Lapangan perubatan merupakan antara bidang yang tidak pernah sunyi  daripada pelbagai kontrovesi. Malah jika dibuat carta kedudukan isu yang diberi perhatian oleh masyarakat, isu perubatan berada di kedudukan kedua yang paling diberikan perhatian selepas isu politik.

Pertembungan antara perubatan kontemporariatau dikenali sebagai perubatan moden dan perubatan nabawi (Thibbun Nabawi) memang sedang marak diperdebatkan dalam masyarakat kita sekarang. Rata-rata yang membela perubatan kontemporari terdiri dalam kalangan mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan perubatan seperti doktor, jururawat, pembantu pegawai perubatan dan pelajar perubatan. Manakala mereka yang giat menegakkan hujah di sebelah pihak perubatan Thibbun Nabawi ini adalah dalam kalangan masyarakat awam, yang mempunyai kesedaran untuk kembali menghidupkan sunnah Rasulullah (SAW), namun dangkal dalam pengetahuan berkenaan asas ilmu perubatan dan seringkali hanya mengambil maklumat yang tidak meyeluruh bersumberkan internet.

Secara definisi mudahnya, perubatan kontemporari adalah suatu perubatan yang telah melalui pelbagai fasa ujikaji dan eksperimen bagi memastikan kaedah rawatan yang diberikan  berkesan dengan peratusan kesembuhannya melebihi kemudaratan. Istilah lain yang biasa kita dengari adalah evidence based medicine(kaedah perubatan berasaskan bahan bukti yang kukuh). Segala isu yang rencam bertebaran di laman-laman sosial seperti vaksin, home birth, lotus birth, kesan sampingan ubat-ubatan, semua ini sebenarnya sudah dibincangkan tentang baik buruknya dan telah digariskan panduan oleh badan berautoriti sejak dahulu lagi, sebelum disebarluaskan kepada masyarakat awam.

Malahan, untuk individu yang ingin menjerumuskan diri ke dalam bidang perubatan, mereka wajib mengetahui dan menghafal Hippocratic Oath. Ia merupakan sebuah ikrar  para perawat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit. Hal ini selari dan langsung tidak bercanggah dengan maqasid syariah dalam Islam itu sendiri, meletakkan nyawa sebagai aspek utama yang perlu dijaga dan dipelihara sebaik mungkin. Jadi sepatutnya tidak timbul suara-suara sumbang bahawa perubatan kontemporari ini  bercanggah dengan nas-nas Al-Quran dan sunnah yang menjadi asas utama ajaran Islam.
Bagaimana pula dengan Thibbun Nabawi? Dalam hadis Rasulullah (SAW), secara lafaz tidak ada satupun istilah khusus Thibbun Nabawi yang Rasulullah(SAW) sampaikan kepada para sahabat Baginda. Jadi dari manakah istilah Thibbun Nabawi ini mulai muncul? Adakah hanya rawatan bekam, madu dan ruqyah sahaja yang termasuk dalam pengubatan cara nabi sedangkan perubatan tradisional lainnya seperti akupuntur, refleksi, gurah serta rawatan moden tidak selari dengan Thibbun Nabawi ?

tib

 

Istilah Thibbun Nabawi sebenarnya istilah baru yang mulai diperkenalkan oleh Ibnu Qayyim Al Jauziah dalam kitabnya Zaadul Maad sekitar abad ke-13 Hijriah. Istilah tersebut diinspirasi daripada pemahaman Ibnu Qayyim yang merupakan murid kepada Ibnu Taimiyah terhadap beberapa hadis Nabi yang secara lafaz langsung berhubungan dengan sebahagian pengubatan penyakit. Dalam kitab Zaadul Maad pada bab Thibbun Nabawi, Ibnu Qayyim menjelaskan beberapa cara pengubatan pernah dilakukan oleh Rasulullah seperti bekam, madu, ruqyah dan sebagainya, yang sebenarnya tiada penerangan terperinci tentang cara rawatan-rawatan tersebut. Malangnya muncul orang yang salah memahami, mengatakan bahawa jika tidak disebut dalam Zaadul Maad maka itu bukan Thibbun Nabawi. Malah ada yang mengatakan jika rawatan tersebut tidak ada dalam kitab Zaadul Maad maka perubatan itu sudah jauh bahkan terkeluar daripada Islam.

