“Pepohon cintaku kian merimbun,

Semakin dicantas makin bertunas,

Tidak mampu mendustai hatiku,

Rasa cinta fitrah manusia..”

 

Asyik sekali kita melayan lagu-lagu yang menyebut-nyebut mengenai cinta. Seakan-akan berada di awangan atau di alam fantasi sendiri apabila didendangkan mengenai cinta. Terbayang segalanya yang indah-indah seperti dunia ini kita yang punya!

Cinta satu rasa yang sangat dekat dengan manusia. Masakan tidak kebanyakan cerita, drama, novel, lagu dan sebagainya pasti menyentuh mengenai perkara ini. Sekadar menyebut beberapa contoh, tayangan-tayangan di kaca televisyen antaranya  Seindah Takdir Cinta, Assalamualaikum Cinta, Cinta 100 Kg, Dia Semanis Honey dan pelbagai lagi variasi tajuk yang ingin memancing minat manusia. Walaupun pasti ramai yang tahu konsep jalan cerita tersebut tetapi rating tetap tidak jatuh.

Kerana cinta itu adalah perasaan fitrah manusia. Apabila dikatakan fitrah maka wajib untuk kita tahu dan memahami konteks asal cinta itu menurut Islam. Apa yang diajarkan kepada kita mengenai cinta dari sudut kefahaman yang sahih. Perkara ini adalah asas yang sangat penting untuk kita memahami seterusnya membuahkan amal soleh yang diterima oleh Allah.

Cinta datangnya dari hati. Perasaan kasih sayang yang mengikat antara satu sama lain secara emosi. Perlu kita sedar cinta ini dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu :

  1. Cinta tahap tertinggi
  2. Cinta tahap pertengahan
    3.Cinta Tahap rendah

 

Firman Allah dalam Al-Quran, “ Katakanlah : Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.” (Surah At-Taubah : 24)

Berdasarkan ayat Allah di atas, cinta tahap tertinggi atau cinta kelas pertama adalah apabila kita mencintai Allah, Rasul dan berjihad di atas jalan Allah melebihi segala perkara yang lain. Kerana cinta dan kasih sayang inilah menjadikan kita mendapat nikmat yang kita rasa sekarang. Anugerah iman yang kita kecapi kerana sayangnya Allah kepada kita, memberi ruang dan peluang lahir ke atas muka bumi ini merasai seluruh nikmat-Nya yang banyak tidak terhitung. Cintanya Nabi kepada kita sehingga kita sekarang merasai dan mendapat risalah kenabian Baginda SAW. Cinta adalah satu perasaan yang melahirkan tanggungjawab kepada orang yang mempunyai perasaan ini. Jadi adakah patut cinta yang Allah dan Baginda SAW berikan kepada kita, tidak disambut dan dibalas sesempurna yang boleh oleh kita?

Cinta pertengahan atau cinta kelas kedua adalah cinta kepada keluarga, saudara, pasangan suami isteri sahabat dan sesama makhluk Allah. Cinta antara manusia mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dan membantu dalam menjalankan hak dan tanggungjawab sesama kita. Asas kepada dakwah adalah dengan kasih sayang. Tanpa perasaan suci ini, tidak mampu untuk kita melaksanakan suruhan Allah dalam aspek amar makruf nahi munkar dan tanpa ada rasa kasih sayang ini tak mampu untuk kita menghidupkan sunnah Nabi dalam keluarga kita seterusnya masyarakat kita.

ikj

Seterusnya cinta yang berada di tahap yang paling rendah adalah apabila kita mencintai makhluk melebihi Pencipta kita Nabi kita dan jihad kepada-Nya. Cinta ini tidak kekal malah tidak membawa kebaikan kepada kita. Bahkan boleh menarik kita kepada kemurkaan Allah. Seperti yang tercatat dalam sirah atau sejarah antaranya kisah Qarun yang mencintai hartanya sehinggalah diazab Allah, kisah Kaab bin Malik kerana sayangkan hasil tanamannya sehingga melalaikan beliau dari keluar bersama Rasulullah dalam perang Tabuk dan banyak lagi contoh yang jelas menunjukkan andai kita melebihkan sesuatu dari cinta kepada Allah, pasti akan dibalas Allah sama ada balasan secara terus di dunia atau balasan yang ditangguhkan di Hari Kiamat kelak. Nauzubillah.

