Klaustrofobia  dan araknofobia merupakan antara entiti yang membentuk senarai panjang fobia-fobia yang berdaftar dengan badan otoriti. Kata akhiran ‘fobia’ bermaksud ianya sesuatu yang tidak diingini oleh penghidap, sukar dikawal dan tidak sarat dengan motif.  Namun berbeza pula dengan istilah islamofobia dimana penghidapnya mempunyai dorongan atau motif, iaitu didorong oleh kebencian terhadap Islam dan pengamalnya. Kadangkala dia berbangga dan gembira apabila kebenciannya dapat dizahirkan.

Pemahaman Definisi

Islamofobia definisinya masih kabur dan ahli akademik masih berdebat tentang keabsahan makna dan mempersoalkan bagaimana ia berbeza dengan terma-terma yang lain seperti racist, anti-Muslim, anti-Islam, Islamo-fasisme, islam ekstremism dan anti-Semitik. Namun kesimpulan mudah yang dapat dirumuskan adalah semua istilah ini lahir daripada rasa kebencian.

Menurut definisi daripada laporan Runnymede Trust (UK) dan dapatan penulis, Islamofobia boleh dirangkumkan sebagai  perasaan ketakutan, kebencian, permusuhan dan tidak berkompromi terhadap Islam dan Muslim secara sebahagian atau keseluruhan. Ianya dibayangi oleh tanggapan tertutup lagi negatif, menghina dan stereotaip terhadap agama Islam. Fenomena ini menyebabkan Muslim didiskriminasi secara tidak adil, diganggu, dikecam dan disisih, gejala perlecehan dan pengasingan daripada arus perdana kehidupan sosial, ekonomi atau politik. Ia juga membentuk persepsi bahawa Islam tidak selari dengan Barat dari segi sistem nilai dan tatamoral, berkedudukan inferior berbanding Barat dan dikaitkan sebagai agama pengganas dan radikal.

islamophobia
Muslim didiskriminasi secara tidak adil

Sejarah

Kemunculan istilah Islamofobia dikesan dalam sebuah esei karangan seorang orientalis bernama Etienne Dinet (1922), timbul kembali sekitar tahun 80an dan 90an. Contohnya ahli teori pasca-kolonial Edward Said dalam tulisannya pada tahun 1985 mengulas tentang Islamofobia. Kemudian istilah ini menjadi popular lewat peristiwa hitam 11 September 2001 dan sehingga kini impaknya masih dirasai.

Sebagai  usaha memahami Islamofobia yang telah metastasis dan membarah keseluruh dunia,  artikel ini akan kita fokuskan kepada isu Islamofobia di Eropah. Mengapa? Ini satu persoalan yang mencabar. Bagi saya Islamofobia di Eropah sering mendapat perhatian pihak media secara konsisten. Tambahan pula, demografi Muslim di Eropah amat unik untuk diteliti. Selain itu, jumlah signifikan Muslim Eropah saban tahun semakin meningkat dari segi bilangan saudara baru dan imigran Muslim. Semoga pengajaran dan pengalaman  saudara Muslim Eropah dalam mendepani Islamofobia dapat kita pelajari selain mengetahui sedikit sebanyak mengenai hubungan Islam dan benua Eropah yang menarik untuk diketahui dan dikaji.

Sebelum kita menyentuh ke isu pokok, sangat menarik untuk dikongsikan sejarah kedatangan umat Islam ke Eropah yang secara umumnya boleh dibahagikan kepada empat fasa waktu (Nor Faridah Mat Nong, 2015:3). Antaranya :

  1. Ketika siri pembukaan wilayah Andalusia dan beberapa Pulau Mediterranean seperti Sicily sejak abad ke-7.
  2. Kedatangan tentera Monggol pada abad ke-13 Masihi di Sungai Volga, Rusia.
  3. Perkembangan Islam di daerah Balkan dan Eropah Tengah pada abad ke-14 Masihi ketika pemerintahan Uthmaniyah.
  4. Selepas Perang Dunia Kedua melalui kedatangan imigran ke Eropah Barat pada abad ke-19 Masihi.

Maka isu Islamofobia boleh disimpulkan bermula sebagai reaksi pihak Eropah semasa pembukaan wilayah Andalusia. Dikatakan juga memori ini telah dibawa hingga kini dengan terbitnya momokan seperti Eurabia dan Londostan (Eropah bakal di’Arab’kan) serta Perang Salib Baru.

Siapakah Muslim Eropah?

Agama Islam diakui sebagai agama yang paling pesat berkembang di Eropah dan juga di dunia. Muslim membentuk sebanyak 5% daripada keseluruhan jumlah populasi  Kesatuan Eropah (EU) dan peratusan ini bertambah saban tahun. Perancis mempunyai penduduk Muslim terbesar sebanyak 4.5 juta, diikuti 3 juta di Jerman, 1.6 juta di Britain dan masing-masing lebih daripada 500 000 di Itali dan Belanda (Graham E.Fuller,2010:190). Muslim Eropah boleh dikategorikan kepada Muslim Jati dan Muslim Imigran. Muslim Jati pula merupakan samada Muslim berbangsa Eropah atau Muslim pasca generasi pertama imigran Muslim yang lahir di Eropah, berpendidikan dan bertutur  bahasa tempatan, bergaul dan berasimilisasi sejak kecil dengan persekitaran sekeliling. Manakala Muslim Imigran pula adalah Muslim datang ke Eropah sebagai buruh, pelarian, dibawah proses penyatuan semula keluarga, pelajar atau ilmuan yang datang ke Eropah untuk tempoh tertentu dan tidak menukar kewarganegaraan.

Contoh

911-september-11th-attacks
Serangan ke atas WTC, AS pada 9 September 2001

Mungkin kita pernah mendengar kisah di mana seseorang itu terpaksa menjalani pemeriksaan seluruh badan di lapangan terbang di Eropah hanya kerana dia bernama Muhammad atau berjanggut. Kerana hijab, ada Muslimah yang dinafikan hak pendidikan, diganggu, hilang pekerjaan dan banyak lagi kisah-kisah yang masih tidak kita ketahui. Selain itu, ucapan dan kecaman berbaur anti-Islam, penyebaran video Fitna, acara membakar Al-Quran, karikatur Nabi, dan banyak lagi.

Antara Punca Isu

Segelintir umat Islam dan tokoh Islam yang berpendirian keras dan terburu-buru memburukkan lagi keadaan. Tambahan lagi, peristiwa serangan keganasan, rampasan dan konflik peperangan seperti Pembunuhan Munich (1972), peristiwa Revolusi Iran (1979), Perang Teluk (1980-an), Perang Bosnia (1990-an), Peristiwa 11 September (2001) serta pengeboman  di London dan Madrid (2004) pantas dikaitkan dengan Islam lalu  menyebabkan identiti dan luaran sebagai Muslim dianggap sangat berbahaya untuk ditonjolkan dalam masyarakat Eropah. Hal ini juga menyebabkan warga Barat bersikap prejudis terhadap Muslim, xenophobia dan didiiskriminasi secara negatif manakala di peringkat kerajaan pula timbul polisi bermotif anti-Islam seperti polisi anti keganasan, anti-imigran, undang-undang anti-Islam dan sebagainya. Isu Islamofobia juga mewarnai  polemik dan  landskap politik negara tertentu. Contohnya semasa pelantikan Barrack Obama yang dikatakan beragama Islam dan terkini laungan anti-Islam daripada calon presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

 

Propaganda media massa yang sebahagiannya membawa konotasi negatif terhadap Islam melalui penyampaian  maklumat yang tidak tepat, berita dan kisah negatif umat Islam yang ditonjolkan secara berlebih-lebihan sehingga berita positif mengenai Islam dipandang ‘tidak bernilai untuk dilaporkan’.  Maka tidak hairan masyarakat awam melihat Islam itu punca segala masalah, peperangan, ekstrimis keganasan dan penindas wanita.  Dengan kata lain, media massa ini menyuap dan menanam fahaman meng’Islamisasi’kan masalah.

Masalah krisis pemahaman identiti dan budaya membelenggu Muslim Eropah. Menurut Tariq Ramadan (2002: 114-115), masyarakat Muslim Eropah keliru dalam membangunkan konsep identiti Islam yang sebenar, apabila golongan imigran awal membawa cara hidup mereka dari negara asal tanpa memperlihatkan pemisahan antara identiti budaya etnik dan identiti agama. Identiti generasi awal memberi kekeliruan kepada generasi selepasnya untuk membezakan antara konsep budaya dan identiti agama yang berasaskan fundamental Islam.  Namun ada yang bertindak jauh dengan asimilisasi total dan meninggalkan ajaran Islam, hanya beridentitikan sebagai Muslim. Ada juga yang reaktif dengan mendekatkan diri dengan intepretasi agama secara rigid dan literal atas nama menjaga diri dan agama lalu melahirkan Muslim yang keras dan ekstrem dalam pengalaman. Fenomena ini mewujudkan semacam satu spektrum pengamalan Muslim.

IMG_8613
Is that logic?

Kajian Kes : Poland

Negara Eropah Timur seperti Poland bersifat homogenus dan didominasi oleh warganegara beragama Kristian sebanyak 99 peratus. Berbeza dengan negara Eropah Barat seperti Britain dan Perancis yang bersifat heterogenus, mempunyai jumlah Muslim yang ramai dan mempunyai tradisi menerima masuk imigran luar. Jumlah bilangan yang kecil menyebabkan Muslim Poland tidak dapat memberi  pengaruh secara ekonomi mahupun politik untuk terlibat dalam urusan kenegaraan.

Antara  cabaran Islamofobia yang dihadapi Muslim Poland adalah seperti dilabel Pendatang Dunia Ketiga dan gambaran salah warga tempatan mengenai Islam menerusi penerbitan Orientalis dan ajaran Ahmadiyah. Laporan bancian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Prejudis University Warsaw baru-baru ini mendedahkan, majoriti rakyat menentang keputusan kerajaan yang telah menerima kuota agihan pelarian yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah. Bancian juga menyebut 73% responden meluahkan perasaan negatif  terhadap Muslim dan penganut Islam . “Penganut Islam terutamanya  Arab adalah yang paling dibenci di Poland”, laporan itu menyebut. Baru-baru ini tunjuk perasaan telah diadakan bagi membantah usaha kerajaan menempatkan pelarian-pelarian seperti dari Timur Tengah dan Afrika Utara ke negara itu.

Selain itu, Muslim Poland menghadapi masalah pemahaman Islam kerana kekurangan aktiviti keislaman, dana, buku terjemahan serta kekurangan tenaga pengajar lebih-lebih lagi yang boleh berbahasa Poland dan memahami budaya tempatan. Warga Muslim tempatan daripada bangsa Tartar masih kurang kefahaman asas mengenai Islam dan sebahagiannya bertindak menjauhkan diri daripada Muslim yang lain.

Kearah Islamofilia

Islamophilia adalah reaksi spontan saya apabila memikirkan apakah mungkin lawan bagi kata nama Islamofobia dan bagaimana cara kita menghadapi ancaman Islamofobia ini berdasarkan pengalaman saudara dan sahabat kita di Eropah.

Sebagai individu Muslim, kita mesti menyerlahkan karakter dan akhlak yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Akhlak adalah antara instrument dakwah yang halus lagi berkesan dan terbukti melalui dakwah Nabi dan kisah dakwah kontemporari. Muslim juga perlu sentiasa sabar dengan prospek dakwahnya, berperwatakan positif dan ceria serta berhikmah dalam tindakan.

