Apabila mendengar atau membaca frasa ‘tangan kanannya menghayun buaian,tangan kiri menggoncang dunia’, apakah perkara utama yang terlintas di akal anda?  Sirah nabawiyyah telah melukiskan gelaran frasa ini kepada salah seorang pemudi Islam yang berjiwa kental di mana darahnya telah menjadi sumbu pelita kehidupan. Sumaiyyah binti Khaiyat, ialah satu nama yang tidak asing lagi bagi umat Islam dan penduduk dunia yang lain. Dengan hanya memperteguh keimanan di hadapan kafir Quraisy di Mekah pada masa tersebut, nama Sumaiyyah telah disanjung tinggi. Tangannya yang lembut menghayun buaian membuktikan wanita sepertinya juga dapat menggoncang dunia dan memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain untuk terus kuat mepertahankan Islam.

 

Maksud hadis Rasulullah S.A.W.

“Kebahagiaan bagi anak adam ada tiga, dan kesengsaraan anak adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan ialah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak adam pula ialah tempat yang tidak baik, isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik.”

Cuba kita lihat dari sudut pergerakan Islam, setiap asas-asas kebahagiaan yang disebut dalam hadis di atas memainkan peranan yang amat penting untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini. Fungsi isteri yang solehah itu sendiri menunjukkan bahawa betapa pentingnya peranan wanita dalam pembentukan awal pergerakan Islam itu sendiri. Begitu juga rumah dan kenderaan, jika ia tidak berada dalam keadaan baik, maka pergerakan menyebarkan Islam akan terjejas.

wm2

Sekiranya seorang wanita Islam (Muslimah) ingin mengetahui tentang kedudukannya sebagai wanita di dalam Islam, maka dia perlu mengetahui tentang tanggungjawabnya dalam kehidupan yang telah dijadikan oleh Allah. Bukan setakat itu sahaja, seorang Muslimah itu perlu berusaha untuk melengkapkan dirinya dengan pengetahuan yang berguna bagi menyampaikan fikrah Islamiyyah yang jelas dan tepat. Secara asasnya, tugas atau peranan seorang Muslimah  dalam Islam terbahagi kepada dua, iaitu tugas kepada diri sendiri dan kepada Ummah. Tugas kepada diri sendiri ini merangkumi amanah untuk seorang wanita itu memenuhi dirinya dengan tsaqafah yang berguna untuk dia menegakkan Islam dalam dirinya sendiri dan kemudiannya kefahaman ini penting untuk diterapkan pula kepada masyarakat, keluarga dan anak-anaknya kelak.Selain tsaqafah Syar’iyyah di atas, dituntut juga kepada setiap Muslimah untuk mengetahui dan mendalami tsaqafah Ma’siroh iaitu pengetahuan tentang isu-isu semasa di dalam dan luar negara untuk membolehkan kita menjadi seorang yang benar-benar ahli untuk melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat khususnya serta meraih keredhaan Allah.

Tanggungjawab pertama yang harus seorang Muslimah penuhi sebelum melengkapkan tanggungjawabnya kepada Ummah ialah beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman hingga mencapai tahap di mana diri ini yakin segala sesuatu di dalam kehidupannya mempunyai hubungan dengan Allah. Sekiranya masih terdapat sesetengah aspek yang membuatkan seorang itu melupakan Allah, maknanya iman yang ada pada dirinya belum sampai ke tahap keyakinan yang betul, belum melalui proses yang betul dan keyakinan tersebut masih tidak berfungsi di dalam kehidupan yang dijalaninya.

Seterusnya, telah menjadi kewajipan untuk seseorang Muslim untuk mencari ilmu-ilmu Islam terlebih dahulu sebelum mencari ilmu lain supaya kita dapat betul-betul membezakan perkara baik dan buruk. Perkara ini bukanlah boleh dilakukan secara kebetulan sahaja. Adakah kita sebagai sebahagian masyarakat pada hari ini betul-betul meneliti segala suruhan dan tegahan Allah?  Masih wujudkah sisa-sisa kehidupan jahiliah di celah-celah kehidupan kita sekarang?  Segala persoalan jelas melihatkan peranan Muslim masih belum terlaksana dengan sempurna di segenap peringkat. Sekiranya ilmu Islam tidak dijadikan tuntutan utama, maka ilmu lain akan menjadi induk kepada ilmu Islam yang dituntut selepasnya. Oleh sebab itu, sekarang ini kita dapat melihat keangkuhan, kemegahan dan kezaliman yang terjadi walaupun ilmu pengetahuan semakin berkembang hari demi hari. Ilmu Islam yang dituntut pula haruslah bersumberkan al-Quran, sunnah Rasulullah S.A.W dan sirah-sirah nabi yang jelas kesahihannya. Jika tidak, matlamat untuk mengenali Allah tidak mungkin tercapai.

 buku“Dan  orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan salat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi Maha bijaksana “

                                                                                                                                                                                                                       [surah at-Taubah ayat 71]

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, jelaslah bahawa tanggungjawab amar makruh nahi mungkar juga terpundak ke atas bahu seorang Muslimah. Dengan berbekalkan pengetahuan yang asli, maka haruslah baginya untuk bergerak menyebarkan Islam kepada masyarakat. Mahu ataupun tidak, keperluan untuk bersama-sama dengan masyarakat wajib diselesaikan terlebih dahulu demi melahirkan masyarakat yang bertindak dengan acuan Islam yang sebenar. Pengalaman seorang mujahidah Mesir yang berlaku dalam abad 20-an ini menunjukkan betapa perlunya kita sebagai seorang Muslimah untuk terus menegakkan Islam di muka bumi ini. Muslimah yang boleh dijadikan tauladan ini dikenali sebagai Zainab al-Ghazali al-Zubaili.