Cinta dan kasih sayang adalah fitrah yang perlu diurus dengan amanah dan bijak. Kenapa perlu amanah dalam menguruskan fitrah sendiri? Kerana ujian terbesar adalah datangnya dari diri kita sendiri. Nafsu yang ada perlu dididik dan ditundukkan supaya nafsu ini tak menandingi iman kita. Kecelaruan atau kejahilan kita menguruskan fitrah ini memberi satu kemenangan kepada nafsu dan seterusnya menjadikan kita tersasar dalam menguruskan perasaan. Akhirnya lahirlah masalah-masalah seperti ikhtilat tidak syar’ie, couple atau couple islamik, teman tapi mesra dan lebih teruk lagi berleluasanya zina, anak luar nikah dan banyak lagi. Sedarlah kita bahawa salah satu asas kepada lahirnya segala kerosakan akhlak dan sosial ini adalah kita tidak mengetahui bagaimana menguruskan perasaan cinta ini mengikut apa yang Islam gariskan.

Maka di sini, terdapat beberapa langkah mudah supaya kita sama-sama mendapat kebaikan dan redha Allah :

  1. NIAT DAN TETAPKAN MATLAMAT. Ikhlaslah mencintai dan meraih cinta Allah dan Nabi SAW. Pastikan matlamat mendapat redha dan keberkatan dalam setiap apa yang kita buat menjadi matlamat tertinggi hidup kita. Mencari pasangan bukan matlamat hidup kita tetapi ianya adalah cara untuk kita menghampiri kepada keredaan Allah. Mulakanlah dan tetaplah kepada niat dan matlamat yang suci, pasti Allah bersama dan membantu segala urusan kita. In sya Allah.

 

  1. Persiapkan diri dengan pelbagai ilmu. Ilmu fardu ain, ilmu kekeluargaan, ilmu kemasyarakatan dan sebagainya. Bergurulah dengan yang lebih berpengalaman. Ilmu memandu kita keluar dari kejahilan dan kegelapan. Mana mungkin kita mahu tiba ke destinasi tanpa kita ada ilmu dan panduan ke tempat dituju.

 

  1. BERJAGA-JAGA. Konsep berjaga-jaga atau berhati-hati sangat dekat dengan Taqwa. Manusia yang terbaik adalah yang ada Taqwa di hatinya. Maka jagalah hati dengan sentiasa merasakan Allah tidak pernah leka memandang amal dan niat kita. Jagalah pandangan apabila berkomunikasi atau melaksanakan sesuatu kerja, larikanlah lirik mata dari perkara yang boleh mengganggu perasaan dan iman kita. Jagalah suara, tidak lunak nadanya , sederhanakanlah. Jagalah tangan dan kaki kita, elakkan melangkah ke tempat dan bersama yang bukan mahram yang boleh menimbulkan fitnah.

 

  1. Perasaan cinta perlu dibimbing supaya berada di atas landasan yang benar dan tidak tersasar. Maka merujuk dan berkongsi dengan mereka yang sudah berpengalaman adalah salah satu perkara yang amat penting. Ibu bapa, keluarga, kenalan yang sudah berkahwin atau sahabat yang dipercayai adalah antara cara untuk membantu kita menjaga hati dan menguruskan perasaan.

 

Dalam masa yang sama, mereka yang diberikan kepercayaan perlulah amanah, tidak membawa mulut, menghebahkan, bergurau senda, provokasi dan sebagainya. Bantulah sahabat anda menjaga hati dan perasaannya. Ia adalah satu situasi yang mencabar untuk mereka yang sedang mengalaminya.

 

  1. Tentu sekali kembali kepada Pencipta kepada perasaan cinta ini adalah yang utama. Mohonlah kekuatan untuk berusaha dan melakukan sesuatu itu dengan perasaan cinta dan kasih sayang yang benar dan suci. Matlamat kita tidak menghalalkan cara. Hak itu tidak akan bercampur dengan batil. Mustahil untuk kita tetapkan matlamat yang betul tetapi amal-amal kita tidak tepat sepertimana yang Islam tunjukkan, kita lebih mengutamakan ‘guru’ nafsu kita, membiarkan nafsu kita menentukan langkah-langkah kita.

 

ikhtilat3

Tentu sekali keberkatan dari Allah jauh sekali untuk kita raih. Berdoa dan bertaubatlah. Sesungguhnya Allah kasihkan mereka yang sentiasa tidak putus asa kembali kepada Dia walaupun berdosa macam mana sekali pun kita.

 

 

 

 

 

 

 

LAMAN KOLUMNIS | PEMBANGUNAN INSAN

Ahli Unit Bait Muslim
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2016/2017