Aku merenung jauh ke luar jendela, melihat pemandangan bumi suci yang penuh suka duka. Di sini,aku mula mengerti betapa mahalnya harga sebuah kehidupan dan di sini juga aku mula merasai nilai kasih sayang dan erti kemanusiaan. Sungguh, hatiku berat mengenangkan singkatnya masa yang berbaki untuk aku menabur bakti di sini. Aku akan pulang ke bumi kelahiranku setelah kontrakku sebagai sukarelawan paramedik berakhir dua minggu lagi.

Aku teringat perbualanku dengan Muhamed, kanak-kanak lelaki Palestin yang hampir sebaya dengan adikku di Malaysia. Anak kecil kesayanganku ini begitu beria-ia menceritakan keseronokannya dapat menunaikan solat di Masjidil Aqsa. Aku dapat melihat cita-citanya yang membara untuk membebaskan masjid kecintaan umat Islam itu. Sungguh aku kagum dengan keberanian dan semangatnya. Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis,antara tiga masjid yang terpenting dalam Islam selain Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang menjadi saksi peristiwa Israk Mikraj. Namun pada hari ini,masjid mulia ini telah dinodai dengan ketamakan rejim Zionis yang berusaha untuk menghancurkan dan menggantikannya dengan pembinaan Kuil Sulaiman.

kk2

Kring..kring..Deringan kecemasan dari telefon bimbit menyedarkanku dari lamunan.Kakiku terus melangkah laju menuju ke ruangan yang tidak pernah sunyi itu. Keriuhan dan huru-hara di ruangan ini semestinya tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana hospital di dunia. Kali ini, ruangan kecemasan ini gamat dengan berita pengeboman di sebuah sekolah rendah. Pesakit yang terdiri daripada sejumlah kanak-kanak tiba bertali arus. Dengan berbekalkan peralatan dan ubat-ubatan yang serba kekurangan, aku dan sahabat paramedik yang lain bertungkus lumus cuba untuk mengurangkan jumlah kematian. Sekali lagi, pastinya dunia akan diam membisu, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membutakan mata dan memekakkan telinga dan media massa memaparkan berita palsu walaupun sasaran pengeboman kali ini ialah sebuah tempat yang dijanjikan paling selamat oleh pertubuhan dunia.

Ketika berlari-lari kecil di ruangan kecemasan, mataku tertancap pada satu tubuh kecil yang terbaring layu di atas katil. Tergamam, terkejut dan tanpa sedar air mataku mengalir laju. Muhamed! Insan kerdil yang sangat kusayangi ini diam terbaring, tidak berkutik .Aku terus berlari ke arahnya,cuba menyelamatkan nyawanya.Aku cuba cekalkan hati melihat tangan yang hampir terpisah daripada tubuhnya. Tudungku sudah lencun dibasahi air mata. Ya Allah, selamatkanlah anak kecil yang tidak berdosa ini.

kk

………….

Israel tidak akan pernah menyenangi umat Islam, Firman Allah s.w.t;

‘ولن ترضى عنك اليهود ولا النصارى حتى تتبع ملتهم’

‘Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu(Muhammad) sehingga engkau mengikuti agama mereka’

………….

Aku menutup komputer kecilku. Memoriku di bumi mulia Palestin terpahat dalam sebuah catatan yang aku karang untuk tatapan generasiku nanti.

Teet..teet..satu pesanan ringkas masuk ke dalam emelku.

‘My dear sister, I’ve got to high school now. I will study hard because I want to become a great doctor like you even with just one hand, and please pray for the freedom of my country’

Aku tersenyum membaca emel daripadanya. Muhamed, anak kecil itu sudah melangkah ke alam remaja. Kagum dengan semangatnya yang tidak pernah putus untuk membebaskan negaranya. Suatu saat nanti, kemenangan pasti akan menjadi milik umat Islam. Itu janji Allah yang pasti.

 

EDISI KHAS PEACE | KEMANUSIAAN

Nurul Husna Binti Ishak
Tahun 3
Timbalan Ketua Biro Kebajikan (BCARE)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams
(PCS) 2016/2017

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams