Man, bila kau study last minute pastu ilmu tu terus lekat, kau kena percaya, Allah tengah tolong kau!”

Terkenang kata-kata Irham ketika kami masih lagi mahasiswa di University of Aberdeen, lima tahun lalu. Apabila tibanya musim dan bahang peperiksaan, pelbagai ragam dan kerenah dapat kita lihat. Tersenyum sinis aku mengingatkan pengalaman ini, ada yang baru mencari buku, ada yang sibuk menyiapkan latihan, mendapatkan tips-tips daripada senior dan ada juga yang masih leka dengan dunia sendiri. Sudah pasti segala usaha atas kemampuan kita tidak akan cukup untuk memastikan kita berjaya dalam peperiksaan, dan segalanya akan berlaku dengan izin Allah. “ Jangan jadi hamba peperiksaan tapi jadilah hamba Allah yang sedang menghadapi peperiksaan”, pesan Ustazah Salmi ketika aku masih di bangku persekolahan. Pesanan tersebut akan sentiasa aku jadikan nasihat buat diriku. Usaha dan keyakinan kepada Allah adalah resipi kejayaan yang utama. Usaha sehabis mampu, dan yakin dengan kemampuan yang Allah kurniakan kepada kita. Benar, tanpa keberkatan dan pertolongan daripada Allah, sesuatu maklumat hanya akan terus menjadi maklumat dan tidak akan bertukar menjadi ilmu yang berkekalan.

A few blank sheets ready for been filled in a exam.

Tidak dapat dinafikan, sungguh bermakna pengalaman ketika di alam universiti. Sungguh, kenangan yang sentiasa menggamit memori dan ingatanku adalah ketika aku, Irham dan Zahri masih menuntut di Aberdeen, begitu bersungguh-sungguh mengharungi tahun-tahun pengajian kami di sana, menempuhi segala dilema, merentasi segala ranjau kehidupan dengan penuh harapan. Dilema di mana, adakah kami akan menjadi sekadar graduan tanpa ilmu-ilmu tambah yang lain. Segalanya bertukar menjadi lebih bermakna , apabila Abang Zafran, mengajak kami untuk menghadiri kelas-kelas pengajian agama, diskusi-dikusi ilmiah dan menyihatkan rohani dengan menghadiri kelompok-kelompok usrah. Tika itu, kami bertiga mula sedar, bukan hanya ilmu di universiti yang perlu kami penuhi dalam dada dan hati, malahan pentingnya ilmu-ilmu lain bagi menghadapi dunia yang semakin mencabar, di mana manusia sudah  mula lari dari erti kehidupan yang sebenar. Manifestasi cinta abadi kepada Allahu Rabbi perlu kita mulakan dengan membekalkan ilmu penuh di hati setelah itu barulah kita mampu mengubah persepsi insani menuju agenda Ilahi.

ilmu-pengetahuan-dunia-dan-akhirat

Pernah aku jatuh tersungkur dalam peperiksaan, dan tatkala itu, sahabat-sahabatku sentiasa menjadi pendorong dan pembakar semangatku. Masih terngiang kata-kata Zahri kepadaku, “ Perjalanan menuntut ilmu bukanlah perjalanan yang mudah . Jalan yang berliku ini bakal menjadi pemudah jalan kita ke syurga”. Jatuh tidak bermaksud gagal, tetapi permulaan kepada satu kebangkitan. Setelah itu, aku mula bangkit dan bersedia untuk melompat lebih tinggi, mematahkan segala duri dan anasir yang menjadi penghalang untuk aku berjaya dan akhirnya, dengan izin Allah, kami bertiga dinobatkan antara dua puluh pelajar terbaik Universiti Aberdeen. Kini, aku sudah menjadi seorang doktor di sebuah  hospital kerajaan, dan sahabat-sahabatku juga telah berjaya bersama haluan hidup masing-masing.

 

Pengalaman-pengalaman aku semasa di universiti sangat membantu dan menjadi motivasi kepadaku dalam meneruskan karierku.  Apabila memikirkan tentang zaman manusia bertuhankan material dan kemodenan, sangat penting bagi kita untuk membekalkan diri dengan ilmu yang secukupnya. Sungguh, aku bersyukur kami dipertemukan dengan abang Zafran ketika di universiti. Walau bagaimanapun, tiada istilah terlambat selagi kita mampu menggali bekalan ilmu tersebut kerana menuntut ilmu biarlah sampai ke liang lahad. Jangan sekali-kali kita menidakkan kepentingan menuntut ilmu. Jika kita ibaratkan ilmu sebagai air yang mengalir, jadilah bekas yang menadahnya. Jika kita ibaratkan ilmu sebagai binatang liar, jadilah pemburu yang handal memburunya. Jika kita ibaratkan ilmu sebagai cahaya, janganlah kita menjadi insan yang memadamkan cahaya tersebut. Namun, amatlah rugi jika segala ilmu yang telah dibekalkan sebaiknya namun bekalan itu kita jadikan simpanan sahaja di dalam peti berkaca. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Aku mengharapkan ilmu yang telah aku bekalkan kepada diri akan semakin bertambah dan manfaatnya menjadi buah yang sedap dan enak untuk dikongsi bersama masyarakat.

 

d

Perjalanan menuntut ilmu yang berliku tidak dapat kita lalui dengan manis, tanpa sahabat yang sentiasa memberi semangat. Sahabat, tatkala susah menjadi bekalan , tatkala senang menjadi perhiasan. Tanpa sokongan sahabat karibku iaitu Irham dan Zahri, aku tidak pasti di manakah aku sekarang, mungkin aku terus tersungkur atau mungkin aku menjauh dari kehidupan yang membawa agenda Ilahi. Aku sungguh bersyukur dan akan sentiasa menghargai nikmat sahabat yang dikurniakan kepadaku. Tidak cukup dengan itu, perjalanan menuntut ilmu tidak akan sempurna tanpa pengorbanan. Perjalanan ini menuntut kita mengorbankan masa, mengorbankan tenaga serta mengorbankan harta . Jangan pula segala pengorbanan ini kita sia-siakan tanpa keikhlasan kepada Allah.

 

Seeking knowledge is not for worldly endeavours, but something to bring to the here after.

Petikan daripada buku How to be A Good and Successful Medical Students, semoga petikan kata-kata ini akan terus menjadi inspirasi kepada kita dalam menuntut ilmu, lantas menjadikan kehidupan akhirat yang abadi sebagai matlamat jangka panjang dalam hidup kita.  Menuntut ilmu janganlah kita letakkan pengakhirannya maka tuntutlah ilmu sehabis mampu sehingga ke hujung dunia dan hujung nyawa kita.

 

Jikalau hidup, jangan sekadar hidup, kerana kera di hutan juga hidup tetapi hiduplah kita dengan ilmu yang berguna lantas mampu memakmurkan muka bumi ini. Jadilah penyebar ilmu yang bermanfaat dan terangkanlah dunia ini dengan cahaya-cahaya ilmu.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar!”

Laungan azan menyedarkanku lantas membawaku ke alam nyata semula. Sudah penuh muka surat diariku dengan coretanku pada hari ini. Semoga coretan ini akan sentiasa aku jadikan pedoman dan memaknakan segala ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepada masyarakat sekeliling.

Dr Arman.

 

 

MINDA PIMPINAN

Nur Fatini Binti Azman @ Nasir
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Naib Pengerusi 2
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2016/2017