بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang menciptakan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar yang dirindui Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kerana pengorbanan baginda Rasul,kita dapat merasai nikmat iman dan Islam. Alhamdulillah agama Islam tersebar hampir ke seluruh pelusuk dunia pada hari ini.

PERSAUDARAAN IMAN DAN ISLAM : KITA BERSAUDARA

Islam merupakan satu agama yang diturunkan untuk semua dan bukanlah istimewa dan menjadi hak kepada sesuatu bangsa, penduduk atau etnik.  Penyakit individualisitik dan materialistik yang menebal dalam kalangan umat akhir zaman hari ini tidak mahu tidak memungkinkan lagi sifat ananiyah merebak bagai satu tumor yang membarah. Impaknya, dunia menyaksikan rasa kasih yang berlebihan pada diri sendiri menjadi punca kepada huru-hara dan hasutan yang akhirnya mengorbankan ribuan nyawa manusia yang tidak berdosa.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

 “Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak kasihkan saudaranya sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Berdasarkan sabda baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, dapat kita konklusikan sesungguhnya setiap Muslim itu mempunyai ikatan persaudaraan yang erat antara satu sama lain. Dasar akidah yang jitu telah mnyatukan hati-hati Muslim itu sendiri.

Ini jelas mengisyaratkan bahawa kesatuan merupakan agenda terpenting yang harus digerakkan merentasi sempadan dan status kenegaraan. Ketahuilah, perpecahan hanya mengundang keretakan dan akhirnya umat Islam akan saling menumpahkan darah dek permainan musuh yang berjaya menjadikan kita sesama Muslim bagaikan gunting dalam lipatan dan duri dalam daging.

UMPAMA SATU BADAN : SAKITNYA TUH DI SINI!

Setelah jatuhnya Khilafah Turki Uthmaniyah,  umat Islam di Palestin, Syria, Libya, Rohingya, Burma, Patani dan lain-lain makin ditindas dan dizalimi dengan kejam oleh pihak musuh.Hampir setiap hari media cetak dan elektronik memaparkan penderitaan umat Islam. Menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil tahu penderitaan dan menyelami kesusahan saudara kita dengan saling bantu-membantu dan saling kuat-menguatkan.

Adakah kita seumpama satu badan yang disebut oleh Rasulullah SAW yang turut merasa sakit, tidak dapat tidur kerana sebahagian daripada anggota badan yang lain sedang menderita kesakitan? Tatkala kita sedang enak menjamu selera sehingga kekenyangan, mereka hanya meratah sekerah kudrat yang ada. Jika kita berlari menjulang piala kemegahan, mereka juga turut berlari di bawah hujanan peluru. Andai kita tidur berlengankan empuknya bantal, mereka tidur berbalutkan malam yang gelap gelita. Sekiranya kita mampu ketawa dengan girang bersama keluarga, mereka hanya mampu mencari damai yang tiada kunjung tiba. Apakah tidak pernah sekali kita memikirkan hal demikian seandainya diri kita berada di tempat mereka?

Penderitaan mereka terus berpanjangan dan polemik keganasan tiada berkesudahan. Malah mereka terus menangis kesunyian, sakit lama masih belum sembuh dan luka baru masih berdarah di bumi sendiri.  Sememangnya, kita semua pencinta keamanan. Maka, menjadi suatu kewajipan untuk kita melaksanakan satu tindakan yang digerakkan secara bersama melalui pemboikotan terhadap sebarang produk-produk pro Israel.

KENALI BOIKOT : SIGNIFIKAN UNTUK BERSAMA

Boikot atau pemulauan adalah tindakan untuk tidak menggunakan, membeli atau berurusan dengan seseorang atau suatu organisasi sebagai tanda protes. Perkataan boikot berasal daripada serapan bahasa inggeris iaitu ‘boycott’. Tindakan boikot boleh dianggap sebagai satu tindakan yang popular tetapi bukan mudah untuk mempraktikkannya.  Tindakan memulau dan menjauhi  mestilah kepada produk-produk yang telah terbukti memberikan sokongan kepada Israel.

Tindakan boikot terbukti memberi kesan yang signifikan sekiranya dilakukan secara majoriti besar oleh seluruh masyarakat dunia dan berupaya melumpuhkan ekonomi syarikat-syarikat yang menyumbang dana kepada terroris Israel. Sebagai sebuah persatuan yang menerajui kebajikan pelajar-pelajar Sains Kesihatan di bumi Mesir seharusnya kita menjadi ikon penggerak dalam melaksanakan tindakan boikot sebagai bukti cinta kita kepada keamanan, kemanusiaan dan keutuhan persaudaraan Islam sesama kita.

