NEOPLASMA DALAM KALANGAN MUSLIMIN

Neoplasma atau barah yang didefinisikan dalam kamus medik ialah pertumbuhan sel-sel dalam kuantiti yang sangat banyak secara tidak teratur. Tajuk yang tertera pula membawa maksud kemunculan sekumpulan manusia pada masa kini dengan jumlah yang ramai tetapi tidak membawa kebaikan untuk umat sejagat. Dua elemen penting dalam mengenalpasti punca penyakit masyarakat ini adalah berkaitan dengan kekurangan dari segi INTELEKTUAL dan PENDIDIKAN MORAL yang merupakan akar kepada sifat manusia. Jika akar tidak subur, bagaimana pokoknya mahu subur?

Elemen pertama berkisar tentang kekurangan dari segi intelektual. Kurangnya intelektual merangkumi aspek pendidikan, ilmu pengetahuan, ilmu berorganisasi dan kelemahan dalam menggunakan potensi diri untuk Islam. Pendidikan formal dan tidak formal merupakan aset paling penting dalam sesebuah negara demi melahirkan umat atau rakyat yang bermatlamat jelas. Pendidikan barat yang diterapkan dalam sesebuah negara hanya menanamkan semangat untuk rakyat berbakti kepada negara. Berlainan pula dengan pendidikan Islam yang menyeluruh kepada jasad, rohani dan intelektual di mana ketiga-tiga prinsip ini tidak dapat dipisahkan demi meneguhkan jati diri seorang manusia.

Item intelektual yang ingin diketengahkan ialah cara berorganisasi. Seperti yang disebut di dalam kitab suci al-Quran, Allah telah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi untuk memerintah. Tidak dapat tidak, sesebuah pemerintahan itu perlu kepada organisasi yang tersusun. Saidina Ali R.A. berkata, “kebenaran yang tidak tersusun boleh dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun”. Pepatah ini membuktikan kepentingan perancangan yang kemas dalam berorganisasi sangat penting.

Disamping mempunyai organisasi yang sistematik, kita juga perlu tekankan kepentingan rakyat atau ahli dalam menjayakan matlamat yang ingin dicapai oleh organisasi tersebut. Umat Islam zaman sekarang tidak menyedari bahawa begitu banyak nikmat-nikmat yang Allah berikan dan tidak mensyukurinya. Meskipun setiap manusia mempunyai kelemahan, tetapi Allah juga memberikan setiap orang kekuatan tersendiri yang harus digunakan dan digabungkan dengan kekuatan orang lain untuk menegakkan Islam. Kata kunci bagi kekuatan sesuatu organisasi atau kumpulan manusia ialah kerjasama dan kesatuan.

Elemen kedua yang ingin diketengahkan berkaitan dengan punca-punca kemunculan golongan yang dianggap neoplasma dalam masyarakat ini ialah kekurangan pendidikan moral. Kelemahan dalam masalah moral termasuklah hilangnya keberanian, tidak berpegang teguh pada pendirian, tidak mengingati Allah, tidak memberi komitmen serta hilangnya sifat-sifat seperti ikhlas dan sabar . Masalah utama yang sangat jelas kita nampak hari ini ialah sifat al-Juban, iaitu penyakit pengecut yang dihidapi umat Islam yang takut kepada selain Allah dan berani menentang aturan-aturan Allah S.W.T. Pelbagai masalah akidah muncul hasil dari pemasalahan ini. Contohnya cubaan-cubaan untuk menghapuskan hukum Allah di dalam sistem pemerintahan. Selain itu, masalah dalam sifat thabat atau teguh pendirian juga merupakan salah satu perkara yang boleh meruntuhkan akidah seseorang. Disebabkan tiadanya peneguhan dalam diri seseorang, maka mudah baginya untuk termakan rayuan-rayuan orang.

Justeru, marilah sama-sama kita menanam dan melatih sifat thabat ini dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini dan mengelakkan penggunaan isme-isme lain sebagai pegangan hidup. Kewujudan pelbagai kelompok dan fahaman memecahbelahkan kesatuan yang merupakan jantung kepada kemajuan umat Islam.

Surah al- Hasyr ayat 19:

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah jadikan mereka lupa kepada diri sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik”

Kedua-dua elemen di atas amat penting untuk diambil berat oleh setiap individu bermula dari golongan pimpinan hingga ke rakyat-rakyat jelata. Fenomena yang berlaku dalam kalangan muslimin masa kini jelas membuktikan bahawa neoplasma ini semakin memburuk hari demi hari. Fenomena ini dapat digambarkan dengan jelas di dalam sebuah deklamasi sajak oleh seorang agamawan Indonesia yang terkenal. Sajak ini merupakan dialog antara ‘aku’ iaitu rakyat dengan pemimpinnya yang tidak memerintah dengan acuan Islam.

KAU INI BAGAIMANA ATAU AKU HARUS BAGAIMANA

Kau ini bagaimana

Kau bilang aku merdeka, kau memilihkan ntuk aku segalanya

Kau suruh aku berfikir, aku berfikir kau tuduh aku kapir

Aku harus bagaimana

Kau bilang bergeraklah, aku bergerak kau curigai

Kau bilang jangan banyak tingkah, aku diam kau waspadai

Kau ini bagaimana

Kau bilang tuhan sangat dekat, kau sendiri memanggil-manggilNya dengan suara yang keras,

Kau bilang kau suka damai, kau ajak aku setiap hari bertikai

Aku harus bagaimana

Aku kau suruh pilihmu sebagai wakilku, sudah ku pilih kau bertindak sendiri semaumu

Kau bilang kau selalu memikirkanku, aku sapa saja kau rasa terganggu

Kau ini bagaimana

Aku bilang terserah kau, kau tidak mahu

Aku bilang terserah kita, kau tidak suka,

Aku bilang terserah aku, kau memakiku

Kau ini bagaimana

Atau aku harus bagaimana

Konklusinya, sebagai seorang muslim, setiap perbuatan bermula dari sekecil-keci permulaan iaitu niat hinggalah ke pelaksanaan itu sangat penting untuk diterapkan dengan unsur-unsur Islam. Asas kehidupan yang dipegang dari peringkat individu hingga ke sebuah pemerintahan haruslah jelas bagi mencapai matlamat yang besar iaitu mendapat keredhaan Allah di penghujungnya. Oleh itu, barulah cara yang dilakukan untuk mengatasi masalah ini dapat memberi hasil yang positif. Allah S.W.T telah berfirman dalam surah ar-Ra’d, ayat 11, “sesungguhnya Aku tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang ,mengubah apa yang ada pada diri mereka”. Akhir sekali, apa yang menjadi kunci kepada penyelesaian kepada neoplasma ialah pengislahan diri sendiri. Wallahu’ alam. Sekian.

MINDA PIMPINAN

Irshafinah Binti Jamaludin
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Ahli Jawatankuasa Tertinggi
Timbalan Setiausaha
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.