Catatan sejarah menunjukkan ummat Islam mewarisi dua sistem perubatan yang berbeza, iaitu aliran perubatan menurut ahli hadis, dan aliran perubatan menurut ahli falsafah. Pertama aliran perubatan ahli hadis, juga dikenali dengan apa yang dinamakan sebagai perubatan yang disandarkan kepada baginda Nabi S.A.W atau lebih dikenali sebagai Tibb Nabawi, manakala ciri-ciri yang mendasari aliran perubatan ini pula adalah doa dan ruqyah (meditation) serta ubatan herba dan tumbuhan (medication), ianya dilihat menggabungkan unsur fizik dan metafizik di dalam ilmu perubatan, gabungan unsur Ilahiah dan alamiah ini dilihat telah memberi kesan besar terhadap konsep falsafah perubatan Islam. Tokoh-tokoh sarjana yang melatarinya pula terdiri daripada Abu Nuaim (m 1038M), Ibn al-Qayyim (1291-1350M), Imam Zahabi (1265-1345M) dan Jalal al-Din al-Suyuti (1445-1505M).

lifeDi samping itu terdapat juga satu lagi aliran iaitu aliran ahli falsafah, sistem perubatan yang merupakan gabungan diantara kepakaran dan perkembangan tamadun Islam dengan warisan perubatan tamadun silam, seperti perubatan Yunani, Parsi, Mesir Kuno Babilon, India, China, Yahudi dan Kristian. Perkembangan aliran sistem perubatan ini boleh dilihat dari tiga fasa masa iaitu, Zaman Terjemahan (131-288H=750-900M), Zaman Keemasan (287-494H=900-1100M), dan Zaman Kemunduran yang bermula dari tahun (1096M). Setiap zaman mempunyai tokohnya yang tersendiri.

Diantara tokoh-tokoh besar yang melatari aliran sistem perubatan integrasi ini adalah:

A- Zaman Terjemahan,
-Jabir Ibnu Hayyan (721-776M)
-Hunayn Ibnu Ishaq (810-878M)
-Thabit Ibnu Qurrah (838-901M)
-Abu Yusof Ibnu Ishaq al-Kindi (809-873M)

B-Zaman Keemasan,
-Abu Bakar Muhammad Ibnu Zakkaria Razi (865-925M)
-Abu Qassim Khalaf Ibnu Abbas al-Zahrawi (936-1013M)
-Abu Ali al-Hassan Ibnu al-Haytham (960-1039M)
-Abu Ali Hussain Ibnu Abdullah Ibnu Sina (980-1037M)

C-Zaman Kemunduran,
-Ibnu Zuhr (m 1161M)
-Ibnu Rusyd (1126-1198M)
-Ibnu al-Quff (1233-1286M)

Di kesempatan ini, marilah kita telusuri secara lebih mendalam kisah-kisah mereka yang terdahulu dalam menghasilkan nukilan-nukilan yang sehingga kini dijadikan bahan rujukan seantero alam. Ketokohan golongan terdahulu dalam mendalami segenap penjuru bidang keilmuan adalah sangat membanggakan berbeza dengan zaman sekarang  yang segalanya dihidangkan tanpa perlu bersusah payah. Maklumat dan kepantasannya boleh disifatkan seperti di hujung jari dan perkembangannya kini menjadi ibarat ledakan gunung berapi yang sesudahnya menatijahkan muka bumi yang sangat subur untuk tanaman yang berkualiti tinggi.

Umum mengetahui beberapa tokoh-tokoh terkenal abad ini dalam bidang perubatan akan tetapi sebagai menghargai penghasilan tokoh–tokoh ini, kita perlu berbalik kepada sejarah asal pembukuan segala ilmu perubatan dan cerita yang tersembunyi mengenai sejarah pelopor-pelopornya.