Ketahuilah, tindakan boikot adalah tindakan berbentuk tekanan yang digunakan bagi mendesak supaya polisi-polisi syarikat tertentu atau negara tertentu diubah daripada menyokong penindasan dan kezaliman terhadap umat Islam secara langsung atau tidak langsung kepada tidak menyokong kezaliman atau bersikap neutral.

SELANGKAH KE HADAPAN : KITA HARUS BERPIJAK DI BUMI YANG NYATA

Justeru, umat Islam khususnya dalam kalangan penggerak dan ahli-ahli PERUBATAN seharusnya berpijak di bumi nyata yakni bergerak secara realiti. Betapa kita sedari, PERUBATAN sudah lama melancarkan kempen-kempen untuk memboikot, pameran kemanusiaan dan poster-poster di alam maya untuk  menggerakkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan ahli-ahli PERUBATAN khususnya. Kami, Biro Kebajikan PERUBATAN Cawangan Ain Shams sesi 2016/2017 sesi ini akan memperkasa dan mempergiat lagi kempen boikot yang sedia ada dengan suatu pembaharuan iaitu melaksanakannya dalam bentuk praktikal agar lebih membumi. Implementasi gesaan ini diiringi dengan tiga objektif yang ingin dicapai iaitu :

Memastikan semua program Mega PCS tidak menggunakan item-item yang diboikot sekurang-kurangnya satu produk.

Meningkatkan kesedaran ahli PCS tentang isu boikot dan kepentingannya melalui penerangan ataupun edaran bahan bercetak mengenainya sekurang-kurangnya sekali.

 Menghebahkan senarai barangan boikot yang terdapat di lokaliti Mesir berserta cadangan alternatif sebagai rujukan mahasiswa Ain Shams sekurang-kurangnya sekali.

Hasil daripada tiga objektif ini, maka lahirlah empat peringkat pelaksanaan berikut:

Fasa Lawatan Tapak : 26 sehingga 27 Mac

Fasa Pengkajian Item-Item Yang Diboikot : 27 MAC sehingga 9 April

Fasa Pendokumentasian Produk-Produk Yang Diboikot : 10 APRIL sehingga 15 April

Fasa Kempen Dan Hebahan : Sepanjang sesi

Alhamdulillah, tiga fasa sudahpun selesai dijalankan dan kini kita sudah tiba pada fasa keempat. Sesungguhnya implementasi ini merupakan satu usaha yang pragmatik dan merintis ke arah implementasi yang bersifat jangka panjang dan menyeluruh pada masa akan datang. Dalam kesempatan ini jua, kami sertakan maklumat hasil kajian yang telahpun dijalankan oleh aktivis-aktivis PEACE PCS 2016/2017.

Untuk membaca maklumat hasil kajian, anda bolehlah berbuat demikian dengan memuat turun pautan berikut:

https://www.dropbox.com/s/0h9yiqstlhw7l27/flyers%20%28edited%29.docx?dl=0

Sehubungan dengan itu, PERUBATAN For Peace & Care (PEACE) Cawangan Ain Shams di bawah Biro Kebajikan (BCARE) PERUBATAN Cawangan Ain Shams ingin melancarkan seruan dan gesaan boikot bermula pada hari ini. Seruan ini akan disahut oleh semua penggerak dan ahli-ahli PERUBATAN Cawangan Ain Shams keseluruhannya.

Semoga usaha kita ini sedikit sebanyak dapat membantu saudara Islam kita yang dizalimi dan dinilai sebagai ganjaran kebaikan disisi Allah, in sha-Allah. Sesungguhnya, hanya Allah sebaik-baik pemberi ganjaran.

Siiru ‘ala barakatillah.

السلام عليكم ورحمة اللهوبركاته

‘PCS Kita Satu Hati’

‘Together We Unite to Serve Our Community’

13073101_1163063170423426_454942995_o

MUHAMMAD SHAFIQ BIN KADIR

KETUA BIRO KEBAJIKAN (BCARE)

PERUBATAN CAWANGAN AIN SHAMS 2016/2017

13063917_1163063303756746_1005258056_o

NURUL HUSNA BINTI ISHAK

TIMBALAN KETUA BIRO KEBAJIKAN (BCARE)

PERUBATAN CAWANGAN AIN SHAMS 2016/2017