Pimpinan, Satu Persepsi

 

Penulisan ini wujud, membantu semua orang untuk mengetahui di sebalik tabir kepimpinan. Kenapa ada sekelompok manusia yang ingin memimpin? Secebis manfaat liku-liku dari pelbagai selok belok perjalannya yang panjang. Kenapa dan bagaimana, menjerumuskan diri dalam kepimpinan sebenarnya adalah win-win situation kepada diri sendiri. Kita akan cuba menyentuh beberapa elemen yang muncul sebaik sahaja unsur kepimpinan hadir dalam diri seseorang , manfaat-manfaatnya dan  bagaimana unsur kepimpinan itu hadir boleh  membantu mentarbiah hati.

“Asyik-asyik tarbiah, alergik aku dengan kalimah-kalimah acah suci ini!” Ucapan dari hati seolah-olah tarbiah itu alahan. Alahan kepada sesuatu yang sebenarnya bukan dibenci, tapi cuba untuk melarikan diri. Apakah itu tarbiah sebenarnya? Seorang doktor falsafah yang terkemuka di Malaysia, dalam mendefinasikan tarbiah adalah satu tindakan bersepadu bagi mendidik jiwa manusia ke  arah hidup yang lebih praktis dengan Islam dalam melahirkan manusia yang sanggup berkorban bagi memperkasa agama Allah. Para ulama pula telah membahagikan tarbiah kepada beberapa bahagian antaranya tarbiah ruhiyah, jismiyyah, imaniyyah, aqliyyah , khuluqiyah, fikriyah, siasiyah dan lain-lain lagi.

leadership-collage-blue
Keuntungan Lumayan

Kita terus mulakan pembacaan ini dengan elemen tarbiah pertama, satu keuntungan percuma dari jual beli kepimpinan iaitu sifat keadilan. “Orang yang lemah di antara kalian adalah kuat di hadapanku,” ujar Abu Bakar As-sidiq, Khalifah Rasulullah dalam khutbah pertamanya, “sampai aku mampu mengembalikan segala sesuatu yang menjadi hak baginya. Dan orang yang kuat disisi kalian adalah lemah di sisiku, sampailah aku mengambil apa-apa yang menjadi hak orang lain yang ada padanya.”

Inilah ketika keadilan menjadi istana bagi rakyat. Untuk melahirkan kebahagian rasa syurga kepimpinan dalam rencah kenegaraan maka tidak dapat tidak , dari awal-awal lagi diperlukan seorang pemimpin yang menjadi imam dalam keadilan. Sifat inilah yang mengajar seorang pemimpin, dari setiap belok keputusan dan tindakan , agar meletakkan sesuatu pada tempat yang selayaknya dan akhirnya menimbulkan rasa percaya dalam kalangan ahlinya dari sekecil-kecil keputusan di mana ingin diletak papan kenyataan dalam sebuah bilik sehinggalah ke sebesar-besar keputusan ingin memposisikan visi dan matlamat jangka panjang perjuangan.

Keuntungan percuma seterusnya adalah satu dapatan yang mahal harganya. Sikap taat yang didambakan perjuangan yang mana mungkin tanpanya , kelangsungan sistem yang dibina hanya coretan angan-angan yang sia-sia. Imam Hassan Al Banna dalam coretannya menyimpulkan ,” Taat adalah menjunjung perintah dengan segera sama ada dalam senang atau susah.”

“…kerana itu bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaKu.” (3:50)

Tokoh negara, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pernah menyimpulkan persamaan serata yang mudah. Bagi beliau tanpa sebuah taat tidak akan ada jamaah, tidak akan ada harakah, tidak akan ada sistem, tidak akan ada persatuan , tidak akan ada pembersihan jiwa , tidak akan ada langkah bersegera ke arah keredhaan Allah, tidak akan ada jihad dan tidak akan ada matlamat yang ingin dicapai. Medan kepimpinan melatih setiap ahlinya supaya mentaati segala keputusan yang dipersetujui. Nampak senang dikata, tapi susah praktikalnya apatah lagi bila keputusan yang dibuat tidak seperti dihajati. Namun inilah medan latihannya, seseorang yang ingin berjuang sebetulnya ingin membawa dasar perjuangan dan bukannya kepentingan peribadi perlulah berlatih melapangkan dada dalam mentaati pimpinan. Maka tidak akan muncul sikap ‘rebel’ dalam hati yang mencacatkan perjuangan.
Keuntungan seterusnya, yang paling manis dan paling bahagia iaitu persaudaraan.  Jika kita duduk dalam satu majlis keramaian dan kita tidak kenal dengan seseorang di sebelah kita bahkan tidak cuba untuk berkenalan sepanjang majlis tersebut, itu menunjukkan kita mempunyai masalah hati. Dalam kepimpinan, dalam saf panjang ahlinya yang pelbagai, mana mungkin kita tidak berkenalan , bertaut hati ke hati dalam menjalankan gerak kerja yang diamanahkan.

Persaudaraan yang dibina, asalnya hanya atas alasan kerja akhirnya menjadi tunjang semangat, teras kepercayaan dan kekuatan.  Asalnya  urusan kerja, persaudaraan kini bertukar atas dasar aqidah dan agama. Al Imam Ibnu Qayyim  menceritakan tentang detik persaudaraan paling bersejarah umat Islam tatkala Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar di rumah Anas Bin Malik RA seramai 90 orang ketika itu , persaudaraan itu dimeteri dengan suatu aqad yang teguh bukan ucapan kosong semata. Rasulullah SAW bersabda kepada mereka , “ Bersaudaralah kamu di jalan Allah berdua, berdua “ (Sirah Ibn Hisyam).

Kemudian baginda memegang tangan Ali Bin Abi Talib RA dan berkata , “ Inilah saudaraku.”

Pemimpin
Benih persaudaraan yang indah ini , harus dijaga sebaiknya, dibaja dan disiram supaya hasilnya nanti untuk kebaikan bersama. Dalam konteks kepimpinan, hasilnya nanti adalah kelancaran gerak kerja yang membawa persatuan atas landasan yang teguh. Namun harus dijaga virus persaudaraan kepimpinan yang paling bahaya . Virus ini adalah virus ‘fake relationship’ yang tumbuh liar melata. Ketika dahulu semasa bersama dalam saf kepimpinan , rakan sekerja dijaga , diambil tahu perihalnya dari semasa ke semasa , namun bila berakhirnya tanggungjawab itu, semuanya hilang entah ke mana. Kesannya , rakan sekerja akhirnya merasa , “dia ambil tahu pasal aku dulu sebab kerja sahaja, bukan betul-betul nak bersaudara denganku.” Entah di mana silapnya, mungkin ‘brotherhood’ atau ‘sisterhood’ itu hilang di sebalik dokumentasi laporan-laporan gerak kerja yang telah disiapkan setelah tamat perkhidmatan, siapa tahu.

Maka datanglah kita ke dapatan tarbiah melalui kepimpinan terakhir dalam penulisan ini. Keuntungan akhir yang membawa ahli pimpinan ke taraf jundullah  iaitu elemen jihad. Jika dilihat pada dasar perjuangan maka tiadalah apa maknanya di sebalik semua kerja-kerja kepimpinan ini melainkan jihad semata-semata. Inilah silibus tarbiah paling utama dalam pendidikan kepimpinan.

Peristiwa Badar telah mempamerkan secara praktikal keteguhan iman para sahabat, satu tanzim yang baik dan jihad yang penuh pengorbanan. Di antara pengajaran dari peristiwa ini adalah bagaimana Rasulullah mempamerkan kepimpinan yang bijaksana (Baginda berada di tengah-tengah medan untuk memberi arahan dan semangat, berbeza dengan ketua tentera lain yang selalunya berada di belakang), konsep kebersamaan (baginda turun berjalan bersama pasukan infantri bila tiba giliran baginda) dan berlemah lembut terhadap pasukannya di sebalik ketegasan yang dipamerkan. Jika diteliti pengajaran Badar ini, tanpa perlu diterangkan sudah pasti pembaca memahami betapa besar kesannya dalam kepimpinan jika pimpinan mengamalkan aspek yang sama diamalkan Rasulullah SAW.

Medan kepimpinan terus melatih ahlinya mengenai konsep jihad, dalam realiti semasa sebuah persatuan pelajar sebagai contoh, yang melakukan kerja-kerja kebajikan pelajar dan sebagainya tanpa sebarang upah mahupun ganjaran. Lagak mereka sudah seperti pegawai tanpa gaji, berterusan melakukan kerja-kerja amal bukan untuk diri sendiri tapi untuk orang lain. Hidup untuk memberi manfaat kepada orang lain, menaikkan nama Islam dalam setiap aspek gerak kerja maka jihad apa lagi yang terlepas dari gerak kerja ini yang boleh kita nafikan.

Bekal Pemimpin

Sudah menjadi kaedah umum bahawa ilmu menjadi syarat utama semua jenis kepimpinan, sama ada kepimpinan politik dan pentadbiran seperti yang ditunjukkan Nabi Yusuf AS ketika berhadapan dengan Raja Mesir:

“ Jadikanlah aku Bendahari negeri , sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga (amanah) dan lagi berilmu pengetahuan.” (Surah Yusuf  : 55)

Carilah ilmu berkenaan kepimpinan , agar kepimpinan itu nantinya dapat mentarbiah kita kembali. Inilah win-win situation yang dinyatakan di awal penulisan ini. Pelbagai sumber berkenaan pimpinan dalam lipatan sejarah, buku-buku dan pesan orang tua. Ilmu yang berharga untuk orang berharga demi perjuangan yang mahal nilainya. Kemudian mantapkan ilmu itu melalui praktikal-praktikal kepimpinan itu sendiri supaya pemimpin yang dilahirkan bukan sekadar ‘cukup makan’, tetapi pemimpin yang mampu memberi impak maksima kepada pengikutnya.

 

 Kesimpulan

Bangkitkan roh kepimpinan dalam diri kita semua agar manfaatnya dapat kita rasakan bersama. Tatanglah kepimpinan itu supaya dapat melahirkan hasilnya, iaitu tarbiah kepada diri pemimpin itu sendiri dan kepada orang lain. Rencanakan pendidikan kepimpinan agar wujud tamadun Islam yang gemilang sekali lagi. Tamadun Islam bukanlah hanya sekadar tahap pemikiran yang tinggi atau syiar tetapi wajib ke atas setiap Muslimin untuk melaksanakan tanggungjawab suci ini. Umat Islam telah dituduh bahawa tamadun mereka telah jatuh dan hilang tetapi sebenarnya tidak. Al-Allamah  Dr Nuruddin Ali Jumuah menyifatkan tamadun Islam kini hanya tidur dan wajib ke atas orang-orang yang ikhlas daripada anak bangsanya sendiri untuk menyedarkan dan membangunkannya kembali.

MINDA PIMPINAN

Mohd Khairil Ashraf Bin Muhammad Fisal
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Naib Pengerusi 1
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2016/2017