Dalam sebuah artikel akhbar Berita Harian, seorang kolumnis menyarankan umat Islam agar berpegang dengan konsep pandangan hidup (worldview) Islam agar menjadi wahana untuk saringan terhadap pandangan hidup asing atau pandangan hidup dari dalam Islam namun telah menyeleweng. Seterusnya, konsep toleransi agama yang ditawarkan tamadun Barat dan tamadun-tamadun lain boleh dipertimbangkan secara objektif dan dalam masa yang sama berhati-hati dengan ideologi pluralisme agama.

Antara contoh lain usaha Islamofilia lain ialah program ziarah rumah ibadat, menganjurkan program isu Islamofobia di masjid atau di pusat komunitii, memohon agar perpustakaan awam setempat mendapatkan buku dan artikel mengenai islamofobia, menyertai persatuan setempat atau gerak kerja antara agama untuk usaha dialog dan interaksi. Golongan profesional dan berpendidikan seperti doktor, profesor dan pensyarah, serta jurutera perlu kehadapan dan menjadi pemimpin komuniti agar dapat bergerak secara tersusun dan berorganisasi.

Manakala untuk menangani persoalan identiti generasi  Muslim Eropah, gagasan Tariq Ramadan amat menarik untuk ditinjau iaitu konsep European Muslim, konsep Dar al-Shahadah, reformasi Pendidikan Islam dan alternatif budaya. Setiap satu gagasan tersebut mempunyai huraiannya yang tersendiri.  Jika krisis identiti tidak ditangani menurutnya, ia akan membuka ruang dualism antara pergaulan sosial dan jati diri Muslim. Ilmuan Muslim Eropah yang lain pula menekankan keperluan berpegang teguh dengan ajaran Islam sambil  berpartisipasi dengan masyarakat untuk hidup bersama-sama muafakat membentuk  ikatan sosial yang harmoni. Dengan kata lain, komuniti Muslim perlu berintegrasi dengan masyarakat, menjadi agen perubahan positif serta memberi sumbangan untuk kesejahteraan umum.

10178129-Vintage-image-of-Blue-Mosque-Istambul-Stock-Photo-islam-islamic-istanbul

Justeru, keperluan kepada kajian lanjutan perlu dilakukan untuk mencapai satu pendekatan yang relevan dan positif dalam masyarakat. Segala yang telah sedia dikaji oleh ilmuan Islam perlu dikembangkan untuk diaplikasi dalam masyarakat. Semoga permasalahan Islamofobia membuka minda untuk kita bertindak mengikut kapasiti kita sebagai mahasiswa seterusnya sebagai seorang profesional yang negarawan. Segala usaha yang digerakkan oleh mana-mana pihak sama ada individu ataupun berkumpulan mahupun diperingkat antarabangsa yang bermatlamat untuk meleraikan kekusutan dan  salah faham mengenai Islamofobia perlulah kita hargai. Adalah rugi jika kita tidak sama membantu memberi sumbangan atas usaha dakwah ini. Akhir kata, ingatlah selalu bahawa kita adalah duta kepada Islam dan janganlah kerana nila rosak susu sebelanga.

 

Rujukan :

Artikel Berita Harian

Nor Faridah Mat Nong, 2015.  “Identiti Muslim Eropah : Perspektif Tariq Ramadan “. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Graham E. Fuller, 2010. “A World Without Islam”. New York : Little, Brown and Company.

John L. Esposito dan Ibrahim Kalin, 2011. “THE CHALLENGE of PLURALISM in THE 21st CENTURY : ISLAMOPHOBIA”.  New York : Oxford University Press.

http://www.foxnews.com/world/2015/09/29/refugee-crisis-stokes-anti-muslim-fervor-in-poland-eastern-europe.html

https://www.rt.com/news/322051-poland-rejects-refugee-quota/

http://www.independent.co.uk/news/world/europe/refugees-crisis-pro-and-anti-refugee-protests-take-place-in-poland-in-pictures-10499352.html

http://islam-krakow.pl/eng/

LAMAN KOLUMNIS |

Muhammad Ayyub Afandi
Tahun 6
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.