Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020.Sama ada sedar atau tidak, dunia pada hari ini menyaksikan bahawa kita sering kali bersaing sesama sendiri dalam usaha menjadi insan yang hebat lantas disegani masyarakat sekeliling.Untuk menjadi hebat, seseorang itu haruslah berilmu.Maksud firman Allah dalam Surah Faatir,ayat 28, “Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah ialah orang-orang yang berilmu(ulama’).Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Lagi Maha Pengampun.”Jelaslah bahawa kejayaan pada hari ini mampu memberi kelebihan kepada kita dalam usaha menambahkan ketaqwaan kepada Allah. Hal ini membuktikan bahawa itulah kejayaan sebenar bagi seorang Mukmin Profesional dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Maka, berbekalkan nikmat seperti pancaindera dan kesihatan maka tidak wajar kepada kita untuk mengatakan tidak kepada sesuatu yang membawa kepada kejayaan kita seiring usaha membentuk jiwa generasi yang rabbani.

Persoalannya, ke mana kita akan pergi dan ke mana akhirnya kehidupan ini? Dalam suatu perjalanan hidup, cita-cita terbesar setiap insan adalah menuju kesempurnaan serta mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Umumnya, orang yang tidak mengetahui hakikat tujuan hidup yang sebenar lebih cenderung untuk menggantungkan tujuan hidup ini dengan sesuatu yang bersifat duniawi semata-mata. Maka,tidak hairanlah sekiranya kita melihat orang yang berilmu dalam pelbagai bidang sentiasa mendapat tempat di sisi masyarakat.Allah meninggikan kedudukan mereka sewaktu di dunia lagi agar mereka menjadi golongan yang bersyukur dan semakin akrab dengan Penciptanya. Sebagai seorang mukmin, haruslah diingat bahawa kehebatan tersebut tidak bermakna seandainya tidak disulami dengan sikap sentiasa merendah diri, memastikan ilmu yang dimiliki mampu member manfaat kepada diri dan orang lain serta kesedaran bahawa semua ilmu itu bukan miliknya, tetapi merupakan kurniaan daripada Allah. Dengan ilmu,hidup kita menjadi lebih mudah dan iman di jiwa menjadikan hidup kita  lebih terarah.

seimbang

 

Sebagaimana yang kita ketahui,telah menjadi tugas dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi untuk mentadbir dan memakmurkan seluruh isi alam berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya.Untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam kehidupan, sesuatu yang harus kita lakukan adalah melakukan pengorbanan dari segi masa, tenaga, harta benda dan sebagainya.Oleh itu,bersedialah untuk diuji walaupun cabarannya sudah pasti teramat berat dan besar.Bersangka baiklah dengan ujian yang kita lalui serta ambillah pengajaran daripada setiap ujian untuk menyingkap segala rahsia kehidupan.Orang yang hidup dengan tujuan untuk memburu kehidupan dunia pasti akan terus disibukkan oleh urusan dunia, tidak ada ketenangan dalam hatinya menjadikan dirinya sentiasa berasa kekurangan. Sebaliknya, manusia yang berusaha memajukan diri dan agama akan lebih tenang dan tabah walaupun diuji dengan pelbagai dugaan dan rintangan.Maka, kita haruslah yakin dan percaya dengan janji Allah bahawa dalam setiap kesusahan pasti ada kesenangan dan dalam setiap kepahitan pasti ada kemanisannya pada akhir perjalanan nanti.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas,jelaslah bahawa kita disuruh berfikir dalam usaha memajukan diri sendiri serta memartabatkan agama Islam.Manusia yang memanfaatkan akal fikirannya merupakan golongan yang bersyukur terhadap nikmat kurniaan Allah.Akal memainkan peranan penting dalam memahami syariat Islam.Dengan adanya akal yang waras,segala hukum mampu difahami oleh umat Islam.Namun begitu, akal yang dikurniakan itu perlulah selari dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah tanpa sebarang pertikaian dan keraguan. Setiap kemajuan adalah berasal dari Islam.Hal ini demikian kerana setiap perkara yang berlaku di sekeliling mengajak akal agar berfikir dan mengambil iktibar dalam mencapai kesempurnaan hidup.Berhati-hatilah dengan apa yang ada di sekeliling kita kerana bimbang akan mempengaruhi hati dan fikiran kita.Disebabkan keistimewaan akal yang dikurniakan, kita haruslah sentiasa menghayati firman Allah yang bermaksud, “Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin.Dan (juga) pada dirimu sendiri.Maka apakah kamu tidak memperhatikan? (Az-Zaariyat 20,21).” Tepuk dada tanya selera.

akal hebat

Dalam pada itu,untuk menjadi seorang mukmin yang hebat di dunia dan di akhirat,kita haruslah sentiasa berfikiran positif serta sentiasa memotivasikan diri agar mampu menjadi insan yang berguna kepada agama,bangsa dan negara.Fokuskan pada matlamat hidup dan gerak kerja amanah.Kesibukan belajar bukanlah suatu alasan yang tepat untuk mengelak  amanah dakwah.Dakwah yang paling mudah ialah menunjukkan akhlak yang baik dan sentiasa berusaha ke arah kebaikan.Seseorang yang rajin bekerja dan berusaha akan mendapat apa yang diinginkan dengan izin Allah S.W.T. Alangkah indahnya sekiranya kejayaan kita sebagai umat Islam pada hari ini mampu menjadi inspirasi kepada masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa kebahagiaan dan kegembiraan yang sebenar mampu dikecapi apabila kita berusaha dalam mematuhi apa yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul.Pengetahuan tentang aqidah, ibadah, dan akhlak perlulah seiring untuk ditimba sebagai bekal dalam usaha menjadi muslim yang taat kepada perintah Allah. Oleh hal yang demikian, manfaatkanlah ilmu demi kesejahteraan umat manusia sejagat.

Secara tuntasnya,akhirat yang dikejar dengan pengurusan kehidupan yang profesional merupakan satu fokus utama kerana di dunia inilah kita mencari bekalan untuk kejayaan kita di akhirat kelak.Keseimbangan yang jitu dalam pelbagai aspek haruslah dititikberatkan agar kita mampu menjadi insan yang hebat di dunia dan diakhirat.Dalam konteks ini, gelaran mahasiswa atau mahasiswi yang sedang kita pikul haruslah memberi keyakinan yang lebih mantap bahawa ilmu mampu menjamin masa depan seseorang.Dengan itu, kejayaan demi kejayaan serta hasil yang lumayan sudah pasti mampu kita peroleh dalam mencapai tujuan hidup ini.Peribahasa alah bias tegal biasa haruslah dijadikan sebagai panduan hidup kerana bertepatan dengan konsep istiqamah iaitu konsisten dan berterusan dalam membina persediaan diri untuk menjadi seorang yang hebat baik di dunia mahupun di akhirat.Hakikatnya, kita selaku hamba perlu  sedar bahawa semua itu datangnya dari yang maha Kaya iaitu Allah S.W.T.

LAMAN KOLUMNIS | PEMBANGUNAN INSAN

Nor Asniza Binti Ramlee
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams