Palestin  merupakan kota tamadun yang tertua di dunia. Menurut pengkaji moden, kira-kira sembilan ribu tahun Sebelum Masihi, bumi Palestin merupakan tanah pertama menjadi petempatan manusia dan pertanian. Palestin juga menempatkan bandar tertua dalam sejarah tamadunnya iaitu Bandar Ariha. Mengikut geografi, Palestin terletak di persisiran Laut Mediterranean, Asia Barat. Keluasannya mencecah 27000 km persegi. Negara ini bersempadan dengan Lubnan di utaranya, Jordan di timurnya, Syria di timur lautnya dan Mesir di selatannya.

Orang Muslim yang benar-benar faham dengan perjuangan rakyat Palestin pasti mengerti perit jerih mereka dalam mempertahankan tanah air mereka sehingga ke titisan darah yang terakhir. Palestin merupakan tempat yang istimewa bagi umat Islam. Di dalamnya terdapat Masjid al-Aqsa, iaitu kiblat pertama umat Islam dan merupakan antara tiga masjid tersuci dalam tamadun Islam. Padanya juga tersimpan sirah agung, di mana Nabi Muhammad S.A.W telah diangkat bersama malaikat Jibrail A.S ke langit di dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa ini sangat istimewa bagi umat Islam dan dinukilkan dalam al-Quran.

Orang Yahudi dan Nasrani turut menganggap Palestin merupakan tanah suci mereka. Bagi Yahudi, tanah Palestin adalah tanah yang dijanjikan dalam sejarah mereka. Di samping itu, terdapat tempat persemadian nabi-nabi mereka di tempat suci mereka iaitu al-Quds dan al-Khalil. Manakala Nasrani mempercayai bahawa Paletin merupakan tempat lahir agama mereka, di mana Nabi Isa A.S telah dilahirkan dan memulakan dakwahnya di sana. Tempat-tempat seperti al-Quds, Bait Lahm dan An-Nasirah merupakan tempat suci orang Nasrani yang menempatkan banyak tempat keagamaan yang besar.

Penduduk asal tanah Palestin yang sebahagian besarnya telah memeluk agama Islam dan menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi. Fakta ini membuktikan syiar Islam telah tertegak di bumi Palestin sejak zaman pembukaan Palestin pada tahun 15 Hijrah/636 Masihi dan terus kekal sehingga kini. Mereka terus memakmurkan tanah suci ini walau apa jua rintangan dan cabaran yang mendatang. Tetapi malangnya, sebahagian penduduknya telah diusir oleh Rejim Zionis bermula tahun 1948 selepas pengisytiharaan negara haram Israel tanpa rasa segan silu. Sehinggakan kini Yahudi memerintah sebahagian besar Palestin dan meninggalkan hanya tanah sekangkang kera untuk rakyat asal bumi Palestin, iaitu di Gaza dan beberapa tempat di Tebing Barat.

Di Tebing Barat juga terdapat daerah Jerusalem yang dikenali sebagai Baitulmaqdis yang menempatkan Masjid al-Aqsa. Rejim Israel masih berusaha sehingga kini untuk menguasai sepenuhnya tempat ini dengan melakukan pelbagai tekanan hebat dan penganiayaan terhadap penduduk Palestin. Berkat perjuangan dan jihad umat Islam di sana, tempat suci ini masih terpelihara daripada jatuh ke tangan Israel.

Sebagai masyarakat Islam, kita haruslah bersifat prihatin dan insaf dengan nasib yang menimpa saudara kita di Palestin sana. Mereka ditindas dan banyak mangsa telah terkorban disebabkan kekejaman rejim Israel sehingga hari ini. Jadi apa yang perlu kita lakukan? Kita tiada kekuatan yang jitu apatah lagi senjata api untuk bersama-sama mereka menentang kezaliman Israel. Oleh itu, kempen-kempen boikot galak dijalankan oleh banyak pertubuhan NGO sebagai salah satu usaha kecil memprotes kekejaman Israel dan sekutunya.

boikot

Maka, Perubatan For Peace and Care (PEACE) peringkat Perubatan Cawangan Ain Shams (PCS) mengambil inisiatif untuk menjalankan program memboikot barangan Israel. Perkara ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada ahli akan kepentingan boikot itu sendiri. Berikut merupakan antara jenama produk dan Syarikat Israel serta sekutunya :

  • Cadbury
  • Coca Cola
  • Nestle
  • Americana (makanan sejuk beku)
  • Danone
  • Unilever
  • Marx inc.
  • Heinz
  • Johnson & Johnson
  • Palmoline
  • Kimberly Clark
  • Procter and Gamble

Terdapat banyak jenama dan produk yang boleh diboikot. Walaupun usaha ini tampak remeh dan kecil, tetapi sekurang-kurangnya kita ada usaha untuk membantu saudara kita di sana. Biarlah kita hanya cuba memboikot hanya beberapa ataupun satu produk sahaja, asalkan usaha itu ada dan berterusan. Kita sedia maklum bahawa perkara ini bukan mudah untuk dilakukan secara holistik kerana kebanyakan jenama produk-produk tersebut adalah barangan kegunaan harian kita. Pilihan produk inisiatif lain juga mungkin sukar untuk didapati. Maka cukup sekadar yang termampu daripada tidak berbuat apa-apa langsung.

Kesimpulannya, tanah Palestin mendapat tempat di hati orang-orang Muslim terutamanya bagi mereka yang benar-benar beriman bahawa Palestin adalah milik Islam. Perkara ini menjadikan mereka layak untuk mempertahankan bumi Palestin kerana di sanalah tempat para anbiya’ menyemai dakwah berpanjikan tauhid yang satu. Pusaka yang diwarisi sejak dari zaman pemerintahan Nabi Daud A.S, Nabi Sulaiman A.S serta nabi-nabi seterusnya perlu kita akui walaupun kita tidak merasa keperitan rakyat Palestin memperjuangkan hak mereka. Jika tidak mampu mengangkat senjata berjuang bersama mereka, cukuplah sekadar tembakan doa untuk mereka agar dipelihara Allah dan dicekalkan sebulat hati untuk mencapai kemenangan.

Kerana janji Allah itu pasti!

“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan beramal soleh, bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah Dia reda (Islam)….”

(Surah an-Nur : ayat 55)

 

PEACE | KEMANUSIAAN

Khairun Najwa Binti Ali
Timbalan Pengarah
PERUBATAN For Peace and Care (PEACE)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2016/2017