Ibnu Sina atau nama sebenarnya Abu Ali al-Husaain Ibn Abdullah merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam kalangan kita, sejarahnya disebutkan dalam pelbagai bidang  terutamanya setelah sumbangan utamanya dalam menghasilkan satu kitab yang menjadi rujukan turun–temurun sehingga kini iaitu, al-Qanun fi Tibb  yang ditulis seawal tahun  1953 masihi dan masih dijadikan rujukan sehingga kini. Ilmuan ini bukan hanya menguasai bidang perubatan, malahan turut mendalami bidang metafizik, prosa, music, agama, astronomi, philogi (bahasa), falsafah dan sebagainya. Kemasyhurannya turut menjadi sebutan sehinggakan ada yang mengatakan kefahamannya mengatasi gurunya sendiri al–Farabi dalam bidang falsafah. Kepakarannya mula mendapat perhatian apabila berjaya menyembuhkan penyakit putera Nub Ibn Nas as-Samani yang gagal disembuhkan oleh doktor yang lain. Beliau juga turut menerbitkan karya berjudul ‘Remedies of the Heart’ yang menghimpunkan hampir 760 jenis penyakit dan cara mengubatinya, menariknya buku ini turut memuatkan sajak-sajak perubatan.

Pemikirannya banyak terkesan dengan al-Farabi yang menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh itu, beliau tulisannya banyak terkesan dengan  teori perubatan yunani terutamanya yang dibawa oleh Hippocrates.

Beliau percaya bahawa setiap tubuh manusia mengandungi beberapa unsur yang terdiri daripada tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikat sifat lembap, panas, sejuk dan kering dan setiap satu bergantung kepada unsur luar yang lain. Dengan kepercayaan terhadap kewujudan sisitem ketahaan diri manusia, beliau tidak menolak keseimbangan unsur–unsur diatas adalah sangan penting demi memastikan kelansungan kesihatan dan proses penyembuhan.

insights_01

Bagaimana pula dengan Ar-Razi? Abu Bakar Muhammad bin Zakaria Ar-Razi adalah nama penuh beliau. Meskipun lebih dikenali sebagai ahli kimia tersohor sumbangan beliau terhadap bidang perubatan bukanlah sesuatu yang selayaknya dipandang enteng. Beliau turut dikenali sebagai razes di dunia barat dek ketokohan beliau umunya sebagai ahli kimia dan falsafah di Iran. Sepanjang hayatnya beliau telah menulis kira-kira 184 buah buku. Arifnya beliau dalam bidang perubatan yunani membolehkan beliau menambah sebahagian daripadanya daripada pemerhatian sendiri. Sebagai ahli kimia, beliau telah dinobatkan pelopor yang menemui asid sulfuric yang digunakan secara meluas pada ketika itu untuk tujuan kejuruteraan kimia dan kimia moden. Ketokohannya tidak dinafikan dengan penemuan ethanol dan hasil sulingannya yang digunakan pada ketika itu dalam bidang perubatan.

Gelaran The Arabic Galen  telah dianugerahkan kepada beliau berikutan kemasyhurannya pada ketika itu yang merentasi eropah dan timur. Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang kedoktoran beliau disifatkan sebagai seorang yang sangan pemurah, dermawan dan mengutamakan pesakitnya terutama dari kalangan mereka yang miskin. Perkhidmatan secara percuma disediakan buat golongan ini kerana sayangnya beliau terhadap golongan ini.

Kitab al-Hawi (Liber Contines) merupakan sebuah ensiklopedia amalan perubatan terapeutik yang dihasilkan olehnya menjadi rujukan dunia Eropah. Minat yang mendalam dunia Eropah kepada karya agung yang seberat 10 kilogram  ini terbukti dengan penerbitannya beberapa kali sejak abad ke-12M lagi sehingga abad ke-17M. Penemuan al-Razi berkenaan sakit campak cacar tulen (smallpox) dan campak biasa (measles) turut menjadi bahan rujukan perubatan di dunia Barat malah turut diulangi penerbitannya beberapa kali sehingga abad ke-18M. Kedua-dua karya ini juga merupakan sumber kurikulum tradisional di kalangan para pengamal perubatan Islam.

Kitab al-Mansur (Liber medicinalis ad al Mansorem) juga karya agung al-Razi dalam dunia perubatan. Al-Razi telah menghasilkan buku ini ketika beliau di Khurasan di bawah pemerintahan Gabenor al-Mansur Ibnu Ishaq. Dalam buku ini terkandung 10 penemuan berkaitan tentang sains perubatan. Buku ini dianggap satu karya beliau yang tulen dan mencerminkan kematangan dan kepakaran beliau dalam amalan perubatan moden.

Beliau menekankan kepentingan menjalankan pemeriksaan secara teliti sebelum membuat nilaian mengenai sesuatu penyakit. Beliau adalah antara mereka yang menentang sekeras-kerasnya penyelewengan yang berlaku dalam bidang perubatan. Menurut pendapatnya,  penyakit fizikal tidak dapat dipisahkan dengan penyakit rohani, oleh itu dalam menyembuhkan pesakit teknik rawatan perlulah dijalankan secara menyeluruh.

5 Syaaban 313 M merupakan detik-detik terakhirnya, Ar-Razi pulang ke rahmatullah setelah kepulanggannya ke Ray. Perbincangan para sarjana mendapati Ar-Razi menggalami sakit mata pada pengakhiran kehidupannnya kerana ketekunannya menulis dan membaca yang banyak. Kisah ini sewarnya dijadikan satu pembakar semangat buat para pelajar khususnya pelajar ilmu perubatan agar tidak mudah terikut dengan kata hati yang sentiasa membisikkan pujukan untuk berputus-asa sebaliknya terus beristiqamah dalam meneruskan pengajian.

Pernahkan kalian tertanya-tanya  mengenai siapakah Ibn Haitam?

Beliau adalah antara ilmuwan Islam yang terkenal dengan gelaran al-Hazen di kalangan cerdik pandai Barat. Kegigihannya dalam mendapatkan wang saran pengajiannya di Universiti al–Azhar telah membawa ilmuwan ini ke satu tahap yang  lebih tinggi, bagaimana?

Dalam usahanya mencari wang, beliau mengambil kesempatan melakukan beberapa penyelidikan mengenai aliran dan saliran sungai nil serta menyalin buku mengenai ilmu falak dan matematik. Hasilnya beliau menguasai bidang–bidang ini. Antara tulisannya mengenai mata, menjadi satu rujukan penting dalam bidang pengajian sains di barat  hasil penyelidikan yang dilakukannya.

Tulisannya yang menjadi karya agung hayatnya adalah seperti berikut :

Al’Jami’ fi Usul al’Hisab yang mengandungi teori ilmu matematik dan matematik penganalisaannya.
Kitab al-Tahlil wa al-Tarkib mengenai ilmu geometri
Kitab Tahlil ai’masail al ‘Adadiyah mengenai algebra
Maqalah fi Istikhraj Simat al’Qiblah yang mengupas mengenai arah kiblat bagi segenap rantau
Maqalah fima Tad’u llaih mengenai penggunaan geometri dalam urusan hukum syarak.

Kemiskinan bukanlah kayu ukur kepandaian setiap orang. Asas yang sepatutnya dipertikaikan adalah kemahuan. Ibn Haitam telah membuktikan kebenaran ini. Barangsiapa yang tidak mempelajari sejarah, mereka berpotensi mengulanginya. Berlainan pula kesnya, jika kita tidak  mempelajari sejarah kegemilangan Islam pada zaman silam, bagaimanakah pula kita ingin mengulanginya? Ilmu dan pengorbanan ibarat aur dan tebing. Terlalu berkait untuk dipisahkan.

Ingin saya  ketengahkan  di sini ketokohan seorang lagi ilmuan Islam, Manhaj al-Sawi wa al-Manhal al-Rawi fi al-Tibb Al-Nabawi, al-Rahma fi al-Tibb wa al-Hikma dan Mukhtasar al-Tibb al-Nabawi, kitab-kitab ini telah dinisbahkan karangannya kepada Jalal al-Din al-Sayuti. Karangannya berbeza dengan Ibn Sina, al-Razi dan mereka yang lain kerana lebih menekankan manhaj aliran  hadis bersesuaian dengan kemahirannya dalam bidang hadis berbanding yang selainnya yang lebih terpengaruh dengan unsur falsafah. Terdapat beberapa percanggahan pendapat di kalangan golongan pengkaji tentang kesahihan penulisan al-Rahma fi-Tibb wa al-Hikma yang disandarkan kepadanya dek kerana wujudnya  unsur–unsur khurafat beliau merupakan antara sarjana ulung ilmu Islam pada ketika itu. Namun begitu, perselisihan tersebut tidak sewajarnya dijadikan sebab untuk kita tidak mengambil iktibar dari keilmuannya.

Nasihatnya yang popular  telah dinukilkan dalam kitabnya al-Manhaj,

“telah membinasakan diri mereka sendiri sesiapa yang menyembunyikan nasihat kepada sultan , para doctor menyembunyikan penyakit , serta seorang sahabat yang menyembunyikan teguran”

Berdasarkan nasihat ini dapatlah kita simpulkan ketegasan beliau dalam mengatakan segala yang berlaku secara telus sekaligus terkandung amaran keras buat mereka yang tidak beramanah dengan tugasan yang telah ditugaskan.

30a872b

Menyingkap sejarah ulamak terdahulu mengingatkan kita bagaimana pula dengan perkembangan perubatan dari sudut falsafah dan pengamalannya dalam kalangan nenek-moyang kita dahulu  di Tanah Melayu?

Karya agung yang  masih kekal sebagai khazanah bernilai negara ialah Kitab Tibb. Kitab ini telah diangkat sebagai seni warisan negara di bawah kategori warisan bahasa dan persuratan. Menariknya,  kitab ini mengandungi pelbagai perbicaraan mengenai perubatan Melayu yang disunting dari 10 naskah manuskrip Melayu dalam perpustakaan negara juga memuatkan teks-teks lain yang rata-ratanya diperolehi daripada koleksi yang sama rumpun yang sama seperti Leiden, London, Acheh, Sri Lanka dan Brunei Darussalam.

Kitab ini menekankan elemen penting dalam perubatan seperti tabib, penyakit dan ubat. Selain itu, kandungan yang turut diketengahkan adalah  hasil  yang telah diekstrak dari teks-teks merangkumi pelbagai disiplin ilmu seperti ilmu perubatan, ilmu kesihatan diri, analisis mimpi, ilmu falak dan hubungan mereka dengan mengenalpasti serta mengubati penyakit. Petua yang diamalkan sehingga kini adalah bukti  kandungan kitab ini relevan sehingga ke hari ini.

Kini, dengan kemudahan yang sedia ada, generasi muda yang lebih gemar menggunakan kemudahan jaringan maklumat sedia perlulah  berterima-kasih kepada mereka yang berkaitan kerana kitab ini sudah mampu diakses menerusi portal Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Pengunguman mengenainya telah diumumkan dalam sidang media setelah berlansungnya program Wacana Manuskrip Melayu di PNM.

Tidak kurang hebatnya, kitab ini turut diterbitkan dalam naskah. Meskipun masih menggunakan Bahasa Melayu lama yang agak sukar difahami, perlulah diingatkan yang menjadi nilaian ialah isi kandungannya yang berharga. Menerusi kitab–kitab seperti inilah, mereka yang menggelar diri mereka Melayu dapat mempelajari sedikit sebanyak petua yang hampir tenggelam seiring peredaran zaman. Kitab–kitab seperti inilah tempat bersemadinya warisan berharga negara dan bangsa. Melayu perlu berbangga dengan tinggalan bernilai ini dan memartabatkannya. Mereka juga perlu menyiapkan diri dalam meninggalkan perkara yang jauh lagi bernilai pada masa akan datang untuk tatapan generasi mendatang.

Mengapakah dinamakan sebagaikan Kitab Tibb? Secara ringkasnya, nama ini telah ditentukan dengan mengambil ilham daripada manuskrip sebuah perubatan arab yang  dinamakan al-Qanun al-Tibb karya Abu Ali al-Hussain bin Abdallah Ibn Sina.

Konklusinya, falsafah perubatan tradisional Melayu lebih menekankan aspek pencegahan berbanding rawatan setelah ditimpa penyakit.  Secara langsung, tidak dapat disangkal lagi konsep ini adalah bertepatan dengan konsep perubatan secara Islam. Oleh yang demikian setiap individu perlulah melengkap diri mereka setidak-tidaknya dengan serba-sedikit cara mengamalkan dan mengekalkan  kesihatan yang baik untuk fizikal dan mental.

Berlainan pula kisahnya dengan perubatan Islam moden, beberapa siri perbahasan telah dijalankan dan antara pendapat yang boleh didapati sebagai rujukan ialah  pendapat  Abdul Rahman Abdullah.  Beliau telah membahagikan aliran wacana falsafah sains Islam kepada beberapa pecahan, iaitu, aliran akomodatif, aliran reformatif, aliran tradisional, aliran tekstual, dan aliran konseptual.

*Abdul Rahman Hj. Abdullah, Wacana Falsafah Sains, sejarah dan pemikiran, Pulau Pinang, Pusat Kajian Pengerusan Pembangunan Islam, USM, Malaysia, 2010.

Setiap aliran mempunyai ciri yang tersendiri dengan kekuatan dan kelemahan malah tokoh yang mendokongnya berbeza-beza. Aliran-aliran ini boleh menjadi asas yang kukuh dalam proses pembinaan falsafah perubatan Islam. Secara ringkasnya, aliran akomodatif, merupakan golongan yang mencari keserasian diantara agama dan sains. Antara tokoh yang terkenal dalam aliran ini ialah:

– Maurice Bucaille dengan bukunya,

  • Bible, Quran dan Sains Moden
  • Zaghlul al-Najjar
  • Keajaiban Sains Dalam Hadis

-Yusuf al-Hajj Ahmad dalam bukunya,

  • Sains Moden Dalam Perspektif al-Quran dan as-Sunnah

Aliran reformatif pula melihat bahawa sains moden bukanlah ilmu yang bebas nilai sebaliknya sarat-nilai, nilai-nilai falsafah yang meruntuhkan seperti naturalism, empirisme, evolusionisme, marxisme dan sebagainya. Oleh sebab itu ianya perlukan satu usaha penjernihan dan penapisan atau istilahnya adalah proses islamisasi ilmu, atau Islamization of knowledge, tentunya tokoh pelopor aliran ini adalah Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ismail R. al-Faruqi.

Aliran tradisional  dipelopori oleh Seyyed Hossein Nasr membawa dua misi utama dalam aliran wacana falsafahnya iaitu, pertama, visi holistik yang lahir dari faham wahdat al-wujud iaitu melihat segala sesuatu yang wujud sebagai berpadu atau kesatuan belaka, dan keduanya visi hierarki yang membawa konsep segala wujud dan ilmu pengetahuan bukannya setaraf belaka.

Aliran tekstual pula menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebgai paksi pemikiran mereka, dan dilihat golongan ini lebih selamat dari terdedah daripada salah faham yang menyeleweng dan mengelirukan. Ramai sarjana dari tanah arab membawa manhaj ini. Antaranya adalah Sayyid Sabiq, dalam perbahasannya tentang akidah yang membawa fakta-fakta sains, serta Abdul Majid al-Zindani dari Yaman serta banyak lagi sarjana dari timur tengah.

Akhir sekali, aliran konseptual yang bertitik tolak dari faham konsep-konsep kunci atau kata-kata kunci yang menjadi tapak kepada pembinaan falsafah sains islam, antaranya idea Muhammad Naquib Hussein al-Attas tentang 13 konsep kunci seperti; ma’na, ilm, adl, hikmah, amal, haq, nutq, nafs, qalb, aql, maratib, ayat, tafsir serta konsep yang paling penting dan kerap dilaungkan beliau adalah al-adab.

Berbeza pendapatnya dengan Abdul Rahman Abdullah , Dr. Abdus Salam sewaktu  ditanya pendapatnya , adakah wujud apa yang dinamakan sebagai “Islamic Science” ,  beliau menjawab, bahawa yang ada hanyalah sains yang bersifat universal, segala permasalahan dan kaedahnya bersifat sejagat, jadi tidak timbul sesuatu yang dinamakan sains Islam, seperti mana tidak juga wujud sains Hindu, sains Yahudi, sains confusius, mahupun sains Kristian .

*Dr Abdus dalam, penulis buku “ His faith & His Science”

Pandangan yang membawa idea wujudnya falsafah sains Islam pula bukan hanya berdiri di atas satu aliran yang sama, bahkan  ianya wujud dalam beberapa aliran yang mempunyai ciri dan tokoh pelopor dan pendokongnya yang tersendiri.

Osman Bakar telah  membahagikan tindak balas sarjana muslim ini kepada dua kategori yang umum, iaitu golongan yang mengambil sikap positif terhadap sains moden dan segolongan lagi yang menolak dan mempersoalkan sains moden atas alasan ketidakserasian pandangan alam sains moden dan tradisi yang mengakar dalam tamaddun Islam itu sendiri.

* Osman Bakar, penulis  The History and Philosophy of Islamic Science, UK, The Islamic Texts Society, Cambridge UK, 1999.

Demikianlah sedikit sebanyak yang dapat dikongsikan mengenai falsafah dalam ilmu perubatan , bermula dengan zaman perkembangan sehinggalah meniti usia di abad moden . Sejajar peredaran zaman , timbul pula persoalan yang menimbulkan tanda tanya. Adakah Islam mengenepikan teknologi dalam perubatan moden ?

Tidak, justifikasinya,ubat moden perlu melalui pelbagai peringkat kajian sebelum dipasarkan, tidak kira dari negara mana ia dihasilkan. Kebanyakan ‘side effect’ telah dikaji dan diketahui sebelum setiap jenis ubat ini diedar dan digunakan oleh orang ramai. Bagi seorang doktor, setiap prekripsi ubat ada rasionalnya dan setiap penolakan pemberian ubat pun ada rasionalnya juga. Sebagai contoh ubat untuk batuk kering (TBC ), apabila kajian mendapati terdapat “minor side effect” kepada hati, berkemungkinan boleh menyebabkan “drug induced hepatitis” namun keadaan ini bersifat sementara, pesakit masih boleh diubati dan sembuh.

Selagimana perubatan moden dijalankan berasaskan kaedah yang benar, menggunakan sumber yang tidak haram dan  mengandungi unsur khurafat atau syirik maka ianya diizinkan dalam Islam. Ditambah pula  dengan kewujudan bukti saintifik, teknik yang digunakan dapat menyembuhkan penyakit, maka ianya dituntut dalam Islam tanpa mengira asal-usul perubatan tersebut baik diasaskan dari kalangan Muslim sendiri ataupun golongan bukan Muslim. Islam yang bersifat syumul tidak dapat disempitkan skopnya dengan golongan yang berfikiran cetek.

Selaku orang yang bertanggungjawab terhadap artikel ini, saya mengakui segala kelemahan dalam teknik penyusunan dan mengharapkan cebisan ini dapat membantu sedikit sebanyak dalam memahami sebahagian pecahan yang pernah kita abaikan dahulunya. Sejarah ilmuan dahulu sangat memotivasikan di tambah pula dengan kesusahan yang terpaksa mereka lalui pada ketika itu. Pentingnya Muslim mula membaca bahan bacaan berat sudah ketara. Selaku mahasiswa merangkap pemimpin negara pada masa akan datang, pembacaan bahan seperti ini bukanlah sebagai pelengkap masa lapang akan tetapi tarafnya dinaik taraf sebagai satu keperluan. Berhentilah membuka mulut menanti disuap sebaliknya cubalah berusaha memperbaiki kelemahan diri terutamanya dari sudut pembacaan. Kajian telah dijalankan dan keberkesanan banyak membaca dalam mengelakkan penyakit atau melambatkan penyakit seperti Alzheimer sudah dibuktikan.

Bukanlah alasan yang bijak sekiranya ilmu perubatan disifatkan sebagai cabang yang terlalu berat untuk didalami, perlu diingatkan ilmuan terdahulu telah mewariskan hampir keseluruhan asas dan di zaman ini menjadi tugas kita meneruskan legasi kegemilangan mereka. Sistem pendidikan yang kini semakin mengecil yakni menfokuskan kepada satu bidang contohnya menyambung pelajaran mengambil sarjana untuk lebih mendalami bidang kardiologi meninggalkan bidang yang lain perlulah dipandang positif dan dijadikan batu loncatan untuk lebih memahami dan meyumbang kepada masyarakat. Berbeza dengan ilmuan dahulu, mereka bukan sahaja memahami malah mendalami setiap satu bidang dengan tekun dan mereka tidak mengehadkan bidang perubatan sebagai keutamaan malahan ada pula yang meluaskan kemahiran di bidang lain seperti matematik, astronomi dan lain–lain.

LAMAN KOLUMNIS | TOKOH

Nadzirah binti Nazree
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Penulis ini juga pernah menulis beberapa artikel untuk laman PERUBATAN Online. Antaranya ialah PERSEPSI#GazaUnderAttack dan Compass : An idol to whom ? Klik pautan – pautan berikut untuk terus membaca karya beliau.

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.