Kenyataan Rasmi : Muhasabah Separuh Penggal (MSP) 2016 2017
السلام عليكم ورحمة الله وبركته
بسم الله الرحمن الرحيم
Rasulullah SAW telah bersabda :
اَلْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ, اِحْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلاَ تَعْجَزْ
“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah dari mukmin yang lemah, dan masing-masing memiliki kebaikan. Bersungguh-sungguhlah dalam (mengerjakan) hal-hal yang bermanfaat bagimu, mohonlah pertolongan dari Allah dan janganlah bersikap lemah.” (HR. Muslim).
Jelas berdasarkan hadis di atas Rasulullah SAW menggalakkan apabila umatnya melakukan sesuatu dalam amal kebaikan, digalakkan untuk melakukannya dengan bersungguh-sungguh agar tidak sia-sia dan mendapat kejayaan dan keberkatan yang maksima. Justeru, dalam menggerakkan sebuah persatuan dan berteraskan al-Quran dan sunnah dalam setiap gerak kerjanya, PERUBATAN Cawangan Ain Shams mengambil inisiatif untuk menilai dan membaiki prestasi kerja buat satu penggal perjalanan sesi kali ini dengan pelaksanaan Muhasabah Separuh Penggal (MSP).
Dalam menjayakan agenda profesionalisme PERUBATAN yang cuba diketengahkan, pada sesi kali ini kita tampilkan MSP yang lebih bersesuaian dan mesra ahli. Antara teknikal yang dirancang adalah melalui aplikasi media Whatsapp, laman sosial Facebook, e-borang, ziarah ahli & borang muhasabah.
Antara elemen-elemen prestasi kerja yang akan dinilai adalah kuantiti kerja , kualiti kerja, fleksibiliti biro dan jabatan, nilai kreatif dalam berinisiatif, sikap perilaku semua biro dan jabatan dalam menggerakkan PCS sepanjang 6 bulan pertama sesi ini. Hasil akhir yang kita harapkan adalah pembaikan prestasi kerja yang lebih efisien. Ini termasuk pengenalan permasalahan yang wujud sekaligus menjurus kepada penyusunan sumber manusia dan latihan-latihan penambahbaikan pada masa akan datang.
MSP pada sesi ini akan dijalankan pada semua peringkat biro dan jabatan PCS bermula 14 Ogos 2016 sehingga 30 September 2016. Proses yang memakan masa satu bulan setengah ini akan melibatkan seluruh jentera pimpinan cawangan dalam mendapatkan maklum balas yang memuaskan dan mencukupi demi penambahbaikan kepada PCS untuk sepenggal lagi yang masih berbaki. Sesungguhnya muhasabah dari anda sebagai ahli sangat berharga bagi kami.
Berdasarkan hadis yang diutarakan di awal penulisan ini, PCS benar-benar komited menjalankan sebarang gerak kerja secara bersungguh-sungguh demi kesejahteraan ahli. Semoga gerak kerja ini sentiasa diredhai Allah SWT dan dipandu hidayah-Nya dan dipayungi rahmat-Nya.
والسلام عليكم ورحمة الله وبركته
Mohd Khairil Ashraf bin Muhammad Fisal
Naib Pengerusi I
PERUBATAN Cawangan Ain shams (PCS) 2016/2017
Nur Fatini binti Azman @ Nasir
Naib Pengerusi II
komen membina peribadi mulia