-ciri ini. Kadangkala gaya rambut pun menjadi perkara yang rumit untuk difikirkan sebelum keluar rumah.

 

PANDANGAN ISLAM DALAM HIBURAN?

 
Adakah kita sebagai umat Islam dilarang untuk berhibur? Jawapannya, TIDAK! Islam ialah agama yang mudah dan meraikan naluri kita sebagai manusia untuk berhibur kerana ia boleh menjadi meditasi bagi mencapai kerehatan dan ketenangan jiwa sesuai dengan fitrah kita. Namun, terdapat garis panduan dan batas-batas syariat yang perlu kita pelihara sebagai invidividu Muslim dalam berhibur.

 
Ciri-ciri hiburan yang dianjurkan oleh Islam :

 
Lagu dan senikata lagu atau hiburan tersebut mestilah tidak melalaikan, tidak bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam, tiada unsur maksiat seperti memuja kecantikan wanita, menganjurkan hubungan bebas muda-mudi dan perlanggaran syariat. Sewajarnya senikata lagu-lagu Islam mampu mengajak manusia kepada cintakan Allah dan hari akhirat serta ke arah memperbaiki diri.

Tidak lalai dan berlebih-lebihan dalam berhibur sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai. Maka haram berhibur jika sampai meninggalkan solat, mengabaikan urusan mencari nafkah dan menuntut ilmu. Kelalaian ini adalah perkara sia-sia yang wajib dijauhi sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 55.

Tiada percampuran di antara lelaki dan wanita ajnabi dalam berhibur. Jika persembahan dari kalangan wanita maka ia hendaklah dibuat secara tertutup dan hanya wanita sahaja dibolehkan menyaksikan persembahan tersebut. Ini adalah bagi mengelakkan segala fitnah dan punca kerosakan umat Islam.

Tiada juga perlakuan yang haram seperti minum arak, unsur judi dan sebagainya di dalam hiburan tersebut. Hadis daripada Abu Malik Al- Asy’aari r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya sebahagian daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan khinzir”. (Riwayat Ibnu Majah)

Penyanyi atau orang yang melakukan persembahan dan para penonton yang hadir hendaklah menjaga tata susila Islam, memelihara aurat, tidak melakukan gerak badan yang mengghairahkan dan penampilan yang mengundang fitnah.

Bersederhana dalam berfesyen dengan pakaian yang menutup aurat serta tidak tabarruj.

Budaya mengunjungi kelab-kelab malam untuk berhibur boleh diubah kepada berkunjung ke tempat-tempat rekreasi dan kawasan pelancongan yang secara tidak langsung boleh mendekatkan diri kepada Allah apabila melihat keindahan alam ciptaan-NYA.

Menonton rancangan televisyen yang tidak melanggar syariat Islam seperti adegan-adegan yang tidak senonoh dan terlampau ganas. Bahkan kita digalakkan menonton rancangan televisyen yang berilmiah dan bermanfaat.

Alhamdulillah, selesai sudah sedikit sebanyak kita rungkai tentang hedonisme ini. Moga bermanfaat buat kalian dan juga diri ini sendiri yang kadang kala terkandas juga dalam hedonisme ini. Jadi kita perlulah selalu menambah ilmu di dada selain sentiasa berdoa kepada Allah supaya tidak lalai menjalankan tanggungjawab kita sebagai hamba,khalifah dan dai’e. Selari dengan firman Allah dalam Surah Az-Zariyaat, ayat ke 56:

 

56Maksudnya : Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadahkan kepada-Ku.

 

 

Serta kita terhindar daripada menjadi golongan yang dimurkai-Nya sebagaimana Firman Allah dalam Surah Al- Jasiyah, ayat 23:

 

23Maksudnya : Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuan-Nya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberi petunjuk setelah Allah? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?

 

Hak Tertegak, Bi’ah Terpelihara!

 

SUMBER RUJUKAN :
http://saymyfuture.blogspot.my/2013/01/hedonisme-dan-bahayanya-bagi-kita.html
https://ditantang.blogspot.my/2015/09/gaya-hidup-hedonisme-ciri-ciri-yang.html
http://www.astroawani.com/berita-dunia/polis-singapura-tahan-dua-lelaki-bergaduh-kerana-pokemon-go-114417
https://www.google.com.eg/#q=isu+remaja+peluk+artis+kpop
http://sejarahproka.blogspot.my/p/makna-tamadun.html
http://documents.tips/documents/budaya-hedonisme-dalam-kalangan-remaja-melayu.html
http://hiburanmelampau.blogspot.my/
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=hedonisme
Majalah at-TaqwaIsu 8 2014 m/surat 13
Bahan Rujukan Jaksi Cawangan Ain Shams

 

KARYA AHLI | ARTIKEL JAKSI PCS

NUR ATIQAH BINTI MOHD HAPIZI

Panel Setiausaha & Bendahari
Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan (BPP)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017