Pengalaman perit yang dihadapi oleh beliau yang berusia 44 tahun ketika di dalam tahanan pada masa tersebut sehingga menyebabkan beliau kelihatan seperti seorang wanita yang berusia 90 tahun apabila dibebaskan jelas menunjukkan betapa beratnya seksaan yang ditanggung. Beliau terlibat secara aktif dalam gerakan Islam pada waktu tersebut khususnya gerakan di peringkat Muslimah demi memastikan panji-panji Islam dapat disebarkan dalam kalangan Muslimah pada zaman tersebut disamping memastikan peranan wanita dilakukan mengikut acuan muslimah salafussoleh yang terdahulu.

Ketika itu, budaya barat sedang giat berkembang di Mesir. Kemasukan sosial barat ini termasuklah cara berpakaian, tingkah laku dan yang paling parah ialah pemikiran barat yang disuntik. Zainab al -Ghazali berjuang membebaskan belenggu sekularisme ini hingga ke akhir hayat beliau. Beliau sangat yakin bahawa masa depan umat ini sangat bergantung pada peranan ibu-ibu, maka antara tujuan besar perjuangan beliau adalah untuk memberi ilmu kepimpinan yang wajar kepada pemimpin wanita Islam pada zaman beliau supaya dapat melahirkan rijal yang sedia mengorbankan dirinya untuk Islam.

Terdapat beberapa wanita Islam yang berada di bawah pimpinan beliau seperti Aminah Qutb, Hamidah Qutb, Halidah Hassan al-Hudaibi, Aminah al-Juhaiti dan ramai lagi. Mereka ini merupakan adik, kakak dan ibu kepada Zainab kerana kepelbagaian peringkat umur. Ummu Ahmad ketika berusia 85 tahun telah ditangkap. Apabila berita ini sampai ke pengetahuan Zainab, beliau berkata, ‘inilah petanda baik bagi Islam’. Musuh-musuh Islam telah mula gentar kepada wanita Islam yang telah tua lagi uzur.

Zainab bukanlah keseorangan ketika berjuang mempertahankan Islam ketika itu, di belakang beliau Allah telah memberikan seorang suami yang sangat alim dan taat. Suaminya meninggal ketika Zainab masih di dalam tahanan. Kisah tahanan beliau sangat mengagumkan kerana seorang wanita yang telah menanggung penyeksaan yang lebih berat untuk seorang lelaki rasai. Beliau telah ditawarkan jawatan untuk menjadi pimpinan atasan sebelum ditahan, namun hanya ini balasan beliau “di dalam perjuangan, aku tidak bercadang untuk menjadi menteri, aku hanya mahu berdakwah”. Keyakinan dan keteguhan beliau untuk mendirikan panji Islam di Mesir ketika itu menyebabkan segala kesenangan yang ditawarkan ditolak mentah-mentah. Pelbagai rancangan untuk membunuh beliau juga diadakan namun gagal. Akhirnya, beliau ditahan.

Antara peristiwa yang menjadi bukti kebenaran perjuangan beliau ialah apabila beliau ditempatkan di dalam sebuah bilik yang dipenuhi anjing-anjing liar yang lapar, namun pertolongan Allah datang menunjukkan kebenaran kepada umat Islam menyebabkan Zainab terselamat daripada menjadi makanan anjing-anjing tersebut. Saat beliau ditinggalkan di dalam bilik gelap itu dan anjing-anjing tersebut dilepaskan, hanya doa memenuhi diri, “ Ya Allah.. Tetapkanlah hati ini dan palingkanlah hati ini dari yang lain ya Allah, agar hati ini melupakan seksaan ini Ya Allah”. Doanya yang didengari oleh Allah telah menjadi peristiwa yang bersejarah pada zaman moden ini. Setelah 3 jam bersama anjing-anjing tersebut, beliau dikeluarkan dari bilik tersebut. Alangkah terkejutnya semua orang termasuklah Zainab sendiri apabila melihat pakaian putihnya tidak mengalami sebarang kesan darah atau koyak. Maka bermonologlah beliau di dalam hatinya  bahawa Allah sentiasa bersama orang-orang yang memperjuangkan Islam.

Selepas peristiwa itu, banyak lagi seksaan yang diterimanya hari demi hari sehingga beliau terpaksa dirawat di hospital beberapa kali. Mereka inilah golongan yang telah Allah sebut di dalam surah al-Ahzah, ayat 39:

الَّذِينَيُبَلِّغُونَرِسَالَاتِاللَّهِوَيَخْشَوْنَهُوَلَايَخْشَوْنَأَحَدًاإِلَّااللَّهَ ۗ وَكَفَىٰبِاللَّهِحَسِيبًا

“(iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang(pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pembuat perhitungan.”

Begitulah sedikit sebanyak peranan dan contoh pengorbanan Muslimah dalam sejarah Islam. Sunnah terbesar Rasulullah S.A.W yang telah dibawa oleh generasi sebelum kita ini membuktikan umat Islam yang ada sekarang ini perlu menjadi penyambung perjuangan, bukanlah pemula dan bukan juga pengakhir. Kehilangan pejuang-pejuang Islam bukanlah bermakna perjuangan untuk menegakkan Islam terhenti begitu sahaja. Tetapi hal ini menunjukkan gesaan untuk kita meletakkan diri pada salah satu rantai-rantai perjuangan tersebut. Wallahu’alam.

 

MINDA PIMPINAN

Irshafinah Binti Jamaludin
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Timbalan Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2016/2017