Hidup sebagai seorang pelajar memang tidak sekali-kali dapat dipisahkan dengan peperiksaan. Peperiksaan merupakan salah satu wadah untuk sesebuah institusi pendidikan menilai sejauh mana perkara yang telah diajar dapat difahami dan dipraktikkan oleh para pelajar yang belajar di institusi pendidikan tersebut. Peperiksaan juga penting untuk menilai kelayakan pelayar tersebut untuk meneruskan pendidikan mereka ke aras yang lebih tinggi dan dalam bidang yang seseorang pelajar itu ingin ceburi.

Sebagai rakyat Malaysia, sesi persekolahan di negara kita bermula seawal Januari dan ini bermakna peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan yang utama di negara kita akan mengambil tempat sekitar September hingga November. Bagi pelajar universiti pula peperiksaan akhir semester bergantung kepada pihak universiti mengikut semester masing-masing.

Namun kebanyakan negara di dunia ini tidak mempraktikkan tahun akademik seperti Malaysia. Banyak negara menyesuaikan tahun akademik mereka mengikut musim supaya musim panas dijadikan musim untuk bercuti dan beristirahat. Maka kebanyakan sesi akademik mereka bermula September sehingga Jun.

ex

Beberapa tahun kebelakangan ini, bulan Ramadan iaitu bulan umat Islam berpuasa sudah mula menganjak ke bulan-bulan di pertengahan tahun. Anjakannya semakin dekat dengan musim peperiksaan di kebanyakan negara. Hal ini membuatkan kebanyakan institusi pendidikan di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam cuba menyesuaikan jadual peperiksaan mereka supaya tidak bertembung dengan bulan puasa. Walaubagaimana pun anjakan ini akan terus berlaku kerana kalendar Islam yang berpandukan anak bulan tetap tidak akan selari dengan kalendar Masihi. Ini menyebabkan pelajar tetap akan terpaksa menjalani peperiksaan ketika musim puasa.

Di Britain contohnya, baru-baru ini peperiksaan kemasukan ke universiti (GSCE) yang berlangsung pada Jun setiap tahun terpaksa diawalkan kerana terdapat pertikaian bahawa keputusan peperiksaan 4.8 peratus pelajar Muslim di seluruh Britain akan mempengaruhi pencapaian keseluruhan tahunan sekiranya mereka menjalani peperiksaan dalam keadaan berpuasa. Oleh itu institusi-institusi pendidikan dengan kerjasama ulama Britain telah bersepakat untuk menganjak tarikh peperiksaan ke tarikh yang lebih awal dan guru-guru juga dilarang untuk mencadangkan pelajar mereka untuk berbuka melainkan sekiranya terdapat tanda-tanda dehidrasi dan sekolah-sekolah juga disarankan untuk menyediakan tempat yang berpendingin hawa semasa waktu pelajar yang lain sedang rehat.

Situasi di Mesir pula, pada tahun ini pelajar di universiti terutamanya terpaksa menghadapi musim peperiksaan dengan cabaran puasa dan cuaca yang sangat panas. Keadaan ini amat mencabar para pelajar untuk mengulang kaji silibus yang banyak dan rumit. Namun jika dipandang dari sudut positif, kita akan mendapati beberapa hikmah menghadapi musim peperiksaan ketika berpuasa.

Puasa bukan sahaja menahan diri dari makan dan minum, tetapi turut menahan diri dari melakukan perkara yang sia-sia dan dilarang oleh Allah. Maka apabila kita berpuasa, perkara yang kurang berfaedah akan dikurangkan dan memberi lebih fokus kepada mengulang kaji pelajaran. Tambahan pula dengan hakikat bahawa belajar itu merupakan satu ibadah maka pahala puasa juga akan bertambah.

Selain itu, puasa juga memberikan kita peluang untuk memulakan hari kita dengan lebih awal. Sahur akan membuatkan kita bangun di awal pagi dan suasana yang sunyi ketika di awal pagi mungkin boleh membantu sesetengah dari kita untuk menyerap ilmu dengan lebih berkesan.

Pada bulan-bulan biasa pelajar biasanya akan makan dengan lebih kerap pada siang hari dan kekenyangan boleh meyebabkan mengantuk. Perut yang kenyang juga akan menyebabkan seseorang itu terasa malas. Jika anda mengamalkan diet yang betul semasa bulan puasa, antaranya bersahur dengan makanan yang tidak cepat diurai oleh usus seperti serat dan karbohidrat kompleks, tenaga daripada bersahur itu akan lebih tahan lama dan dengan izin Allah anda akan segar sehingga ke petang bergantung kepada sistem metabolisme masing-masing.

Pada bulan Ramadan yang penuh barakah ini jugalah doa orang yang berpuasa akan dimkbulkan dan terdapatnya malam Lailatul Qadar. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Nabi saw bersabda, “Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka.”  Dan dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi saw bersabda, “Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir”. Oleh itu berdoalah sebanyak mungkin supaya dipermudahkan urusan dan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

ex2

Konklusinya, berpuasa semasa musim peperiksaan perlulah dipandang dengan penuh hikmah dan tidak dianggap sebagai sesuatu yang menghalang keberkesanan proses pembelajaran dan mengulang kaji pelajaran. Amalan yang betul sewaktu berpuasa seperti menahan diri dari melakukan perkara yang sia-sia dan dengan cara pemakanan yang betul, dengan izin Allah ilmu akan lebih mudah diserap dengan lebih berkesan.

 

 

 

 

LAMAN KOLUMNIS | AKADEMIK

Nur Izzati Binti Shafei
Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams