يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah al-Hujurat, ayat 13)

Ayat Al-Quran di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa manusia ini diciptakan untuk saling mengenali antara satu sama lain. Kehidupan bermasyarakat menuntut kita untuk meneruskan hidup bukanlah atas sarana individualistik ataupun materialistik. Jauh lebih dari itu, perangai dikacak betis sudah bak betis, dikacak lengan sudah bak lengan hanyalah ibarat dorongan khayal semata. Dalam hidup bermasyarakat, erti hidup tiada bermakna andai tiada aspirasi hidup untuk memberi. Bukanlah kerana mahu hidup menjaga kain tepi orang tetapi hakikat bulat air kerana pembentung bulat kata kerana muafakat ialah satu norma yang menjadi teras berpanjangan dalam erti bermasyarakat. Andai kasih pada diri sendiri menebal sukma dan kalbunya maka kita bimbang air kalau keruh tentu ikan limbat galak keluar bermain air. Kehilangan muafakat sesama kita hanyalah menghilangkan norma erti hidup bermasyarakat. Kebeningan ini hanyalah umpama manikam menjadi sekam, arang menjadi abu dan bila sesal separuh nyawa, nasi sudah menjadi bubur.

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”

(Al Maidah: 2)

Allah Ta’ala dalam ayat ini memerintahkan kita untuk saling menolong dalam kebaikan dan melarang untuk saling menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.

Tolong menolong dalam kebaikan adalah sifat yang terpuji, sedangkan tolong menolong dalam kejelekan dan permusuhan adalah sifat yang tercela. Baginda Nabi Muhammad S.A.W ialah seorang yang mudah dan bersemangat untuk menolong orang lain.  Tidak ada suatu kebaikan pun melainkan telah ditunjukkan oleh baginda dan tidak ada suatu kejelekan pun melainkan telah diperingatkan olehnya. Ketahuilah jalan – jalan kebaikan itu sangatlah banyak, antaranya adalah membantu memenuhi keperluan sesama manusia. Banyak kita temui di sekitar kita orang yang memerlukan bantuan.

tolong

Wujud dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan harta, ada yang memerlukan bantuan tenaga dan memerlukan bantuan bagi meringankan beban yang tertanggung. Namun, kemampuan manusia dalam memberikan bantuan pun tidaklah sama dan demikian pula keperluan setiap orang juga berbeza-beza bagai yang seorang memeram batu, yang seorang memeram pisang. Justeru, hendaknya kita bersatu dalam membantu dan ketahuilah betapa tangan yang memberi itu jauh lebih mulia dari tangan yang menerima.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

 “Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak kasihkan saudaranya sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Sayugia difahami, betapa agama ini merupakan suatu rahmat buat seluruh pelosok buana. Bagai terangnya mentari menerbitkan sinarnya dan memadamkan sirna yang zulmatnya membaluti alam, begitulah Islam membawa benderangnya menjadi penyuluh kepada jalan yang benar dan jalan yang benar ini akan dilalui oleh hamba-hamba-Nya yang berpaut pada satu nakhoda akidah perjuangan yang sama. Maka, kita beriman dan keimanan itu menjadikan kita bersaudara. Biarpun berbeza rona dan rupa, darah yang mengalir tetap merah pekatnya. Jadi, apakah dengan sikap kita yang hanyalah melepaskan batuk di tepi tangga terhadap lara dan citra yang tercoret di setiap wajah muslimin itu melayakkan kita untuk berada dalam sinaran dan gemaan rahmat Tuhan?

Justeru, ayuh sahabat-sahabat, coretan naskhah ini tiadalah  semata-mata untuk memasungkan nuansa betapa anda harus bersama turun padang memerah keringat demi membantu mereka yang sedang membanting tulang empat kerat untuk meneruskan sisa perjuangan menghadap Tuhan. Horizonnya membatasi saujana itu. Kita ialah insan yang terpilih. Susah dan senang harus kita berjanji perangi bersama. Kerana kelak, rezeki yang turun dari langit bukan mutlak hak kita selamanya. Ada nikmat yang sepatutnya menjadi kudrat insan yang lain. Ini ialah bait-bait harapan betapa kemanusiaan yang hilang di tanah rakus ini tiada dipandang sepi jika anda tidak berhenti sekadar duduk berempati dan bersimpati.

Pernah hanya dalam sejenak mimpi, kau khayalkan engkau duduk di pangkuan air mata dan titisan luka yang kembali berdarah itu?

Potretkanlah, apakah maksud hidup tanpa dengan pelbagai suasana itu ?

EDISI KHAS PEACE | KEMANUSIAAN

Muhammad Shafiq Bin Kadir
Tahun 4
Ketua Biro Kebajikan (BCARE)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams
(PCS) 2016/2017

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams