BAGAIMANA JIKA IKHLAS INI TIDAK HADIR DI HATIKU?

Perjalanan sebagai seorang daie, ‘Ibadurahman ini tidak pernah sunyi dan lekang daripada dugaan dan ujian. Iman yang saban hari diuji. Jalan yang masih panjang dan dipenuhi pelbagai onak duri. Kadangkala hampir tersungkur di tengah jalan. Tatkala letih dan gelisah menyelubungi diri. Di saat itulah rasa hampa menguasai diri. Futur menghampiri diri . Kesedihan kian menyelimuti diri.

“ Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.” (Yusuf: 87)

Lantas lamunan itu tersedar. Kunci ikhlas cuba dibawa bersama. Namun kadangkala ia tertinggal jauh di belakang. Apabila Rasulullah ditanya, apa itu ikhlas. Lantas Baginda mendiam diri dan bertanya kepada Malaikat Jibril A.S.

“Aku bertanya kepada Jibril A.S tentang ikhlas, apakah ikhlas itu? Lalu Jibril bertanya kepada Tuhan Yang Maha Suci tentang ikhlas, apakah sebenarnya? Allah S.W.T menjawab Jibril dengan berfirman: Suatu rahsia dari rahsia-Ku yang Aku tempatkan di hati hamba-hamba-Ku yang Ku-cintai.”

Betapa banyak jiwa yang melakukan ibadat namun apabila ditanya tentang “Ma haza Ikhlas?”. Lalu mereka menjawab, “Aku ikhlas kerana ALLAH”. Betapa banyak jiwa yang mencari keredaan Allah, apabila ditanya “ Wahai saudaraku, apa yang kalian tahu tentang ikhlas?” Mereka pantas menjawab apabila seseorang itu melazimi niat kerana Allah dan melakukan sesuatu perkara tanpa dahagakan pujian duniawi. Ada yang kadang-kadang mendefinisikan ikhlas itu umpama semut hitam di atas batu hitam pada waktu malam yang kelam. Tiada pada zahir, namun ada kewujudannya. “Define your own IKHLAS”.

Menelusuri IKHLAS melalui sirah

”Beramal kerana manusia adalah syirik, sedangkan meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’, adapun ikhlas itu ialah bila Allah memelihara dari keduanya”.

a) Ikan Nun dan Yunus AS

Nabi Yunus diutuskan kepada kaumnya untuk mengajak kaumnya mengesakan Allah, berbuat kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Tahun demi tahun berlalu, namun kaumnya masih tidak ada seorang pun yang beriman dalam kalangan mereka. Sehingga datangnya satu hari, Nabi Yunus terlalu marah akan kaumnya yang enggan beriman ,lalu beliau pergi meninggalkan kaumnya yang masih dalam keadaan kesesatan yang nyata dengan keadaan marah.

“Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya) maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: ‘Bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang alim.” (al-Anbiya’: 87)

Beliau pantas meluru ke arah laut dan menaiki kapal menuju ke tengah laut. Nabi Yunus seakan lupa bahawa seorang nabi hanya diperintah untuk berdakwah dan hidayah keimanan itu milik Allah. Keikhlasan Nabi Yunus diuji Allah. Setibanya Nabi Yunus di tengah laut, ombak besar melanda dan beliau terpaksa dicampakkan ke dalam laut. Ditelanlah beliau oleh ikan nun, dibawa jauh ke dasar laut.

Yunus mulai menangis dan bertasbih kepada Allah. Beliau mulai melakukan perjalanan menuju Allah saat beliau terpenjara di dalam tiga kegelapan. Hatinya mulai bergerak untuk bertasbih kepada Allah, dan lisannya pun mulai mengikutinya. Beliau mengatakan: “Tiada Tuhan selain Engkau ya Allah. Wahai Yang Maha Suci. Sesungguhnya aku termasuk orang yang menganiaya diri sendiri.” (Hud: 87)

b) Siti Hajar dan Ibrahim A.S.

Masih ingatkah kalian tentang kisah Siti Hajar bersama anaknya Ismail tatkala mereka melewati satu lembah di padang pasir yang gersang. Kemudian, beliau ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim dalam keadaan tanpa sebarang bekalan makanan atau minuman.“wahai Ibrahim kenapa kami ditinggalkan disini?”. “Wahai Ibrahim, adakah ini permintaan Allah?”. Lantas nabi Ibrahim menjawab “Ya.” Di saat itulah segala rasa takut dan waswasnya Siti Hajar hilang, seraya berkata dengan penuh keyakinan, “Jikalau begitu, sudah tentu Allah tidak akan menyia-nyiakan aku”. Hebat keikhlasan mereka diuji.

Cara mendapatkan Ikhlas

1) Percaya akan jaminan Allah bahawa “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Al-Baqarah:286).

2) Bersabar dengan iman di awal, sewaktu dan di pengakhiran ujian.

3) Percaya dengan Qadha’ dan Qadr Allah (rezeki, jodoh,ajal dan maut).

4) Menerima ketentuan Allah dengan hati yang lapang dan istighfar.

5) Bersangka baik kepada Allah.

“Aku berada pada sangkaan hamba-Ku, Aku selalu bersamanya jika ia mengingat-Ku, jika ia mengingat-Ku pada dirinya maka Aku mengingatnya pada diri-Ku, jika ia mengingat-Ku dalam suatu kaum, maka Aku mengingatnya dalam suatu kaum yang lebih baik darinya, dan jika ia mendekat kepada-Ku satu jengkal maka Aku mendekat padanya satu hasta, jika ia mendekat pada-Ku satu hasta maka Aku mendekat padanya satu depa, jika ia datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”

Oleh itu, bagi mengikhlaskan diri, kita seharusnya menerima ketentuan Allah dengan penuh keikhlasan.

“Dan ingatlah, tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab Lauh Mahfuz sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian adalah mudah bagi Allah” (Al-Hadid:22)

MINDA PIMPINAN

Sharifah Norsyahidah binti Engku Taufik
Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Naib Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online