Aku terbangun dari tidurku, kulihat jam di tangan. Sudah jam lima setengah,gumamku dalam hati. Aku bangkit dari tempat tidur yang hanya sebuah tilam yang aku kira sudah mencecah lewat sepuluh tahun barangkali usianya. Aku kemas dengan sekadarnya dan segera menuju ke bilik air. Setelah selesai berpakaian, aku  segera mencapai beg sekolahku yang tersadai di belakang pintu.”Kal! Mari sarapan dulu!” Ibu memanggilku untuk sarapan pagi.

”Ya bu, sebentar!”

Aku berlari-lari anak ke dapur.Seperti biasa sarapan pagiku kuih dan segelas teh panas. Syukur, ayah masih lagi mampu menyara kami sekeluarga walaupun serba sederhana. Melihatkan  kesusahan ayah dan  ibu  menyara kami sekeluarga telah membuatkan aku  lebih mengenali erti kehidupan.

Kehidupan seharian aku sama seperti pelajar-pelajar yang lain, bangun pagi bergegas ke sekolah apabila tiba waktu petang pulang dari sekolah. Apa yang membezakan aku dengan pelajar-pelajar ialah kehidupan aku di rumah. Rumah yang aku kira mencoret seribu satu kenangan, kehidupan harapan dan kejayaan kepada keluarga aku. Rumah yang mengajar aku erti bersederhana, erti bersyukur dan erti kekeluargaan.

Seringkali aku berfikir, bagaiamana untuk mencapai kejayaan? Namun, aku seringkali lupa, setiap kejayaan haruslah bersahabat dengan pengorbanan, perjuangan, rintangan serta ujian. Aku harus bekalkan diri aku dengan semangat dan ketabahan. Sebagai anak sulung dalam keluarga aku harus belajar bersungguh-sungguh dan melakar kejayaan yang cemerlang bagi mengubah kehidupan keluarga aku  ke arah yang lebih baik.

Keazaman dan kesedaran yang ada dalam diriku telah membuatkan aku menjadi seorang pelajar yang melazimi adab-adab menuntut ilmu.

يَرْفَعِ اللهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ (المجادلة: 11

Ertinya:  “Niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”.(QS. Al-Mujadalah: 11)

Aku teringat akan perbualanku dengan sahabatku di sekolah tadi.

“ Kal, boleh minta tolong tidak?”

“Boleh, ada apa Fik?”

“Sebenarnya aku mahu minta tolong ajarkan pelajaran matematik yang tadi. Aku tertidur kerana cikgu asyik cakap sahaja. ”

”Boleh, tapi kamu jangan cakap begitu kerana tanpa guru kita tidak akan paham apa-apa, tidak boleh menulis dan membaca. Jadi guru itu adalah segala-galanya untuk kita. ”

“Oh begitu. Maaf ya Kal, aku cakap begitu tadi.”

“Tak apa, yang penting kamu sedar. Baiklah mari aku ajarkan. ”

Kami belajar bersama hingga tidak sedar sudah habis waktu rehat.Setelah selesai, Fikri pun berterima kasih padaku kerana telah membantu dan menegur akan sikapnya tadi.Itulah gunanya kawan,saling nasihat menasihati.Aku ingat lagi, itulah yang selalu dipesan Ustaz Yaakop di sekolah, agar sentiasa menghormati guru tidak kira di mana kita berada.

Ayahku selalu berpesan supaya belajar dengan rajin dan raihlah ilmu seluas-luasnya, kelak membesar  menjadi orang yang berguna bagi nusa dan bangsa. Itulah pesanan beliau yang kupegang erat dan akan aku tunaikan suatu hari kelak. Ibu  pula sangat mengharapkan kejayaan daripada aku kerana akulah yang akan menjadi contoh kepada adik-adikku nanti.

Sungguh besar jasa pahlawan-pahlawan yang berjuang mati-matian untuk mempertahankan kemerdekaan Malaysia. Mereka lebih baik mati daripada dijajah.Memang besar pengorbanan mereka. Aku sedar aku bukanlah pemula mahupun pengakhir tapi yang aku pasti aku adalah penyambung rantai-rantai perjuangan ini.Tidak akan sekali-kali aku biarkan tanah tumpah darahku dijajah lagi.Generasi muda kini mesti mengisi kemerdekaan itu dengan belajar bersungguh-sungguh.

Adakah para pahlawan sahaja boleh memberikan sumbangan kepada negara?

Mengapa tidak kita?

Aku pun akan seperti mereka mengejar impian yang aku impi-impikan iaitu membahagiakan kedua-dua ibu bapaku dan aku ingin menjadi orang yang berguna bagi agama bangsa dan negara kelak.

MINDA PIMPINAN

Nur Fatin Izzaty bt Mohd Shurkeri 
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Ahli Jawatankuasa Tertinggi
Timbalan Ketua Biro Perumahan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2015/2016

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.