Kebiasaan manusia mencipta beragam nama untuk sesuatu yang sulit difahami. Aku memanggilnya ‘Kesatuan’, tapi mereka pula menggelarnya ‘Perpaduan’. Hakikatnya, biarlah beratus nama yang dilontar golongan bahasa atau awam, kedua-duanya mendefinisikan matlamat yang satu, tapi pelbagai.

Matlamat untuk mencipta insan yang jiwanya kental, seterusnya menghasilkan bangsa berdaya saing.

Matlamat untuk mencipta ummah yang positif, seterusnya memungkinkan negara yang harmoni.

Utopia bukan?

“… aku cinta bukan pada negeri ini, tapi pada cinta yang menempati negeri ini …”

Demikian deklamasi si Qais kepada kekasih jiwa si Laila. Lara romantisnya membina persoalan dalam diri ini, apatah kiranya aku tidak beribu bapa di Malaysia, tidak akan aku cinta pada negara itu? Kerana asbab cinta aku pada tanah air adalah keluarga. Sekiranya patriotisme itu adalah sentimen, maka wajarlah juga kesatuan itu pun satu sentimen! Maka mengikut sifir mudah, kita hanya memerlukan sentimen dalam membentuk perpaduan.

Kami bersatu kerana kami cinta akan satu sama lain.

Kami bersatu demi mempertahankan ibu pertiwi kami.

Mudah bukan? Malangnya realiti tidak seindah mimpi. Meneroka realiti seakan-akan berjalan di atas permukaan Antartik, diuji dengan rapuhnya ais persefahaman. Manusia yang pelbagai mengalahkan kepelbagaian pelangi yang tujuh warnanya. Persengketaan pendapat, perbezaaan fahaman, perselisihan persepsi dan bermacam-macam lagi sudah membarah dalam tamadun sejak zaman Nabi Adam A.S. lagi.

Namun kesatuan itu tetap terlalu penting untuk diabaikan. Mungkin ada antara kita yang sudah bertahun lamanya menjadi punguk merindukan bulan perpaduan dalam
kalangan cucu cicitnya. Sebagaimana gelapnya hitam yang memusuhi putih, lagi bahaya perpecahan lawannya si perpaduan.

Mereka telah melihat jatuhnya Kota Melaka dek perpecahan.

Mereka telah mendengar hancurnya Empayar Uthmaniyyah dek perpecahan.

Mereka telah hilang jati diri, bangsa dan agama dek perpecahan.

Telah terpacul urat-urat tengkuk nenek moyang; marah, apabila mereka melihat generasi muda hari ini memandang enteng akan kesatuan dan perpaduan.
Bukankah sejarah telah tegas mengajar kita bahana perpecahan?

“Matlamat menghalalkan cara”, satu ideologi dan falsafah tulisan Nicholo Machiavelli mungkin menawarkan penyelesaian pada isu perpecahan. Sekiranya ada pihak yang bercanggah, maka dia hendaklah disingkirkan. Bunuh dan seksa akan dianggap perbuatan yang perlu asalkan perpaduan masyarakat tercapai.

Nyawa orang awam di Pearl Harbor yang dikorbankan sebagai justifikasi keterlibatan Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua akan dianggap
perlu.

Pembersihan etnik akan menjadi amalan biasa demi mengurangkan anasir-anasir yang mampu menggugat perpaduan negara.

Ini bukan utopia, tapi zootopia! Bertopengkan manusia, tapi bernalurikan binatang.

Sering kali kita sesat dalam arus modenisasi, kerap jugalah kita terlupa untuk menggunakan kompas Islam. Falsafah manusia menjadi keutamaan sehingga kitab Sang Pencipta ditinggalkan.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah(agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai”
(Al-Imran: 103)

Sesungguhnya yang halal itu halal, dan yang haram itu haram. Mengejar perpaduan melalui kuku besi samalah seperti membina istana pasir. Gah berdiri di pesisir, tapi roboh bila ombak menerpa.

“Di tengah kehangatan kisah perbicaraan Natrah di Singapura, majalah Qalam menyiarkan gambar lukisan yang menunjukkan al–Qur’an terlepas dari tangan Natrah yang duduk bersimpuh. Maknanya sangat mendalam. Saya yang berusia lapan tahun pun faham ….”
Tan Sri Adam Kadir (Mantan Yang Di Pertua Dewan Negara)

Masihkah kau ingat pada kisah Natrah yang pernah menggegarkan tanah air bertahun yang lalu? Natrah adalah kisah cinta dua insan yang menyatu dengan kisah cinta bangsa Melayu kepada agamanya hingga mencetus rusuhan yang tragis di Singapura. Jika isu Malayan Union telah menyebabkan orang Melayu bersatu di bawah satu panji, maka episod Natrah pula menggambarkan perpaduan umat Islam di seluruh Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia.

Masyarakat Melayu ketika itu sanggup membelakangkan presiden pertama UMNO, Dato’ Onn Bin Jaafar apabila beliau mengambil pendekatan yang lebih konservatif. YTM Tunku Abdul Rahman yang mengambil inisiatif untuk menyertai bantahan yang dipelopori ulama Tanah Melayu sebaliknya mendapat sokongan padu rakyat. Perbezaan politik diketepikan demi membela maruah agama dan bangsa. Melayu boleh bersatu!

Namun, sampai bila kita mahu perpaduan yang hanya bergantung pada tali sentimen yang rapuh. Bukankah telah diutuskan kepada kita Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh dan teladan?

LAMAN KOLUMNIS | KARYA AHLI

Muhammad Aiman Bin Mohd Azhari
Tahun 6
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.