12788447_608535565965133_1348017657_o
Barisan AJKT Sesi 2015/2016

ABBASIAH, 26 Februari – Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) menjadi saksi janji Amiruddin, Pengerusi PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) bagi sesi 2016/2017 yang akan berusaha sedaya upaya untuk turun padang dalam setiap Smart Circle (SC) ketika Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) Kali Ketiga.

Kata beliau dalam ucapan dasarnya, usaha ini bakal dilaksanakan bagi memastikan agenda pembangunan insan iaitu PCS sebagai platform pembangunan modal insan dapat dicapai dengan jayanya pada akhir sesi ini.

“Saya lihat Smart Circle (SC) selaku jantung adalah satu medium yang terbaik untuk saya turun padang bagi meningkatkan kadar capaian terhadap ahli. Di samping menjayakan agenda pembangunan insan, medium ini dapat mewujudkan rasa kebersamaan dan memupuk kasih sayang antara pimpinan dengan ahli. Perkara ini bertepatan dengan satu gagasan iaitu PERUBATAN untuk semua di mana semua ahli merasai peranan PERUBATAN secara amnya dan PCS khususnya sebagai tempat berteduh buat semua,” kata Amiruddin Suhaini, Pengerusi PCS 2016/2017.

Bukan itu sahaja, janji ini juga diluahkan oleh Irshafinah Jamaludin ketika beliau membentangkan manifestonya sewaktu bertanding sebagai Timbalan Pengerusi untuk Pilihanraya Cawangan baru-baru ini.

“Satu janji yang cukup jelas menggambarkan betapa berjiwa ahlinya pemimpin kita kali ini. Satu janji yang mendahulukan masyarakat Ain Shams lebih dari peribadi beliau sendiri. Satu janji yang cukup kukuh untuk memaknakan PCS, Kita Satu Hati.

12787475_608535985965091_466490472_o
Simbolik peralihan tampuk kepimpinan

Bersamalah kita memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Amiruddin. InsyaAllah penambahbaikan demi penambahbaikan bakal mereka capai demi faedah kita semua,” kata Zulkifli Ab. Rahim, mantan Pengerusi PCS sesi 2015/2016.

Beliau juga memberikan sokongan yang jitu buat barisan kepimpinan baru yang bakal diketuai oleh Amiruddin Suhaini dan Irshafinah Jamaludin dengan harapan agar mereka sentiasa senyum sepanjang perjalanan sebagai penggalas amanah AJKT dan bersama-samalah menjadi kekuatan untuk satu sama lain.

“Berilah yang terbaik untuk PCS serta seluruh ahlinya. Mudah-mudahan segala pengorbanan kalian mampu untuk mengetatkan lagi ikatan kesatuan seluruh mahasiswa Ain Shams dan mudah-mudahan bumi Ain Shams keseluruhannya mendapat rahmat dan berkat sang Pencipta,” kata beliau lagi dalam sesi temubual bersama salah seorang wartawan mediaPERUBATAN.

Nurul Hidayati Asmoin, salah-seorang ahli PCS juga menyatakan keyakinannya terhadap barisan kepimpinan sekarang yang mampu membawa PCS sehebat abang-abang dan kakak-kakak lama bahkan mungkin lebih hebat dari itu.

12810004_608536029298420_1860128379_o
Sesi pengundian usul yang bersejarah

mediaPERUBATAN mengucapkan tahniah dan takziah buat ‘Team Peach’. Semoga setiap janji serta agenda berjaya dilaksanakan dengan jayanya.