Assalamualaikum W.B.T.

Alhamdulillah, segala puji kepada Allah S.W.T Yang Maha Pengasih dan yang telah mengurniakan pelbagai nikmat yang memungkinkan kita bernafas dan hidup di atas muka bumi yang luas ini.  Selawat dan salam buat junjungan besar Baginda Nabi Muhammad S.A.W  yang telah melestarikan dunia ini dengan keindahan Islam sehingga ke hari ini.

Selamat datang dan selamat bermesyuarat, saya ucapkan kepada semua sidang perwakilan dan pemerhati yang hadir memeriahkan Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) kali ketiga pada tahun 2016 ini. Dengan membawa tema “Memaknakan Integrasi, Merentas Legasi”, MTC kali ini menjadi medan terbaik buat pimpinan dan ahli untuk saling bermuhasabah dan berkongsi idea dalam merealisasikan visi kita iaitu PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk profesional sains kesihatan yang Rabbani dan kompeten.

PERUBATAN Cawangan Ain Shams 4.

Sedar atau tidak, PCS selaku organisasi yang menaungi mahasiswa di bumi Abbasiah telah pun memasuki tahun ke-empat penubuhannya sebagai PERUBATAN Cawangan yang dahulunya hanyalah sebuah Organisasi Perubatan Universiti (OPU). Saya pasti delegasi Allahyarham Abdullah Azahari, saudara Hanif Mahamad dan saudara Zulkifli Ab Rahim telah berjaya menampakkan PCS sebagai persatuan yang semakin matang dan lebih ke hadapan dalam segenap aspek.

 

Sidang perwakilan yang dimuliakan,

Biah Akademik : Individu Muslim yang cemerlang dunia dan akhirat

….Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.

( Surah Az-Zumar,ayat 9)

Hakikat ilmu itu milik Allah dan Islam adalah agama yang sangat mementingkan ilmu sehingga ianya diletakkan sebagai satu tuntutan wajib ke atas kita semua. Maka sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk mengutip sebanyak mungkin ilmu yang ada di atas muka bumi Allah ini. Bukanlah dinamakan ilmu sekiranya bertambahnya ia, semakin jauh kita dengan Pencipta alam ini, makin meningkat keegoan penuntutnya serta makin angkuh bongkak sekeping hati yang sepatutnya tunduk merendah diri kepada Allah.

Jika kita sama-sama mengimbau kembali zaman kegemilangan Islam suatu ketika dahulu, Islam memberi sumbangan yang besar dalam pembentukan tamadun dunia kerana dengan ilmu, manusia dapat membezakan antara haq dan batil, dan dengan ilmu juga, manusia menegakkan segala yang maaruf dan dengan ilmu jugalah manusia dapat menghapuskan segala kemungkaran dalam seluruh kehidupan manusia. Sebagai satu usaha dalam mengembalikan semula kegemilangan Islam yang kini hanya menjadi sejarah, penerapan biah akademik perlu dimulakan dalam lokaliti kita selaku pelajar sains kesihatan di Universiti Ain Shams.

Walaupun usaha ini nampak sukar dan memerlukan durasi masa yang panjang, PCS akan membawa peranan besar ini sebaik mungkin. Bagi membumikan biah akademik ini, PCS sesi kali ini akan menyediakan medium perkongsian ilmiah dalam kalangan ahli melalui kewujudan slot akademik dalam program, aktiviti, hebahan maya bahkan juga dalam mesyuarat. Tidak dilupakan juga, kami akan memanfaatkan medium sedia ada seperti Unit Medical Team PCS dalam memberi pendedahan dan mengasah kemahiran klinikal dalam diri ahli.

Di samping itu juga, kami akan cuba mengoptimumkan fungsi Maktabah Abdullah Azahari yang sedia ada dengan menvariasikan buku-buku untuk dipinjam dan dibeli  oleh ahli dalam memupuk budaya membaca mengikut minat masing-masing.

 

Hadirin yang dirahmati Allah,

PCS sebagai platform pembangunan modal insan

Hadis Rasululah S.A.W. mengingatkan, “Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi atau engkau membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, boleh jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap.”

(HR Bukhari 5534 dan Muslim 2628)

Pada era teknologi kini, kadar jumlah manusia yang mempunyai penyakit kian bertambah. Tambahan, dunia kini dikejutkan dengan satu penyakit yang boleh membawa maut iaitu penyakit virus Zika. Walhal penyakit sedia ada  masih belum dicegah sepenuhnya, AIDS dan Ebola yang masih tiada vaksin, penyakit polio dalam kalangan kanak-kanak dan penyakit tiga serangkai (penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi) yang membarah di Malaysia.

Hal demikian secara langsung meningkatkan kadar kesedaran masyarakat untuk sentiasa berjumpa doktor bagi menjauhkan diri dari sebarang penyakit. Akan tetapi, masyarakat tidak langsung sedar penyakit hati ataupun masalah iman yang semakin membarah dalam diri. Lihat sajalah kes-kes jenayah, pembuangan bayi, zina dan sebagainya semakin meningkat saban tahun di tanah air kita.  Kewujudan kedua-dua  penyakit jasmani dan rohani ini, tidak lain tidak bukan berhajat kepada seorang doktor yang mempunyai ilmu-ilmu agama dan bukan hanya ilmu perubatan semata.

Dalam menggalas cita-cita murni ini, PCS akan memperkasakan unit Fikah Perubatan, kelas Morning with Hot Chocolate (Mocha) dan kelas Tafaqquh sebagai bekalan tsaqafah kepada ahli. Pada masa yang sama, pembentukan rohani dalam diri juga merupakan elemen penting untuk menjadi ejen pengubah masyarakat kelak melalui sistem taklifan sebelum mesyuarat dan tentatif program yang mesra waktu solat.

Berpandukan sirah Rasulullah S.A.W., usrah menjadi kunci penyebaran dakwah Islam ke hampir dua pertiga dunia. Sebagaimana usrah pertama diadakan di rumah Arqam bin Abi Al-arqam yang memberi kesan besar kepada pertambahan umat Islam ketika itu. Sebagai langkah terdekat, PCS akan mengoptimumkan Mentor Council (MC) untuk membentukan syakhsiah Islamiah dalam diri ahli secara menyeluruh. Saya juga akan berusaha sehabis mungkin untuk turun padang ke dalam setiap Smart Circle bagi memastikan agenda pembangunan insan ini dapat dicapai dengan jayanya pada akhir sesi, in Shaa Allah.

 

Sidang perwakilan dan pemerhati sekalian,

Pembentukan convalent bond : memaknakan “PCS, kita satu hati” sebagai teras kekuatan mahasiswa

“Bandingan antara Muslim dengan Muslim yang lain samalah seperti binaan yang tersusun kukuh, sebahagiannya memperkukuh yang lain”

Sejarah membuktikan, umat Islam dahulunya sangat digeruni oleh pihak-pihak musuh dek kesatuan yang sangat padu. Namun, itu hanyalah sekadar tinggalan sejarah kerana umat Islam masa kini bukan sahaja tidak digeruni malah menjadi umat yang paling banyak ditindas. Di sini, kita dapat lihat kesatuan menjadi tonggak utama dalam usaha mengembalikan zaman khilafah, seterusnya dapat menegakkan syiar Islam di bumi ini. Justeru, selaku mahasiswa Muslim, kita perlu memupuk kesatuan ini bermula dari sekarang kerana kitalah yang bakal menerajui negara suatu hari nanti.

Lantaran itu, PCS sesi ini  berhasrat untuk mengekalkan tema “PCS, Kita Satu Hati” dalam membentuk kesatuan ahli PCS. Biarpun kuantiti ahli kian berkurang, namun ianya bukan kayu ukur yang sebenar dalam menentukan kekuatan kesatuan itu. Malah, perkara yang jauh lebih penting adalah wujudnya  keterikatan dan rasa kasih sayang dalam kalangan ahli dan pimpinan merentasi seluruh anak negeri, ideologi, dan latar belakang. Natijahnya, kesatuan yang diimpikan selama ini menjadi lebih jitu bertepatan dengan satu gagasan yang murni iaitu PERUBATAN untuk semua.

Pada tahun keempat PCS ditubuhkan ini, kami juga bawakan aspek kebajikan yang menjadi keutamaan ahli selari dengan firman Allah :

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ

Maksudnya: dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa

                                                                                                                                                                                   (Surah al-Maidah)

Hakikat kehidupan kita ada yang senang dan susah. Sebagai individu muslim yang peduli, kita perlu prihatin akan rakan-rakan sekeliling yang ditimpa masalah. Turunnya sesuatu kesusahan sebenarnya adalah ujian kepada kedua-dua  belah pihak iaitu si penerima ujian dan orang sekitarnya dengan membawa satu mesej bahawa kesenangan perlulah dikongsi bersama bagi mengurangkn kesusahan tersebut.

 

Mahasiswa dan mahasiswi yang disegani,

Professionalisme : Melahirkan mahasiswa berinovasi dan kreatif

Hadis Rasulullah S.A.W. yang berbunyi,

 “Sesungguhnya Allah amat menyukai seseorang itu, yang apabila dia melakukan sesuatu, dia melakukan dengan itqan (bersungguh-sungguh dan teliti)”

Sebagai seorang bakal doktor, kita juga perlu menyahut seruan untuk mendalami ilmu dan kemahiran sebelum pulang berkhidmat di Malaysia suatu hari nanti. Kita perlu beringat, bahawa kepulangan kita ke Malaysia bukanlah sekadar mengisi kekosongan tempat bekerja di hospital sahaja, malah jauh lagi penting daripada itu adalah kita mengisi kekosongan moral dan mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik. Oleh itu, kita perlu lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu agama, kemahiran hidup berorganisasi dan nilai-nilai tambah yang lain.

PCS sekali lagi membawa agenda professionalisme pada sesi kali ini dengan harapan dapat membentuk personaliti ahli dan pimpinan dalam menerapkan nilai-nilai jati diri serta imej profesional dari segi akhlak dan gerak kerja. Hal ini perlu dititikberatkan agar kesemua mahasiswa khususnya PCS dipandang sebagai golongan yang profesional dan beretika apabila berkhidmat di tanah air kelak. Perkara ini akan direalisasikan melalui pemerkasaan PERUBATAN Frontliners (PROF) dalam setiap biro, aktiviti dan program PCS.

Agenda professionalism tidak terhenti setakat itu sahaja, ia juga meliputi sistem-sistem yang sedia ada dan pengurusan yang inovatif. Sistem-sistem tersebut akan diperkemaskan termasuk sistem kewangan serta sistem dokumentasi dan arkib. Selain itu, atas satu kesedaran bahawa kita tidak boleh statik di takuk yang sama, PCS juga akan menerapkan elemen inovasi dalam aktiviti dan program. Usaha ini secara tidak langsung menampakkan PCS mementingkan kualiti dan capaian piawai tertentu. Antara langkah yang diambil adalah mengoptimumkan peranan Unit Research and Development (R&D) dalam membuat analisis secara menyeluruh dan holisitik.

 

Sidang dewan yang dihormati,

Firman Allah dalam surah as-Sof, ayat 4 :

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوصٌ

Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

Ayuh kita sama-sama berganding bahu rapatkan saf, pupuk rasa cinta dan kasih antara satu sama lain serta kita ketepikan perihal perbezaan pendapat. Jangan disebabkan perbezaan pendapat yang hanya sedikit, kita telah meruntuhkan satu elemen yang besar iaitu kesatuan. Bukankah kita sesama Muslim itu bersaudara?

Bagi mewakili seluruh pimpinan baharu PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS), saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan pimpinan sesi 15/16 yang diterajui oleh saudara Zulkfli Ab. Rahim dan seluruh ahli PCS yang telah berkhidmat untuk Islam melalui wasilah PCS setelah tiga tahun penubuhannya. Tidak dilupakan juga kepada Ahli Jawatankuasa Pelaksana MTC pada kali ini yang dikemudi oleh saudara Aiman Azhari yang saya kira berjalan dengan jayanya.

Harapan saya, marilah sama-sama kita terus beristiqamah dalam menuntut ilmu dan menjaga prestasi akademik, pertingkat amalan dan nilai-nilai modal insan, perteguhkan kesatuan dan menerapkan professionalime dalam diri dan gerak kerja. Kami selaku pimpinan PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) sesi 16/17 memohon doa dari kalian agar dapat memikul amanah yang berat ini dan sama-sama kita membawa PCS ke jalan yang diredhai Allah. Tanpa kalian, siapalah kami.

Sebagai penutup, saya akhiri ucapan dasar saya pada Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) kali ketiga ini dengan membawakan satu firman Allah iaitu :

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Berangkatlah kamu dalam keadaan merasa ringan atau berat mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui”.

                                                                                                         (Surah at-Taubah: ayat 41)

 

Siiru ‘Ala Barakatillah.Selamat berkerja untuk Islam.

السلام عليكم ورحمة اللهوبركاته

 

 

 

 

 

 

 

 

Muhammad Amiruddin bin Suhaini

Pengerusi

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)

2016/2017