Adapun versi lain dan paling munasabah untuk dijadikan definisi mengikut waqi’ sekarang ialah maksud Thibbun Nabawi dari kacamata Ibnu Khaldun. Ibnu Khaldun menukilkan dalam kitabnya Muqaddimah, bahawa yang disebut dengan istilah Thibbun Nabawi atau perubatan nabi adalah segala macam bentuk cara perubatan (tradisional mahupun moden) baik berasal daripada Yunani, Parsi, India, China dan Mesir yang sudah diwarnai jiwa keislaman dan ketaqwaan sehingga kaedah rawatan tersebut terpelihara daripada sebarang unsur syirik serta tidak membahayakan tubuh badan.

Bahkan dalam kalangan Umat Islam sendiri, ramai ulama-ulama silam dalam masa yang sama merupakan pengamal perubatan. Kaedah perubatan mereka bukanlah hanya seputar penggunaan bekam dan madu sahaja.

 

Berikut merupakan beberapa ulama besar yang juga pakar dalam ilmu perubatan :

  1. Hunain bin Ishaq Al-Ubadi (810H-878H) karyanya dalam hal perubatan mata(Ophthalmology)
  2. Ali bin Sahl At-Thobari (785H-861H) mengumpulkan kaedah Perubatan Yunani, Mesir, Parsi dan India
  3. Abu Bakar Ar-Razi (854H-932H)  menumpukan kaedah perubatan umum(Public Health), kanak-kanak(Paedetrics) dan lain-lain
  4. Al-Biruni (961-1048)karyanya dalam hal perubatan dengan batu-batuan yang berkhasiat
  5. Ibnu Sina (980–1037) pengarang Qanun Fi Thib (Canon of Medicine)
  6. Zahrawi (936-1013) pakar pembedahan(Surgery)

 

Karangan dan kaedah perubatan mereka rata-rata dijadikan rujukan utama oleh pengamal perubatan dari Barat. Jelas kelihatan bahawa perubatan Islam atau perubatan nabawi tidak hanya mengulas berkaitan perubatan tradisional akan tetapi turut menumpukan terhadap perubatan yang lebih kompleks sepertimana perubatan moden yang wujud pada hari ini. Tambahan lagi, tokoh-tokoh ulama silam ini tidak mengkhususkan bahawa perubatan tertentu sahaja yang boleh dikaji dan bersesuaian dengan sunnah Nabi.
Apa yang menjadi masalah sekarang, perubatan nabawi yang diperjuangkan oleh sebahagian masyarakat pada hari ini, masih belum dikaji dengan terperinci namun sudah diperjuangkan untuk diamalkan secara meluas. Agak menghairankan, mereka memperjuangkan perubatan Islam, tetapi sikap mereka jauh bertentangan dengan tokoh perubatan Islam silam yang bukan sahaja memerhati, bahkan turut mengkaji sedalam yang mungkin. Mereka menolak perubatan kontemporari dengan hujah-hujah tidak masuk akal seperti agenda yahudi, bahan kimia berbahaya, konspirasi big pharma dan seribu satu alasan lain yang nyata tidak masuk akal. Lebih memilukan, ada di antara mereka menggunakan Thibbun Nabawi ini, hanya untuk melariskan produk jualan mereka. Walhal, ubat-ubatan yang dipasarkan itu, belum tentu seratus peratus bahannya semua berasaskan herba-herba daripada kitab-kitab turas Thibbun Nabawi dahulu, malahan ada juga yang dicampurkan dengan ubatan moden seperti steroids, bagi memuaskan hati pengguna dengan keberkesanan produk tersebut, tetapi tidak dinyatakan dalam promosi produk mereka. Eksploitasi atas nama agama seperti inilah yang kita tidak ingini.

Baru-baru ini, seorang pengkaji dari China, Tu Youyou, menggegarkan dunia, apabila menerima Anugerah Nobel Tahun 2015 bagi bidang perubatan. Beliau mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan kimia, dan menumpukan kajiannya dalam bidang perubatan tradisional tabib China. Kejayaan beliau sehingga melayakkan beliau menerima anugerah berprestij ini adalah dengan penemuan sejenis sejenis ubat, Artesunate, yang mempunyai persamaan dengan sejenis ubat tradisonal masyarakat China, Qinghao. Ubat ini merupakan penyelesaian baru untuk merawat demam yang berselang-seli(intermittent fever) dalam wabak Malaria.

 

Kejayaan beliau, sebenarnya adalah cabaran kepada kita umat Melayu khususnya Islam, yang sering mengatakan bahawa kita mewarisi seribu satu macam rahsia perubatan tradisional dan perubatan sunnah, untuk membuat kajian secara serius ke atas bahan-bahan berkenaan lantas diperkenalkan ke peringkat antarabangsa. Dakwaan sesetengah pihak, mengenai keberkatan bahan-bahan yang disebut oleh Rasulullah (SAW) seperti habbatussauda, madu, zaafaran, buah tin perlu dirungkai dan dibuktikan dengan kajian serius mencari rahsia didalamnya. Juga, petua perubatan Melayu yang menggunapakai seribu satu anugerah Allah di bumi tropika ini, pastinya mengandungi kunci kepada ubat yang boleh merawat pelbagai jenis penyakit, menanti untuk ditemui.
Dapat kita simpulkan di sini, perubatan yang diberikan nama apapun, samaada kontemporari, nabawi, atau konsep perubatan lain sekalipun, jika implikasinya adalah membawa kebaikan melebihi kemudaratan, ianya wajar diketengahkan. Betapa indahnya andai kesemua jenis konsep perubatan ini, dapat digarap, dikaji, dan dibincangkan secara ilmiah. Apa yang terbukti benar, diambil, apa yang menyalahi kajian, ditinggalkan. Krisis perdebatan membanding-bandingkan antara satu jenis kaedah rawatan dengan kaedah rawatan yang lain, hanya merugikan dunia sejagat. Hakikatnya, ilmu perubatan ini bukannya milik sesiapa, bukan milik Yahudi, barat atau kafir, sebaliknya milik Allah. Dia mengurniakannya kepada sesiapa sahaja yang mencurahkan masa dan tenaga untuk mencarinya

Pertelingkahan yang berlaku, sewajarnya disejukkan kembali dengan toleransi daripada kedua-dua belah pihak. Para doktor dan staf sektor perubatan yang lain bertanggungjawab untuk mendidik masyarakat awam dengan penuh hikmah, supaya masyarakat tahu dan tidak salah faham tentang hal-ehwal berkenaan perubatan. Masyarakat awam pula, perlu  sentiasa bertanya kepada orang yang berkelayakan dan lebih arif berkenaan perubatan, andai sesuatu perkara itu kurang difahami, bukan sekadar membaca apa sahaja artikel yang dikongsi di media sosial secara semberono dan kemudian turut menjadi agen penyebar maklumat yang salah.

Bayangkan jika kedua-dua blok ini bergabung, di mana anggota masyarakat daripada pelbagai lapisan dan kepakaran yang gemar membaca bahan-bahan ilmiah berkenaan hal perubatan, dibimbing oleh para doktor dan pengamal perubatan bertauliah, kemudian kajian secara menyeluruh dilakukan, tidak mustahil suatu hari nanti, kita dapat menemui alternatif yang lebih baik berbanding vaksin. Segalanya mungkin, jika kita benar-benar berusaha ke arahnya.

 

RUJUKAN : http://www.bisnisbekam.com/2013/04/memahami-makna-thibbun-nabawi-yang-benar.html

https://www.facebook.com/syamirulah/posts/10207811079136108

http://www.mmgazette.com/pemalsuan-ubat-ubatan-herba-dan-kesan-kesannya-terhadap-pengguna-khairul-naim-bin-zainal-abidin/

 

LAMAN KOLUMNIS | AKADEMIK

Ahli Medical Team
Heath Academy
Biro Akademik (BCAD)

PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2016/2017