Aman,

“Kita hidup dengan pertemuan berakhirnya dengan perpisahan”

Andai coretan ini sampai padamu dan saat itu aku sudah tidak menghirup oksigen dari atmosfera yang sama denganmu bahkan tiada lagi di dunia ini, kau harus kuat. Sahabat, kau harus tahu, kaulah sahabat yang aku harap dapat hidup bersama di dunia dan akhirat.

Aman,

Selama ini aku rahsiakan penyakit aku  kerana tidak mahu kau juga merasa sakit, kau juga merasa perit, tidak mahu kau juga menanggung derita ini. Namun, aku harus terima penyakit ini sebagai bonus dari Ilahi untuk menambahkan lagi pengabdian aku kepada dia Yang Maha Esa, Maha Mengatur,Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan.

Aman,

Bersama-sama surat ini aku titipkan sehelai cek untuk bina pusat kebajikan yang kita impikan . Ini adalah hasil simpanan aku demi merealisasikan impian kita bersama.

 Kaulah Aman, sahabat aku di dunia dan di akhirat. Aku harap kau akan sentiasa berusaha menghidupkan syurga yang sama-sama kita rindukan. Andai kau sahabat aku di syurga yang kita bina di dunia,kaulah jua sahabat yang aku harap akan berada di syurga Ilahi. Terima kasih kerana menjadi sahabat aku. Doakan syurga menjadi tempat tinggal kita yang abadi.

Razif, 19 Disember 2015

aku_dan_sahabat_by_indrante

Zappp …

Tersentap Aman, lantas menundukkan wajahnya dan laju air matanya gugur tanpa dapat diseka lagi. Luluh hatinya apabila mendapat berita tentang pemergian Razif. Razif, sahabatnya yang ketika hidup sering memberi dan membantu, selepas pemergiannya juga terasa budinya. Jika harimau mati, meninggalkan belang, manusia mati pula meninggalkan nama, namun Razif pergi meninggalkan budi yang tak terhingga.

Aman bermonolog sendirian”,kalau tak kerana bantuan Razif, aku takkan sampai ke tahap ini. Terima kasih Allah, Ya Bari’ Ya Jami’ kerana menemukan aku dengan sahabat seperti dia.” Terkenang kembali, saat mereka susah dan senang  bersama-sama ketika di zaman persekolahan sehinggalah sekarang Aman di Universiti Teknologi Petronas dan Razif pergi ketika masih menuntut di Universiti Malaysia Sabah.

Aman, hidup bersama ibu tunggal dan lima orang adik-beradik yang lain manakala Razif pula anak tunggal daripada keluarga Datuk Rashid dan Datin Maimunah. Kehidupan yang ibarat langit dan bumi tidak menjadi penghalang untuk menjadikan hubungan mereka seperti irama dan lagu, bagai isi dengan kuku.

Ternyata desakan hidup telah membuat Aman hilang semangat untuk belajar dan gagal dalam beberapa peperiksaaan. Tatkala itu datanglah pertolongan dari Yang Maha Memberi Rezeki, Ya Razak melalui keluarga Razif. Bukan sahaja bantuan kewangan yang dihulurkan oleh keluarga Razif, bahkan Razif seringkali mengajak Aman belajar bersama serta membantunya dalam subjek yang susah. Raziflah sahabat yang sama-sama bersengkang mata dengan Aman setiap kali hampirnya hari peperiksaan. Raziflah jua yang sentiasa menjadi agen pembakar semangat kepada Aman untuk berjaya dalam hidup. Tebukti kejayaan bersama Aman dan Razif apabila mereka menjadi pelajar terbaik SPM pada tahun 2011 di sekolah mereka.

Selama tiga tahun mereka berpisah setelah masing-masing memilih universiti pilihan masing-masing. Namun, Aman sentiasa ingat akan pesanan Razif,” Aman, ingat dalam hidup kau, kau kena usaha sehabis mampu, bantu sehabis perlu.” Mereka saling berhubungan walaupun jarak ternyata memisahkan mereka apabila keluarga Razif turut berpindah ke Sabah.

Terngiang-ngiang perbualan mereka, dua minggu sebelum pemergian Razif, “Aman, kalau kau masuk syurga nanti dan kau tak nampak pun mana aku, kau tanyalah pada Allah mana aku? Kalau aku masih tiada di syurga, kau tolonglah mohon pada Allah untuk masukkan aku ke syurga juga. Aman, ingat cari aku di syurga tau!” Setelah perbualan mereka yang terakhir itu, Razif sepi tanpa khabar dan akhirnya datanglah khabar tentang pemergiannya.

 Kini, Aman akhirnya redha dengan pemergian Razif dan hidup bersama semangat Razif walaupun jasadnya sudah tiada di dunia. Aman bermonolog, “Razif, aku akan belajar bersungguh-sungguh dan teruskan semangat kau! Aku akan teruskan perjuangan kau untuk membina pusat kebajikan yang kita impikan bersama selama ini. Aku akan cuba merealisasikan syurga yang sama-sama kita bina,sama-sama kita tuju dan yang sama-sama kita rindu.”

388-sifat-ahli-syurga-dalam-surat-ali-imran

Sungguh, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama ,namun Razif kau pergi meninggalkan budi dan semangat yang membara.

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,

Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).

Razif , kau juga perlu ingat, carilah daku juga di syurga . Semoga diredhai impian kita dan semoga syurgalah tempat abadi kita.

MINDA PIMPINAN

Nur Fatini binti Azman
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Ahli Jawatankuasa Tertinggi
Timbalan Ketua Biro Kebajikan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2015/2016

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.